Friday, 23 March 2012

BAB KUTBAH JUMAAT

BUKANKAH LEBIH BAIK kutbah Jumaat itu ditulis sendiri oleh pihak masjid di tempat masing-masing kerana bahan yang hendak disampaikan itu lebih dekat kepada hadirin yang ada. Tidak perlu mencari topik yang global menerjah ruang yang jauh sekiranya permasalahan setempat, di kampung atau kariah itu sendiri masih banyak.
Apabila kutbah Jumaat diseragamkan di mana-mana masjid, atau kutbah dijadikan alat sebagaimana Berita Perdana atau propaganda pemerintah, ia akan mengurangkan rasa  hormat jemaah terhadap petugas masjid,  lebih-lebih lagi sekiranya kutbah itu terang-terangan menyatakan dukungan kepada sesuatu pihak.
Apa alasan kutbah boleh ditulis sendiri mengikut masjid yang ada? Imam atau sesiapa sahaja petugas masjid yang bergaji hari ini kebanyakannya lulusan pengajian tinggi, sudah selayaknya mereka diberi keyakinan dan kepercayaan untuk menulis kutbah sendiri.
Yang hairan, kenapa ada pihak tertentu mengadakan pertandingan menulis kutbah. Adakah hanya untuk suka-suka mencungkil bakal seperti mencari juara nyanyian? Sayembara menulis kutbah tidak memberi makna jika pihak masjid sendiri bergantung kepada kutbah daripada "pusat" guna menyeragamkan isi kutbah di semua masjid.
Sebenarnya bukan soal seragam atau tidak, kutbah sudah dijadikan alat untuk mengawal masjid-masjid agar tidak condong ke kiri, maksudnya agar kutbah itu senada dengan berita perdana yang mereka tonton di televisyen masing-masing di rumah.
Contoh, solat Jumaat baru-baru ini kutbah bertemakan tentang polis, menyatakan betapa anggota polis ini banyak berjasa menjaga keamanan negara. Maksudnya tanpa mereka negara ini tidak aman. Kita kena faham, ia adalah sebuah institusi menjaga keamanan, memang tugasnya begitu sesuai dengan Akta Polis 1967. Mereka bukan kerja tanpa gaji, sama seperti anggota tentera yang bergaji, tetapi kita tidak berperang pun dengan mana-mana pihak, kecuali menyertai pasukan pengaman PBB.
Kutbah itu menyentuh tentang peranan polis, dan kemudian menyentuh tentang hebatnya Ketua Polis Negara di zaman silam, terutama di negara-negara Islam, dia adalah pemimpin yang mampu menjaga agama dan keselamatan rakyat. KPN juga mampu jadi imam solat, faham agama, tahu undang-undang syariah, tahu hadis, tahu tafsir dan bukan setakat tahu perundangan cara Inggeris. Kutbah Jumaat ini seolah-olah menyindir KPN yang ada hari ini.
Kemudian ketika Ustaz Zamihan dari ILIM, bangi buat tazkirah. Belau bertanya hadirin, di dalam al-Quran ada hudud atau tidakkkk? Jawab! Hadirin pun jawab, "Ada!" Nah, siapa yang mengatakan tidak ada kafirlah dia. Kemudian beliau menyatakan bab kekafiran dengan sebab-sebab yang menidak atau menafikan hukum-hukum Allah SWT.
Saya kira Ustaz Zamihan ini suaranya agak lantang, dia mempertikaikan, mana ada undang-undang hukuman gantung? Tali gantung itu sendiri diimport dari Pakistani, dengan harga RM3,500 satu. Duit siapa? Tanya ustaz itu, dah tentu duit rakyat. Kemudian beliau menyentuh ketika diminta baca kutbah di sebuah penjara.
Tema kutbah tak kena dengan keadaan di penjara. Itulah yang saya kata tadi, kutbah kena ikut tempat. Jika kita baca kutbah dari Putrajaya, sesuaikah orang di Gombak sebelah dalam mendengarnya?
Sekarang kutbah kita main tema. Ada ulangtahun yang tak berkaitan pun nak diberitahu kepada hadirin di masjid. Apa mustahaknya ulang tahun itu dan ini? Bagi orang kampung tak ada apanya, melainkan mengantuk sahajalah yang dia dapat.
Berbalik kepada komen Ustaz Zamihan tadi, beliau mempersoalkan belanja yang diperlukan untuk seorang banduan di penjara [mungkin fakta ini boleh dibetulkan, kerana saya mengutip dari tazkirah beliau] sebanyak RM30 sehari, makan lima kali sehari. Kita di luar pun makan tak banyak macam itu. Ini duit siapa? Dah tentu duit rakyat.
Mungkin ada jemaah tertanya-tanya, kalau duit bagi makan kepada banduan pun dipersoalkan, kenapa tidak kurangkan sahaja bilangan banduan yang ada? Kes-kes kecil yang boleh didenda, denda sahaja, tak payah masuk penjara. Duit tak ada, buat kaedah lain cara mana mereka boleh bayar denda. Orang tak ada punca pendapatan diminta bayar denda cuba fikirkan. Masuk penjaralah jawabnya. Sudah masuk ada orang merungut duit makan minum kena duit rakyat juga.
Sekarang semua kesalahan nak disumbat ke penjara. Apabila kos perbelanjaan makan dan minum bertambah sekalipun gunakan duit rakyat, kita tak perlu merungut dan buat komen. Nanti jadi lagu,  "Oh Katak, oh katak kenapa kamu panggil hujan?..."
Inilah catatan saya ketika solat Jumaat di Masjid Jamek Reformasi, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Selalunya saya solat di Masjid Pakistan untul mengelak kutbah Jawi yang propagadis. []

