Thursday 29 August 2013

NAMA PUN HOBI, JANGAN MARAH!

ADA beberapa orang yang saya temui memiliki hobi mengumpul majalah hiburan lama, majalah zaman P Ramlee dulu. Tidak setakat majalah hiburan jenis itu, mereka juga kumpul piring hitam lama, tidak kira ukuran EP atau LP. Sedangkan kalau ada pun nak mainkan bagaimana? Orang sekarang sudah beralih kepada CD yang lebih mudah.
Hobi mengumpul majalah dan gambar-gambar artis lama ini memanglah menyeronokkan. Ia adalah gambaran di zaman remaja yang gemar membaca majalah hiburan. Majalah itu naik comot dibelek sepanjang masa. Tulisan yang dipaparkan itu dibaca dan terus dibaca, maklumlah ketika itu bilangan majalah hiburan amat terhad. Nak beli pun bukannya mudah, kena tuju bandar kecil dulu, tak ada barulah tuju bandar besar.
Di zaman dulu, seseorang yang suka kepada seseorang penyanyi atau bintang filem, tidak sah kalau tak tampal gambar di dinding ruang tamu atau tempat lepak mereka.

TAMPAL
Gambar-gambar macam itu ketika itu boleh ditampal sesuka hati. Tidak ada komentar apa-apa pun ketika itu. Mereka tak selidik pun boleh tak bolehnya tampal gambar makhlu bernyawa begitu.
Maka yang ditampal adalah gambar bintang filem zaman hitam putih dan zaman warna pudar. Yang suka kumpul majalah dan gambar-gambar bintang ini ada pula yang kreatif. Dibuatnya salinan gambar-gambar itu. Kalau ada pemeran yang temanya kena dan sesuai, benda itulah yang dijualnya. Masa itu, pantang ada acara yang berkaitan.
Saya teringat A Razak, bekas suami Maria Menado. Selalu sembang dengan dia di KL. Jenguk rumahnya beberapa kali. Dia pernah tinggal dekat Setapak KL. Dia pun suka kumpul gambar lama. Gambar Maria Menado tak usah kiralah. Majalah. Potongan akhbar, potongan majalah. Gambar ahli gusti. Kebetulan saya pernah mengikuti grup A Razak adakan pertunjukan gusti di Stadium Merdeka dalam tahun 90-an.
Seorang rakan jemaah Masjid Jamek LRT KL juga gemar kumpul majalah dan gambar-gambar artis lama. Begitu juga seorang kawan yang pernah pihak radio temuramah dia ketika siaran larut malam. Dia juga dikenali sebagai Abang Gambar. Ke mana pergi dia sangkut kamera di lehernya [saya pun dulu bawa kamera].

HIBURAN
Abang Gambar pun begitu. Dia ada simpan khazanah lama tentang hiburan. Akan tetapi apabila sudah berlonggok begitu, kertas lama yang dilonggok begitu lama-lama menyemak pula.
Nak dikenang apa lagi? Artis-artis lama itu jika kita tak kenang pun sudah ada pihak lain mengenangnya, sudah ada muziumnya. Itulah yang dikatakan hobi. Nak marah pun buat apa.
Gambar-gambar artis disimpan. Diperapkan. Sesekali apabila bertembung, ada peminat koleksi benda-benda ini kata dia cadang nak buat satu buku koleksi tentang seniman-seniwati silam. Senarai lagu-lagu silam, ada sejarah dan ada asal-usulnya.
Walaupun saya terlibat dalam dunia tabloid dan majalah, saya tak tertarik langsung kepada dunia hiburan bentuk begini. Kepala saya selalu memikirkan manfaat sesuatu perkara itu.
Kita boleh fanatik terhadap sesuatu perkara, tetapi ia ada hadnya. Ada ketikanya kita perlu lupakan semuanya. Buka lembaran baru. Untuk apa dikenang sesuatu yang tidak bermanfaat?
Menyimpan gambar seniman-seniwati lama menyebabkan timbul banyak fitnah.
Bukankah menggambar itu sendiri tidak digalakkan. Nak menyimpan gambar artis berkebaya ketat, fesyen zaman P Ramlee rasa tak kena dengan peredaran zaman. Orang sekarang tak mahu dedah aurat lagi. Jadi, ini yang menyebabkan kepala kita berputar ligat. Untuk apa mengenang zaman yang tidak bermanfaat itu?
Nama pun hobi. Kekadang hobi membuatkan kita terlalu taksub dengan kehobian yang ada sehingga melalaikan perkara lain. Perkara yang melalaikan inilah yang sepatutnya kita fokus.

TANGKAP GAMBAR
Apabila sesuatu perkara sampai melalaikan kita, baik hobi ambil gambar dengan kamera digital, kumpul majalah lama, kumpul gambar artis lama, kumpul lagu-lagu The Beattles, Bee Gees, Deep Purple dan macam-macam lagi [teringat kedai macam ini di Central Market KL] -- kita kena fikir apa manfaatnya?
Barangkali kalau hobi kumpul majalah hiburan itu diubah kepada mengumpul majalah yang isinya menjurus kepada bab ilmu tentulah lebih bermanfaat lagi.
Bayangkan, kita selalu nak ambil tahu apa pakaian kegemaran artis sekian, apa menu kesukaannya, dia pakai kereta apa, hobi dia, dan apa lagu yang popular. Kenapa tidak digantikan dengan perkara lain? Berapa banyak ayat al-Qur'an yang telah kita hafalkan?
Setidak-tidaknya, kalau pergi masjid atau surau ketiadaan Imam, maka kita boleh tampil ke depan.
Kenapa kita tidak menukar hobi simpan gambar artis atau kumpul piring hitam lama itu kepada benda lain yang bermanfaat, kumpul buku-buku yang berkaitan dengan soal aqidah, persoalan tentang hukum hakam agama, tentang undang-undang Islam dan undang-undang adat, tentang penyelewengan aqidah, tentang Imam Syafie itu sendiri. Kita selalu kata bahawa kita ikut Imam Syafie sebagai panduan, tetapi tak ramai yang mengkuti apa kitab Imam Syafie yang patut kita rujuk. Kita asyik dengan artis atau orang filem sahaja, atau asyik dengan Elvis Presley, Elton John, Michael Jackson, Cliff Richard atau Tom Jones.
Kekadang perbendaharaan kata kita mengenai hiburan Barat lebih dahsyat daripada persoalan fardu ain dan bab-bab berkaitan sirah, pemikiran dalam Islam, bab Syiah [yang memang tak faham langsung], bab kenapa orang boleh jadi Qadiani, kenapa boleh ikut Tuk Guru masuk gua dan lepak di situ, dan banyak lagi perkara yang kita patut ambil tahu [jangan lupa tanda-tanda akhir zaman, kiamat kecil dan kiamat besar].
Kenapa kita nak ambil tahu di mana artis sekian dikuburkan, tarikh dia lahir dan tarikh dia meninggal dunia. Nak tahu dia tinggal di mana, anaknya berapa orang, siapa saudara maranya. Pendeknya, kekadang kita teramat mengetahui hal-hal yang tidak bermanfaat dibandingkan dengan perkara yang sepatutnya mendatangkan manfaat.

KULIAH
Berhubung dengan hobi ini, saya teringat kuliah subuh atau kuliah maghrib oleh seorang ustadz. Setiap kali dia bagi tazkirah pasti akan keluar nyanyian P Ramlee atau lagu lain yang sesuai dengan tema ceramah. Siap dinyanyikan lagi. Bagi saya, tak payah nyanyikan lagi baik. Sebut liriknya sudah cukup tak payah ingat bagaimana melodinya. Dan sudah jadi kegemaran ustadz penceramah mutakhir ini, menyanyi, ada yang lagu rock, lagu Hindustani, lagu Arab dan macam-macam. Kalau moderator majlis iklankan kelebihan sekian ustadz nyanyi lagu rock, maka ustadz tadi diminta nyanyikan sikit, audien yang ada nak dengar.
Dan amat memelikkan kalau seseorang itu masih mengekalkan hobi lama sampai ke akhir hayat. Sampai rambut beruban masih nak berkaraoke, pantang dipelawa. Bahkan di tempat kita, ada orang masjid sendiri bukan lain ketagih nak pegang mikrofon nyanyi lagu 60-an. Lepas satu lagu, satu lagu lagi. Siap ada permintaan lagi. Lagu Dara Pujaan L Ramlee, lagu Oh Fatimah A Ramlee [lagu Fatimah ini mungkin digemari oleh orang Syiah? Mengusik je].
Ada satu kes yang diceritakan oleh geng surau, di tempat kitalah, meninggal ketika sedang berkaraoke. Inilah sesuatu yang patut kita hindarkan. Hobi biarlah hobi, tapi kena berpada-padalah. Bahkan kalau melupakan terus hobi yang tidak bermanfaat adalah lebih baik. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment