Wednesday 14 August 2013

APABILA ORANG TAK MASUK PANGGUNG WAYANG JANGAN MARAH!

Media cetak kita memaparkan keluhan para penggiat seni terutama dalam sektor perfileman negara. Mereka mengharapkan ada fenomena terbaik yang luar biasa agar ia menjadi daya tarik orang ramai mengunjungi panggung wayang di mana-mana sahaja yang ada di seluruh negara.
Siapakah yang gemar menonton wayang pada masa sekarang? Sudah tentu orang yang suka tengok wayang. Orang yang tak suka tengok wayang, kalau diberikan tiket percuma pun mereka tak nak tengok. Seperti di tahun 70-an dulu, sahabat penulis Othman Abdullah dari Singapura, kerap hantar "tiket" wayang untuk filem-filem menarik Shaw Brothers. Ketika itu saya berada di Felda Bukit Tajau. Mana ada panggung wayang?
Sekarang harga tiket wayang pun sudah mahal. Saya sendiri tidak tahu berapa harganya. Kalau nak tahu juga kena jenguklah mana-mana pawagam yang ada di Times Square. Disebabkan kita bukan kaki wayang, filem TANDA PUTERA atau KL GANGSTER 2 yang dikatakan menarik dan elok ditonton itu kita tak tengok sekalipun rumah depan panggung.
Apabila orang tak masuk panggung wayang, janganlah marah. Jangan pula nak kempen agar kita mencintai filem kita, filem karya tempatan, sebab setiap orang ada kegemaran masing-masing. Ada yang suka tengok wayang, itulah hobi mereka sejak zaman muda sehingga usia mencecah 70-an, apa nak buat. Kita tak nak komen apa.
Kenapa orang tak masuk panggung wayang? Kalau zaman dulu, pangung wayang ada di pekan kecil. Contoh: di Sabak Bernam ada panggung, di Teluk Intan ada panggung, di Sungai Besar pun ada, di Sekincan, Tg.Karang, Pasir Penambang Kuala Selangor, di Klang tak usah cakaplah. Sekarang? Bilangan panggung semakin kurang. Saiznya makin kecil, harga tiket mahal.
Siapa yang suka tengok wayang? Hanya mereka yang aktif dalam dunia perfileman kena meriahkan pawagam, ajak suku-sakat tengok Pak Ngah atau Mak Ngah berlakon walaupun watak sampingan sahaja. Ajak saudara mara krew filem itu tengok sekali. Atau kalangan penulis hiburan yang ingin melihat apa reaksi penonton dalam pawagam, kekadang para pelakon pun ada yang masuk pawagam sebab nak tengok apa reaksi penonton tatkala dia sedang berperan dalam scene tertentu.
Maknanya, khalayak penonton di negara kita semakin mengecil. Belum tentu orang yang membaca ulasan filem dalam akhbar akan jenguk panggung. Belum tentu penulis yang mengulas tentang filem Melayu jenguk panggung.
Sebenarnya panggung adalah wadah yang tak sesuai lagi kepada mereka yang mendapat pencerahan ilmu. Semakin tinggi ilmu yang mereka peroleh dan bagi tujuan membaiki diri, mereka akan menjauhkan diri dari pawagam. Mereka tidak mahu mencampuradukkan pemantapan ilmu dalam diri dengan hiburan yang melalaikan, hiburan yang tidak memberi manfaat, filem fiksyen begini juga kurang memberi manfaat bagi mereka.
Penggemar filem tempatan ada kelompoknya yang tersendiri. Orang masuk pawagam bukan kerana tajul filem dan pelakon. Kekadang masuk pawagam kerana sekadar nak berehat di ruang dingin, melepaskan lelah, ikut kawan yang minat sangat nak tengok wayang, atau menemani orang yang suka tengok wayang. Ada datuk atau nenek temankan cucu tengok wayang, bukan datuk atau nenek itu minat tengok wayang.

MENGELUH
Sekarang sudah kedengaran orang mengeluh. Filem makin tak laku. Kutipan semakin merosot. Mereka mengesyorkan agar FINAS proaktif mencari idea bagaimana hendak menyemarakkan lagi pasaran filem tempatan.
Masalah dunia filem Melayu hanya mereka sahaja yang memikirkan. Penonton filem Melayu tidak hirau apa pun. Hanya orang yang keluarkan modal besar untuk buat filem Melayu mereka pening memikirkan soal pasaran, soal menarik penonton dan sebagainya.
Jika pasaran filem tempatan juga jatuh merundum, maka pembikinan filem Melayu kita perlu dikurangkan. Mereka kena tumpukan kepada filem drama untuk Tv sahaja. Bukankah membazir sekiranya dana yang ada digunakan untuk menyuntik bantuan kepada penerbit filem, sedangkan hasil yang disiapkan tidak mencapai sasaran?
Ada yang mempersoalkan skrip yang ada. Tabung skrip yang melibatkan kalangan mereka sahaja, orang yang biasa tulis skrip, ada skrip sesuai untuk drama TV tetapi dipawagamkan, akhirnya ia tidak menemui sasarannya.
Akhirnya mereka mengeluh. Kalau begini, ramailah yang bakal gulung permaidani. Tutup pejabat, sewa meja sahaja. Buat filem bukan kerja senang. Para pelakon hanya fikirkan glamor tak habis-habis, sedangkan orang yang mengeluarkan duit untuk filem itu memikirkan penyudahnya -- adakah pawagam yang sanggup menerima kehadirannya? Atau bertahan dua tiga hari, keadaan panggung lengang?
Inilah kengerian bagi mereka yang sudah melabur banyak untuk menerbitkan sesebuah filem besar. Para pelakon sudah dibayar. Hanya tunggu bagaimana hasilnya ketika masuk panggung. Inilah cabaran yang sebenar. Laku atau tidak laku sesebuah filem bukan berdasarkan gimik sebelum disiapkan, bukan bergantung kepada paparan media cetak dan elektronik sahaja. Jadi apa lagi?
Anak muda adalah golongan yang layak menyerbu pawagam. Akan tetapi kalau mereka tidak minat tengok filem nak buat bagaimana lagi? Kita tak boleh paksa mereka tengok wayang. Seperti filem TANDA PUTERA yang awal-awal lagi sudah timbul berbagai masalah hinggalah Suhaimi Baba harapkan orang ramai penuhi pawagam. Harapan ini akan tinggal harapan, bagi mereka yang telah mengikuti pertelagahan berkaitan filem itu, bahkan kebetulan ia dikaitkan dengan pegangan politik penerbitannya, maka orang yang tidak sealiran tentu tidak masuk panggung!
Awal-awal lagi TANDA PUTERA sudah terjejas. Kita tidak tahu berapa kutipan yang akan dibuat dari tayangan filem kontroversi ini. Mungkin jatuh di paras bahaya? Jangan main-main, kutipan kebanyakan filem tempatan sekarang makin merundum. Dana besar untuk pembikinan filem sampai berjuta-juta bukan ukuran untuk meraih kutipan hasil. Kalau filem itu filem propaganda, maka ia hanya layak untuk paparan televisyen sahaja. Tajuk filem itu sendiri menyebabkan penonton lari.
Apa yang dialami oleh Hans Isaac ketika merungut kerana filemnya LEMAK KAMPUNG SANTAN kurang memberangsangkan.
Kutipan di pawagam yang terhad hanya mencecah RM100,000 sahaja [setakat ulasan ini dibuat] sebagaimana paparan Harian Metro [14/8/13].

KELUHAN PETANI BAGAIMANA?
Itu keluhan para pengusaha filem. Para artis yang berlagak selebriti langsung tidak dipaparkan. Tidak sedihkah kalau nama dicap selebriti, tetapi filem yang dilakonkan tidak laku? Ia menjejaskan keselebritian seseorang pelakon sebenarnya. Justeru, kita jangan suka mencari populariti murah begitu. Nak tahu jaya atau tidak lakonan seseorang itu, tengok pada penyudahnya.
Apabila orang filem mengeluh kutipan tayangan mereka tidak memberangsangkan, bagaimana pula keluhan para petani? Para petani tidak dipaparkan dengan pakaian serba indah, ada banglo dan kereta mewah seperti artis kita, tetapi ingatlah, jangan kita memikirkan dunia kecil kita sahaja. Kita kena fikirkan dunia orang lain juga. Apabila dunia orang lain terganggu, ia menjejaskan dunia filem juga.
Kalau harga padi jatuh, harga sawit merundum, bagaimana orang muda hendak tengok wayang? Pengunjung panggung yang sebenar adalah orang-orang muda yang bergelumang dengan dunia ladang dan pertanian, mereka mahu merehatkan fikiran, mahu melayani jiwa dengan mengunungi pawagam.
Mereka nak tahu bagaimana filem yang digembar-gemburkan oleh wartawan hiburan itu. Hebatkah filem itu. Jika orang filem asyik memikirkan laku atau tidak filem mereka, kalangan audien di luar bandar yang akan menuju ke bandar semata-mata nak tengok filem, maka keadaan ekonomi mereka kena dibaiki juga. Mereka tak sanggup berbelanja mahal tengok wayang di KLCC atau Times Square kalau harga getah jatuh, harga sawit merundum, harga ayam pun rendah, dan apa sahaja menimbulkan kesan secara tak langsung.
Ingat, sudah tiba masanya kita kena muhasabah diri. Perlahankan momentum glamor kita. Jangan mencari glamor tak tentu fasal. Jadi artis ada hadnya. Ada batasannya. Lebih-lebih lagi selepas kita berada di dalam madrasah Ramadan. Apakah akan diluluh-lantakkan begitu sahaja dengan menuju panggung sehingga melalaikan janji istiqamah yang pernah kita lafazkan dalam hati?
Baru beberapa hari kita berada dalam bulan Syawal, Ramadan yang lalu sudah berantakan melayani duniawi yang melekakan. Wallahu a'lam. []  

No comments:

Post a Comment