SOLAT AMALAN UTAMA DIHISAB

BUKAN SENANG HENDAK SOLAT hinggakan ada orang kata, solat tunggang-tunggik belum tentu masuk syurga. kemudian yang kata begitu sendiri bukan tunggang-tunggik, malah tunggang-langkang, lintang-pukang hendak mendisiplinkan diri. inilah nasihat ustaz dalam tazkirah. "Sesungguhnya yang pertama kali akan dihisab atas seorang hamba pada hari kiamat adalah perkara solat. Jika solatnya baik, maka baik pula seluruh amalan ibadah lainnya, kemudian semua amalannya akan dihitung atas hal itu." (HR.an-Nasai, 463).
Memang kita semua akui, kita selalu lalai dalam perkara solat kerana kesibukan kita bermain dengan waktu. Tanpa sengaja kita melakukan kesilapan yang tidak disedari/diketahui  yang membuatkan amalan solat kita jadi tak sempurna.
Di antara yang biasa disebut oleh pentazkirah ketika majlis ilmu adalah:
1.MENUNDA-NUNDA SOLAT DARI WAKTU YANG DITETAPKAN.
Meski ada jam dan peralatan canggih, kira sering melirik ke situ, tapi kita leka dengan perbualan di warung, tempat kerja, dalam kenderaan atau perlekaan yang biasa. "Sesungguhnya solat suatu kewajipan yang telah ditetapkan waktunya bagi orang-orang beriman." [an-Nisa: 103]
2.TIDAK SOLAT BERJEMAAH BAGI LELAKI.
Nabi s.a.w.berpesan, barang siapa yang mendengar panggilan azan kemudian tidak menjawabnya [dengan mendatangi solat berjamaah], kecuali uzur. Jadi sebaiknya kita berjemaah. Di bandar-bandar kita, banyak masjid dan surau, bahkan dalam bangunan tempat membeli-belah pun ada surau walaupun kecil sekalipun.
3.TIDAK TUMAKNINAH DALAM SOLAT.
Kenapa? kita terburu-buru, sibuk, masa begitu terhad. Jadi ia menjejaskan mutu solat kita. Bahkan tak sampai lima minit sudah selesai.
4.TIDAK KUSYUK.
Minda kita bermain dengan apa yang kita lakukan sebelum wuduk tadi, atau apa yang nak dilakukan setelah solat ini. Disebabkan tidak khusyuk, ada yang bermain-main, membuat pergerakan yang berlebihan ketika solat. Kekusyukan itu bergantung kepada hati, hati yang diganggui sesuatu menyebabkan kekusyukan itu lari, ia melalai dalam solat. Bila lalai, tak tahu berapa rakaat sudahnya.
5.SENGAJA MENDAHULUI GERAKAN IMAM.
Atau tidak mengikut gerakannya. Ia memang boleh membatalkan solat. Sebagai makmum menjadi kewajipan kita mengikut imam sepenuhnya, tanpa mendahului atau melambat-lambatkannya. "Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti keseluruhannya, Jika ia bertakbir maka bertakbirlah, dan jangan bertakbir sehingga imam bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan rukuk sehingga imam rukuk." (HR.Bukhari).
6.MELAFAZKAN NIAT.
Tidak ada keterangan dari Nabi s.a.w. mahupun dari para sahabat bahawa mereka pernah melafazkan niat solat sebagaimana yang kita selalu amalkan sehingga mengganggu orang di kanan dan kiri kita ketika bertakbiratul ihram. Ibnu Qayim [dalam Zadul Ma'ad] "Ketika Nabi  s.a.w. berdiri untuk solat, beliau mengucapkan ALLAHU AKBAR, dan tidak berkata apa pun selain itu, beliau juga tidak melafazkan niatnya dengan keras."
Ada ustaz buat komen, masalah niat begini hanya berlaku di alam Melayu kita, entah di mana silapnya kaedah pengajaran tentang solat dalam hal niat ini.
7.BACA AL-QURAN DALAM RUKUK ATAU SUJUD.
Ini dilarang. "Saya telah dilarang untuk membaca al-Quran selama rukuk atau dalam sujud." (HR.Muslim).
8.MEMANDANG KE ATAS ATAU ke kanan dan ke kiri ketika solat tanpa alasan tertentu.
9.MELIHAT KE SEKELILING TANPA ada keperluan apa pun. Perbuatan ini kata Nabi s.a.w., "Itu adalah curian yang sengaja dibisikkan syaitan pada umat dalam solatnya." (HR.Bukhari).
10.TERUTAMA WANITA YANG TIDAK MENUTUP KEPALA DAN KAKI ketika solat. "Allah tidak menerima solat wanita yang sudah mencapai usia haid, kecuali jika dia memakai jilbab[khimar]." (HR.Ahmad)
11.BERJALAN DI DEPAN ORANG SEDANG SOLAT ,tertib ini nampaknya tidak dipatuhi terutama di masjid-masjid. Mungkin orang itu tidak tahu tentang tegahan ini kerana mereka sedang berjinak-jinak dengan masjid.
12.BERDIRI UNTUK MENCUKUPKAN RAKAAT YANG TERTINGGAL sebelum imam menyelesaikan tasyahud akhir dengan mengucap salam ke kanan dan ke kiri.
13.TIDAK MENGIKUT IMAM pada posisi yang sama ketika datang terlambat baik ketika imam sedang duduk atau sujud.
14.BERMAIN DENGAN PAKAIAN ATAU JAM yang dipakainya ketika sedang solat sehingga mengurangi kekhusyukan.
15.MENUTUP MATA atau memejamkan mata tanpa alasan.
16.MAKAN ATAU MINUM ATAU TERTAWA. Jika seseorang itu melakukan tiga perkara ini dengan sengaja, maka solatnya perlu diulangi.
17.MENGERASKAN SUARA hingga mengganggu orang lain di kanan dan kiri kita.
18.MENCELAH DI ANTARA ORANG YANG SEDANG SOLAT.
19.TIDAK MELURUSKAN SAF.
20.MENGANGKAT KAKI KETIKA SUJUD. perbuatan ini ada yang disedari dan ada yang tidak kerana sudah jadi kebiasaan. selagi tidak diperingatkan, maka ia akan jadi amalan berterusan.
21.TIDAK BERHATI-HATI SUJUD DENGAN tujuh anggota tubuh -hidung, kedua tapak tangan, kedua lutut, jari kedua kaki.
22.MEMBUNYIKAN PERSENDIAN ketika solat. ada juga yang membunyikan dan mempermainkan antara jejari ketika atau sebelum solat.
23.MENJADIKAN SESEORANG SEBAGAI IMAM, padahal tidak layak. "Imam bagi manusia adalah yang paling baik membaca al-Quran." (HR.Muslim)
24.BAGI WANITA. "Jangan biarkan perempuan yang berbau harum menghadiri solat isya bersama kita," (HR.Muslim). Maksudnya berhias dan berwangi-wangian.
25.SOLAT DENGAN PAKAIAN BERGAMBAR, apa lagi gambar makhluk bernyawa. Menjadi kebiasaan di negara kita, ada yang memakai jersi bola sepak, jersi futsal, siap ada nama dan nombor pemain, ini belum lagi tulisan dan gambar-gambar pada t-shirt yang dipakai. Ramai yang tidak faham dengan masalah ini. Mereka yang memakai pakaian berganbar, elok solat di saf akhir kerana tidak mengganggu konsentrasi orang lain yang melihatnya jika dia solat di saf depan.
26.SOLAT DENGAN SARUNG, GAMIS DAN SELUAR MUSBIL, yakni melebihi mata kaki (bagi lelaki).
27.SOLAT DI ATAS PERKUBURAN ATAU MENGHADAP KUBUR. Cuba ingat, masjid manakah yang ada perkuburan di depannya atau di sisi kanan atau kiri masjidnya. Jemaah pun menghadap ke arah perkuburan itu.
28.SOLAT TIDAK MENGHADAP SUTRAH. Sutrah ini adalah pembatas, gunanya agar tidak ada sesiapa lalu di depan kita ketika sedang solat terutama di masjid yang sentiasa sibuk dengan orang ramai keluar masuk. Sutrah boleh jadi tiang masjid, beg sandang kita atau apa sahaja yang boleh dijadikan sutrah.[]

Sunday, 11 March 2012

ALKISAH BUNIAN

Tidak dapat dibayangkan bagaimana indahnya Istana Bunian. Lagu P.Ramlee hanya sebuah gambaran biasa sebagai bandingan sesuatu yang sukar dijelaskan. Daripada cerita yang biasa dituturkan, perkampungan bunian adalah perkampungan biasa sepertimana perkampungan tradisional Melayu. Di dalam kampung itu mempunyai segala-galanya sebagaimana layaknya sebuah kampung.
Dunia bunian merupakan sebuah dimensi "alam lain" sekalipun paparan kisah menunjukkan lokasi penempatan bunian itu adalah kawasan hutan, semak belukar yang tidak ada apa-apa pun yang menarik perhatian.
Perkampungan bunian ada di mana-mana sahaja di setiap negeri. Di Pulau Besar, Melaka, ada sebuah perkampungan bunian yang terletak dekat Marina Resort. Kawasan itu sebenarnya bakal dimajukan tetapi tergendala kerana krisis ekonomi tahun 1997-1999 [menurut sumber risalah "Pulau Besar Fantasi" Tourism Promotion Division, Melaka Tourist Information Centre]. Di situ ada perkampungan bunian. Dan menurut catatan ada 146 buah kampung bunian di Pulau Besar. Jika demikian, bermakna negeri dan perkampungan bunian memang ada di Pulau Besar.
Ada sebuah kawasan tasik di depan Marina Resort yang dikaitkan dengan penempatan bunian. Ia tidak jauh dari pantai, di dalamnya terdapat banyak ikan. Akan tetapi kerana mistik kampung bunian ini, tidak ada sesiapa berani menangkap ikan yang membiak di tasik itu. Mereka beranggapan tasik itu adalah kepunyaan orang bunian dan ikan itu adalah peliharaan mereka.
Kisah bunian ini memang menarik. Ketika mengendalikan majalah Intisari, penulis difahamkan ada maklumat bahawa sebuah perkampungan bunian yang terletak di Alai, Melaka, diwar-warkan konon akan memberikan dana berupa wang simpanan mistik alam bunian bernilai jutaan ringgit.
Sesiapa yang ingin mendapatkan sebahagian dana dunia bunian itu, seseorang itu perlu mengadakan ikat janji dengan ketua masyarakat bunian, yang antara lain perlu berkahwin dengan gadis bunian, menjadi penghuni perkampungan bunian dan diberi hak sebagai penduduk perkampungan bunian selama-lamanya. Bagaimanapun, sekiranya anda ada komitmen di luar perkampungan, ia tidak ada masalah. Anda dibenarkan keluar dari perkampungan untuk menziarahi dunia nyata anda.
Berbagai kisah bunian yang menarik diceritakan orang. Di Ipoh, Perak, ada sebuah perkampungan bunian di sekitar Gunung Datuk. Kisah orang biasa berkahwin dengan gadis bunian pernah dipaparkan di dalam kajian orang putih [dalam "Notes and Inquiry" JMBRAS] Toh Panglima Kinta pada masa dulu pergi ke gunung tersebut dan menetap di perkampungan bunian.
Seorang penjelajah misteri memberitahu, pernah memasuki perkampungan bunian. Yang menganehkan, keadaan kampung itu seperti perkampungan tradisional Melayu, suasana harmoni, tenang dan damai, tetapi tidak ada kemudahan moden seperti di luar sana. Ketika diberi makan pisang, kulit pisang yang dicampakkan dengan tiba-tiba tumbuh pokok pisang.  Pokok buah-buahan yang ada, jika dipetik buahnya, ia boleh hilang dengan tanpa disedari jika kita teringin hendak memetik lagi.
Perkampungan bunian ada di mana-mana sahaja, di sekitar Bukit Belachan, Ampang, Selangor, ada orang bercerita, terdapat sebuah perkampungan bunian. Penduduk bunian mengerjakan solat Jumaat macam biasa, dan mereka juga pergi ke kedai runcit. Mereka membeli barang keperluan tetapi tukaran wang tidak diperlukan. Berapa baki wang yang ada ditinggalkan begitu sahaja. Bermakna mereka bukan orang susah.
Di kawasan rumah mini Malaysia, Ayer Keroh, Melaka, juga ada "terowongan" menuju ke perkampungan bunian. Sesiapa sahaja yang melawat perkampungan itu akan dibawa berjalan-jalan oleh ketua kampung, melihat keadaan perkampungan yang indah. Mereka juga membawa "penziarah" untuk melihat simpanan emas yang disimpan di kawasan gua, misalnya di Kota Gelangi, Pahang.
Alasan itulah pencerita mengatakan di Melaka ada "terowongan" menuju ke alam fantasi bunian. Ia tembus ke Pahang.
Kisah bunian tidak habis begitu sahaja, ramai juga lelaki biasa yang berkahwin dengan gadis bunian dan menetap di alam bunian. Mungkin hijrah mereka ke dunia bunian lebih baik jika dibandingkan dengan dunia nyata biasa yang banyak masalah.
Setiap daerah di negara kita ada sahaja cerita yang mengatakan perkampungan bunian dikesan di kawasan pinggir hutan atau belukar kampung. Orang bunian juga sesekali muncul di penempatan manusia biasa. Ada yang beritahu, jika ingin tahu penghuni bunian bagaimana, perhatikan bibir atasnya di bawah hidung yang rata, tidak ada lekuk seperti kita. Keterangan ini bukan satu yang pasti.
Kemudian tidak kurang juga yang mengatakan perkampungan bunian ada di Gunung Ledang. Kesan cerita masa silam tentang Puteri Gunung Ledang masih mewarnai pengalaman setiap orang yang pernah menjejaki puncak Gunung Ledang.
Seorang teman yang pernah berguru di Cirebon, Jawa, memberitahu, dia memiliki selendang pemberian dari penghuni kampung bunian di Gunung Ledang. Seorang pegawai jabatan pertanian di Chembong, Negeri Sembilan memberitahu penulis, dia ada menyimpan selendang bunian dan sebilah keris kecil dari alam bunian.[]

Friday, 2 March 2012

SOROT PANDANGAN: LELAKI ITU

lelaki itu, entah siapa namanya. tetapi sejak tahun 80-an sudah biasa melihat kelibatnya. dia selalu berada di kota ini. dia adalah kumpulan pelakon kota. kekadang dia berlakon sebagai bomoh sakti, dengan ikat kepala hitam, siap membakar bara, asap kemenyan menusuk hidung.
yah, sebentar lagi kita akan tunjuk permainan ya. asal jadi duit. lelaki itu benar-benar berlakon sebagai bomoh nombor ramalan. kadang-kadang dia buka gelanggang di kiri jalan chow kit, ada kalanya di lorong hj taib, ada kalanya di jalan nak pergi pudu raya [sekarang central], ada kalanya di bus stand klang, ada kalanya di petaling street, ada kalanya di pasar road.
zaman dulu kumpulan bomoh ekor paling ramai. ada lebih dari enam kumpulan. masing-masing bersekutu dengan penipuan. berapa ramai yang ditipu? beribu-ribu orang. bayangkan, ketika orang mabuk dengan duit judi, mereka lagi galak mencanangkan agar semua orang beli angka ramalan.
ketika itu mereka siap mempamerkan cek yang diterima, belas ribu ringgit, puluh ribu ringgit, bukan sedikit. salinan tiket pun siap dipamerkan sebagai gula-gula business bomoh auta.
suatu ketika di sebuah masjid di kota ini, lelaki itu tiba-tiba muncul dan berdiri di saf pertama. dia datang terlalu awal dan belum pun masuk waktu zohor.
lelaki itulah yang pernah jadi bomoh, bersila dan mengugut orang agar membeli angka ramalan dan dihadiahkan sebentuk cincin gurkha yang berharga murah. lelaki itulah pada suatu ketika dulu dia amat bengis dan sentiasa melotot matanya memandang semua orang.
jangan ada sesiapa yang memujuk orang lain agar tidak terpengaruh dengan jualan temberangnya. anda akan dipanggil, diugut atau diusir dari kawasan gelanggang.
kini, sebuah transformasi telah berlaku. lelaki itu ketika proses pemutihan 6P juga kelihatan sibuk melayani orang ramai untuk memutihkan diri. dia juga ada pejabat kecil, mungkin berkongsi dengan rakannya untuk jual tiket penerbangan pulang ke jakarta. dan lelaki itu jugalah yang tiba-tiba muncul di saf pertama sebuah masjid, Allahu Akbar!
biarlah lelaki itu berubah. dan diharap, dia tidak akan berlakon lagi di kaki lima jalan. tidak lagi berpura-pura jadi orang pintar untuk meramal sesuatu, dan yang lebih penting dia tidak lagi galakkan orang berjudi.
mungkin faktor usia menyebabkan dia berubah, atau situasi di kota ini tidak mengizinkan untuk lelaki itu melakukan tindakan yang sama macam tahun 80-an dan 90-an dulu. wallahu a'lam. []

DI CECELAH KOTA INI

DI CELAH KOTA INI kita menyaksikan orang melakukan apa sahaja untuk hidup. para gelandangan bergantung kepada sumbangan nasi bungkus di hujung minggu, atau sumbangan harian di muka masjid tertentu di tengah kota.
ada orang yang setiap hari duduk enak-enak sambil hisap rokok. mereka bermain catur di tepi jalan tuanku abdul rahman. pelancong lalu tertarik dengan pemandangan itu. wah, pemain catur di tepi jalan. kalau begini malaysia sepatutnya menjadi negara catur, juara catur pun ada di KL ini. sayang, permainan catur itu tidak mengikut standard internasional.
ada orang yang setiap hari bergantung kepada jual dan beli kasut terpakai. pagi-pagi atau waktu tertentu ada sahaja orang naik motosikal bawa bungkusan. apa bang? kasut. dia tolak kasut itu dengan harga dua tiga puluh ringgit untuk tiga pasang. "kalau ada curi lagi ya, saya sanggup beli!" begitulah agaknya apa yang dia tuturkan, saya tak sampai hati nak dekat. lihat dari jauh sahaja.
di lorong masih ada penghuni yang mencari wang dengan menjual tubuh. boleh dihitung dengan jari memang, tetapi, mereka tidak sorok-sorok, bahkan terang-terangan. dia boleh tegur dan lambai siapa sahaja jantan yang merayau tak tentu hala. khabarnya, kaum pelambai ini pun pandai buat "projek" sapu duit dalam dompet dan sapu telefon bimbit ketika seseorang sedang leka di dalam kamar misteri. apa yang mereka lakukan? ia lebih dari khalwat, hanya tak ada siapa minat nak rakamkan dalam bentuk video, kenapa? dia bukan orang politik.
di tengah kota juga, orang tak peduli kalau kamu selongkar tong sampah atau kutip tin minuman yang terbuang di bawah bangku, disepak pejalan kaki atau dipijak orang. terima kasihlah kerana usaha kamu membersihkan bandaraya ini.
di tengah kota juga, ada orang sibuk kalau orang lepa. pantang lepa, beg, dompet, telefon bimbit, laptop kecil akan disapu. rantai emas, dan apa sahaja ada harga tak usah kiralah. dulu ada geng copet yang suka naik bas di tengah kota. mereka ramai. lapan orang sekaligus, naik bas dan pura-pura salah bas, dan mahu turun semula walaupun tambang dah bayar. setelah mereka turun, baharulah ada dua atau seorang mengadu kehilangan telefon bimbit, hilang duit dan macam-macam hilang. inilah cara orang nak hidup di tengah kota.
di celah kota ini, moral yang perhitungkan. seorang teman yang hobinya ambil gambar beritahu, jirannya adalah pasangan bersekedudukan hingga beranak pinak. bagus. dia tahu apa kerja orang itu dan ke mana dia pergi setiap hari. kebetulan teman ini pun bergantung kepada pasangan itu kerana mereka menyewa kamar yang disediakan. padanlah.
jadi, di tengah kota ini, jangan sibuk nak mencari kes ringan macam khalwat dan menghampiri zina, tak terkata banyaknya. kata orang lumayan. bak kata blogger kita IKUT SUKA AKU, lelaki dah tua pun nak mencari pasangan ketika dinihari menjelang. ini mainan lelaki kota agaknya ketika di malam minggu.
zaman dulu kita boleh dengar wanita kabaret, wanita bar, wanita kelan malam, dan macam-macam lagi. sekarang masih wujud dalam versi lain pula. hal ini tak diketahui bagaimana businessnya. mungkin lumayan pak.
di tengah kota ini, pasangan bersekedudukan paling ramai. rak percaya buat operasi dari satu pintu ke pintu. berpasang-pasang boleh dicekup dalam satu malam. tapi, ini kerja penat. kalau tak ada orang repot, jangan buat, nanti buat orang marah, menyakiti jati jiran tak baik. profesyen masing-masing pun tak koman, macam-macam kerja yang terlibat. biarlah.
di celah kota ini, orang tak ada tempat tinggal pun ramai. jadi kutu rayau. tidur tepi kaki lima kedai. bawah jambatan, bawah pokok rendang, bawah jejambat, bawah mana sahaja asalkan terlindung, mereka mimpi indah di bawah tu, tidur pun lena. esok pagi-pagi bangun, pergi tandas awam, mandi berbayar. atau pergi masjid, mandi, tak solat pun tak apa, pakaian kotor, hapak. harap maaf.
di celah ketiak kota ini, penipu pun ramai. setiap hari merayau mencari mangsa. ada yang jadi broker, ada yang jadi penipu berterusan, mengaku baik dengan orang itu dan ini, mengaku ada kabel besar dengan si fulan, tabur cerita besar-besar, nak bayar teh tarik hai...payahnya...
di celah ketiak kota ini, ketika pembesar sana bicara tentang projek pembangunan, atau sumbangan wang berjuta-juta, mereka tak tahu apa, kerana mereka tidak punya tv, tidak punya radio, tidak punya rumah, tidak punya akhbar, tidak punya wang, dan tidak punya maklumat. mereka ketinggalan arus sungai perdana. mereka terbiar. hanyut dek waktu. begitupun orang masih menyanyi bahgia, malaysia oh tanah airku! []

Thursday, 1 March 2012

MENJELANG PILIHANRAYA AKAN DATANG

MENGAPA pilihanraya yang akan datang ini digembar-gemburkan dari sekarang? Ya, tidak lain, hanya nak tahu sejauh mana persiapan untuk menghadapi pilihanraya itu sudah disiapsediakan. Dengan sebab itulah, cerita tentang pilihanraya akan datang selalu dibicarakan orang di sana-sini.
Para pemimpin Umno-Barisan Nasional (UBN) sentiasa sibuk membuat program yang mereka anggap sebagai program turun padang, program bertemu rakyat. Sayangnya program yang dikatakan bertemu rakyat itu bukanlah bertemu rakyat yang sebenar, sebaliknya hanya bertemu kalangan orang kuat bahagian dan cawangan di mana seseorang pemimpin itu turun. Kalangan bawahan termasuk kanak-kanak sebagaimana digambarkan media arus perdana, mereka hanya dapat bersalaman, atau kalau ada program agihkan baucer RM500 ia diselitkan sedikit ala kadar.
Maknanya, program turun padang itu tidak berjalan dengan santai. Ia diatur begitu ketat sehingga hubaya-hubaya dalam politik peringkat atasan sahaja yang tampil di kanan dan kiri pemimpin pusat. Mereka berkerumun bagaikan ada sesuatu yang dihajati.
Ketika sibuk turun padang dan berpidato, dalam masa yang sama pembangkang (Pakatan Rakyat atau PR) juga mengadakan majlis turun padang juga, tetapi dalam bentuk ceramah, istilahnya ceramah politik. Pihak UBN memang tidak suka kepada ceramah politik PR kerana, ketika ceramah itulah segala pekung dan tembelang UBN didedahkan.
Hanya melalui ceramah begitulah PR boleh menyampaikan maklumat yang tidak disampaikan oleh Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan media TV mereka. Nampaknya, bagi orang yang tidak suka membaca, maklumat dari ceramah pemimpin PR lebih berkesan daripada pidato sesekali dari pemimpin UBN sekalipun Najib turun padang. 
Kenapa? Penonton TV kita sudah muak dan jemu melihat wajah Najib yang selalu terpampang di muka akhbar dan TV mereka di rumah. Pidatonya masih senada, mendatar dan sesekali bersemangat, tetapi lakonan angkat jari telunjuk sudah menjadi mainan pula sekarang. Lambang 1Malaysia pun tidak memberi impak lagi kepada rakyat.
Para pemimpin UBN marah kepada rakyat yang percaya kepada ceramah PR. Bilangan audien dalam ceramah makin meningkat. Untuk menghalang kebangkitan itu, mereka kerahkan gerombolan samseng bermotosikal buat hingar di sana-sini. Kesudahannya, rakyat benci. Gangguan bising dan hingar-bingar itu menyebabkan orang membuat kesimpulan bahawa anak-anak muda dalam Umno hanya layak jadi samseng jalanan. Jika begitu persepsi rakyat, maka masa depan Umno makin suram di kalangan rakyat. Umno tidak menunjukkan satu teladan yang baik untuk diikuti dan dihormati, sebaliknya, budaya samseng yang mereka tanamkan kepada generasi muda.
Sebenarnya semakin dekat pilihanraya, semakin banyak perkata pelik ditimbulkan. Walaupun ada percubaan dari pihak UBN untuk membuat gangguan terhadap kerajaan Selangor, kerajaan Kedah, kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan Kelantan, UBN belum dapat rentak yang diharapkan.
Ketika meraikan kemenangan merampas Perak, UBN lupa, strategi Perak tidak boleh digunakan untuk menumbangkan negeri PR yang lain. Ketika sibuk hendak merosakkan negeri orang lain, UBN dibebani dengan berbagai masalah. Tuntutan BERSIH, perhimpunan terbaru Hijau 2.0, kes Felda, kes NFC, dan kalau rajin membuat kes banyak lagi kes yang boleh diungkit. Kes-kes begini akan memeningkan pemimpin UBN.
Bagaimana mereka hendak menepis segala tohmah yang dilemparkan kepada mereka? Isu Israel yang mereka lemparkan ke arah Anwar Ibrahim kini balik kepada mereka semua. Jika tidak, manakan boleh timbul isu surat Dr Mahathir kepada pemimpin Israel. Maknanya, pihak UBN semakin tidak keruan apabila diusik oleh pihak PR. Bukan pihak pemimpin tertinggi PR sahaja, malah begitu teruja membaca komen dari blogger dan saluran media maya yang lain.
Perkiraan pemimpin UBN keadaan akan tenang apabila rakyat tanpa mengira sesiapa yang berpendapatan kurang RM3,000 menerima baucer RM500 itu. Walaupun ia bukan rasuah politik, orang tetap memandang simbolik penyampaian baucer di bangunan milik UBN, petugas yang sibuk juga menggunakan nama Umno. Ia memberi gambaran seolah-olah begitu pemurahnya petugas Umno mengagihkan wang. Dan bukan tidak ada orang yang termakan cerita bahawa itu adalah duit Umno.
Kenapa wang RM500 itu dijadikan sandaran utama? Setidak-tidaknya menurut para penganalisis di kota, ia dapat menutup mulut para pengkritik, walaupun pihak UBN sangat mengutamakan projek besar yang mana projek itu hanya diperuntukkan kepada orang yang berjasa kepada UBN, mereka juga tidak lupa kepada kelompok murbawan.
Wang sebanyak itu digembar-gemburkan dapat mengatasi masalah keluhan rakyat kerana kenaikan harga barang. Itu bukan alasan. Tidaklah pihak pemberi menghitung berapa sangat barangan yang boleh dibeli dengan wang sebanyak itu sekarang? Ada penerima bantuan hanya mampu untuk bayar hutang tertunggak. Bukan untuk belanja dapur jika alasan pemberian wang sebanyak itu untuk meringankan beban kenaikan harga barang. Sebenarnya bukan soal harga barang, sebaliknya mereka mahu rakyat murbawan memuji jasa baik para pemimpin UBN yang memberikan habuan walaupun sedikit.
Pemberian ini setidak-tidaknya adalah tempiasan daripada tindakan pihak PR Selangor yang menyediakan berbagai habuan kepada rakyat Selangor. Ia memberi gambaran seolah-olah, pihak UBN mampu memberikan lebih dari itu. Jika PR Selangor hanya memberikan kepada rakyat Selangor, pihak UBN memberikan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan politik mereka.
Memang bunyinya enak dan indah. Secara praktiknya, masih banyak yang tercicir. Bukan tidak dicongak, berapa billion yang dihabiskan untuk memberikan duit sebanyak itu kepada rakyat terpilih? Ia memberi gambaran, bahawa ekonomi negara tetap kukuh walaupun berapa billion diberikan kepada rakyat. Dengan harapan jangan ada sesiapa mengungkit soal ketirisan wang khazanah negara. UBN tahu mengurus wang, dan jangan percaya dengan tohmah pada masa akan datang kita yang muflis. Kewangan negara tetap kukuh walaupun sejak zaman Dr M telah berlaku banyak penyelewengan yang sehingga sekarang tidak dapat ditebus semula.
Mantan PM itu malah mengaitkan dengan mantan PM yang lain, yang konon menghabiskan wang lebih banyak daripada apa yang telah dia lakukan untuk mengatasi masalah MAS. Kita tuduh dia, dia tuduh PM yang seangkatan dengannya. Dr M masih mahu mengatakan bahawa Pak Lah adalah PM yang tidak tahu mengurus negara.
Kini tanda-tanda pilihanraya hampir dekat semakin senyap. Pihak UBN sengaja buat kecoh supaya orang bawahan bersiap sedia. Maksudnya agar puak-puak dalam UBN bersedia sepanjang masa. Akan tetapi khabarnya, sehingga sekarang mereka masih kecoh dengan kerusi mana yang hendak dipertandingkan dan mereka mencongak siapa dan siapa bakal jadi MB baru. Mana tahu akan negeri PR yang tumbag.
Kini berbagai isu ranting kecil yang dibangkitkan oleh media. Peranan media adalah menimbulkan isu dan kemudian merujuk kepada orang politik. Wartawan hanya menabur cerita, ia hendak melihat sejauh mana sambutan daripada audiens.
Walaupun ditabur begitu banyak, kalau media perdana pun tidak dibeli dan dibaca oleh orang ramai, ia tidak menjadi juga. Ia akan bermain di kalangan puak-puak UBN sahaja. Tidak tahu bagaimana jualan akhbar pro-kerajaan yang ada hari ini, apakah statik, merosot atau bagaimana. Apa pun bagi mereka yang hadir di perhimpunan apa sahaja anjuran PR, mereka bukanlah audiens sebenar bagi media pro-kerajaan. []

