Wednesday 14 August 2013

HARI RAYA UNTUK ARTIS BERGAYA?

SABAN tahun, sejak tahun 60-an pun begitulah. Paparan media kita, terutama media cetak, akhbar dan majalah, semuanya lebih mengutamakan kaum selebriti [?], ntah dari mana istilah selebriti itu boleh kita gunapakai sehingga setiap hari orang menyebutnya. Hingga, yang baru bertatih nak menyanyi atau berlakon drama TV pun dianggap selebriti juga.
Ini semua kerja wartawan. Jika wartawan menulis, mereka mesti sebut nama seseorang artis itu sebagai TERKENAL, sekalipun orang itu tidak terkenal mana pun!
Lihatlah paparan dalam media cetak [penulis tak sanggup nak tulis tentang tv, sebab memang tak ada tv pun di rumah] halaman yang memaparkan artis berhari raya bukan main hebat.
Itulah yang dibesar-besarkan. Semua gambar menunjukkan mereka tayang Baju Melayu dan kurung moden mereka, siap selendang atau tak berselendang langsung.
Seperti diadatkan, para wartawan Melayu [Islam] seperti tidak tahu apa sebenarnya HARI RAYA yang kita sambut pada 1 Syawal ini.
Gambar yang dipaparkan dalam media cetak - terutama akhbar harian, mingguan dan majalah bulanan - tidak menggambarkan orang menyambut perayaan umat Islam, sebaliknya seperti perayaan biasa, perayaan budaya.
Gambar keluarga artis, gambar pasangan artis, meski ditaja oleh sekian butik tertentu, ia tidak mencerminkan artis yang menggambarkan mereka cinta kepada Islam. Mereka langsung tidak peka kepada soal menutup aurat, hatta ketika artis berbuka puasa bersama anak-anak yatim atau orang tua-tua, mereka tetap dedah aurat. Bukankah majlis berbuka puasa itu berkaitan dengan puasa? Ia bukan majlis makan-makan malam di hotel atau restoran besar.
Nampaknya, wartawan dan editor akhbar kita masih belum faham dengan masalah ini. Mereka masih selesa dengan budaya cara 60-an dan 70-an silam. Ia akan berkekalan selagi mereka menerajui sektor penerbitan akhbar dan majalah berkenaan.
Apabila menyentuh isu surau dijadikan tempat orang bukan Islam melakukan ritual agama mereka kita cukup sensitif, ia dibesar-besarkan. Soal menutup aurat sama pentingnya dengan tempat ibadat tadi. Tetapi kita nampaknya tidak peduli langsung dengan perkara ini.
Begitu juga paparan media di mana para artis bersalam-salaman dengan peminat, tidak kira lelaki perempuan. Ini pun sudah jadi budaya. Budaya Melayu yang perlu diperbaiki agar selaras dengan Islam.
Paparan dalam media kita hari ini memperlihatkan seolah-olah artis sahaja yang menyambut hari raya. Orang lain tidak sambut langsung. Artis sahaja yang bergaya dengan pakaian yang tak sesuai langsung dengan hari raya. Hari raya bukan ruang untuk memperagakan pakaian, bukan masa untuk jadi model pakaian dari butik terkenal. Itulah yang terjadi di negara kita.
Wartawan dan jurufoto sama subahatnya. Mereka mencari angle yang dianggap menarik, tetapi tidak kena untuk dipaparkan bagi memeriahkan sambutan Hari Raya. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment