Sunday 4 August 2013

CHOW KIT PENUH RAKYAT ASING?

HARI ini cadang nak beli sesuatu di Chow Kit, tetapi bukan untuk persiapan hari raya. Bagi kita, hari raya tidak penting. Setelah mengikuti berbagai tazkirah di masjid dan surau, jelaslah, sesuatu perlu dilakukan untuk merombak sistem yang ada di negara kita.
Sepatutnya lagi nak habis Ramadan, masjid dan surau dipenuhi oleh para jemaah yang hendak mendulang pahala, sebaliknya sejak dulu begitulah, kita sibuk nak buat persiapan untuk menghadapi hari raya. Padahal hari raya yang kita raikan setiap tahun bukan selaras sangat dengan kehendak yang sepatutnya.
Memang kita digalakkan berbaju baru untuk meraikan hari raya, tetapi bukan nak semuanya baru. Baru untuk dunia kanak-kanak memang sesuai, tetapi baru untuk kalangan dewasa -- ia sudah berubah takrif.
Semua orang akan melalui fasa begini. Sebenarnya media kita tidak mampu menjadi pendorong kepada masyarakat Islam kita merombak sistem.
Kita nampaknya tidak tertarik langsung dengan tawaran lailatul qadr. Tidak tertarik dengan ganjaran seribu bulan yang menyamai 83 tahun 4 bulan ibadat itu. Kita tidak tergiur kepada soal pahala dan balasan di akhirat kelak. Sebaliknya kita amat tertarik dengan tawaran yang disuguhkan oleh media cetak dan media bukan cetak.
Sejak zaman dulu lagi hari raya adalah hari untuk para artis [lihat majalah hiburan kita bagaimana?] Orang biasa macam kita seperti tidak layak menyambut hari raya. Padahal hari raya adalah hari kemenangan orang yang telah istiqamah menjalani ibadat puasa dan menghidupkan 10 malam terakhir.
Sedang kita sibuk dengan 10 malam mendulang pahala, di luar sana sibuk mencari apa sahaja yang difikirkan layak untuk diletakkan di dalam rumah, di ruang tamu dan sebagainya. Bayangkan, betapa sibuknya nak menghias rumah dengan bunga-bunga plastik atau bunga tiruan, betapa sibuknya hendak menyediakan persiapan bagi minuman dan biskut raya.
Padahal kalau hanya disajikan sejenis dua pun orang tak akan marah. Paling tidak orang akan mengata, "Rumahnya tak ada kuih raya, kasihan!"
Di Chow Kit hari ini orang ramai sibuk dari pagi sampai ke malam.
Ada sahaja yang dicari. Ada sahaja yang hendak dicapai. Bagi yang tak suka hiruk-pikuk, sesak menyesak begitu, mereka akan mencari ruang berbelanja di tempat yang lebih tenang dan aman. Banyak tempat sebenarnya yang tenang dan aman, tetapi suadah menjadi kebiasaan, di mana ada kepadatan, di situlah orang nak berjejal.
Sesekali menjenguk Chow Kit, keadaan sekarang jauh berubah.
Setiap sepuluh orang yang berada di situ, paling tidak enam orang adalah rakyat asing. Dari dulu pun orang sudah tahu, Chow Kit sudah sinonim dengan rakyat asing.
Merekalah yang paling sibuk nak buat persiapan untuk sambut lebaran. Sedangkan rakyat tempatan, santai sahaja tak peduli dengan kesibukan itu.
Jika mereka faham apa sebenarnya hari raya, mereka tidaklah sibuk sangat untuk membuat persiapan semahu-mahunya. Buatlah apa yang ada, tak perlu meniru gaya orang berada. Tak perlu meniru menu hidangan orang yang berkeluarga besar.
Lihatlah betapa sibuknya anak muda mencari jeans untuk hari raya, mencari kasut baru, padahal ia tidak ada kaitan langsung dengan hari raya selain untuk menyesuaikan diri dengan mood nak raya. Tak percaya tengoklah nanti, kemuncaknya.
Di pagi raya. Semua yang dikejar semalam masih ada di Chow Kit. Baju baru yang dipakai pada hari raya pertama, hanya untuk sekejap sahaja, selepas balik dari masjid ia tidak dipakai lagi. Zaman ini orang rasa tak selesa dengan pakaian begitu, orang masih suka berpakaian biasa untuk menyambut hari raya.
Dan nak sambut raya pun tak boleh berlebihan sangat. Masuk raya kedua orang dah mula puasa sunat. Bagi yang memikirkan ganjaran pahala, mereka tidak akan mensia-siakan hari raya dengan aktiviti zaman kuno -- menonton wayang, berpeleseran di tempat peranginan atau tempat rekreasi, atau menghabiskan masa begitu sahaja "meraikan hari raya yang ceria!"
Kalau jatuh pada hari Jumaat, nescaya masjid pun lengang. Kita sibuk berhari raya dan melupakan solat Jumaat pula. Inilah keadaan yang perlu diperbaiki. Pada hari raya itu, jangan bimbanglah masjid tak ada ruang. Inilah pemandangan yang biasa berlaku di celah KL ini. Di kampung tak tahulah, agaknya sama sahaja. []

No comments:

Post a Comment