MINUM DARAH BEKAM

Amir ibn Abdullah ibn Zubair r.a. menceritakan bahawa ayahnya pernah datang kepada Nabi s.a.w. ketika baginda sedang berbekam. Selesai berbekam, baginda s.a.w. bersabda, "Wahai Abdullah! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di tempat yang seorang pun tak dapat melihat kamu." Setelah meninggalkan Nabi s.a.w., dia mengambil darah itu lalu meminumnya. Apabila kembali semula, Nabi s.a.w. bertanya, "Apa yang kamu telah lakukan dengan darah itu?" Dia menjawab, "Aku telah sorokkan di tempat yang sangat tersorok, yang aku tahu ia sememangnya tersembunyi daripada orang ramai." Baginda s.a.w. bersabda, "Boleh jadi engkau telah memimumnya?" Dia menjawab, "Ya." Nabi s.a.w. bersabda, "Kenapa kamu minum darah itu? Celakalah manusia daripada kamu dan keselamatan kamu daripada manusia."
Begitu disebutkan dalam kitab AL ISOBAH[2:310]. Imam Hakim  dan at-Tabrani juga meriwayatkan seperti ini [3:554].
Al-Haitami berkata, hadis tersebut diriwayatkan juga oleh Imam Tabrani dan al-Bazaar secara ringkas. Rijal al-Bazaar adalah rijal yang shahih selain Hunaid ibn al-Qassim, ia adalah tsiqah. Ibnu Asakir juga meriwayatkan hadis ini sebagaimana di dalam AL-KANZ [7:57].
Di dalam satu riwayat, telah berkata Abu Salamah, "Mereka melihat bahawa kekuatan yang dimiliki oleh ibn Zubair r.a. datangnya dari kekuatan darah Nabi s.a.w.[]