Friday 23 March 2012

SOLAT AMALAN UTAMA DIHISAB

BUKAN SENANG HENDAK SOLAT hinggakan ada orang kata, solat tunggang-tunggik belum tentu masuk syurga. kemudian yang kata begitu sendiri bukan tunggang-tunggik, malah tunggang-langkang, lintang-pukang hendak mendisiplinkan diri. inilah nasihat ustaz dalam tazkirah. "Sesungguhnya yang pertama kali akan dihisab atas seorang hamba pada hari kiamat adalah perkara solat. Jika solatnya baik, maka baik pula seluruh amalan ibadah lainnya, kemudian semua amalannya akan dihitung atas hal itu." (HR.an-Nasai, 463).
Memang kita semua akui, kita selalu lalai dalam perkara solat kerana kesibukan kita bermain dengan waktu. Tanpa sengaja kita melakukan kesilapan yang tidak disedari/diketahui  yang membuatkan amalan solat kita jadi tak sempurna.
Di antara yang biasa disebut oleh pentazkirah ketika majlis ilmu adalah:
1.MENUNDA-NUNDA SOLAT DARI WAKTU YANG DITETAPKAN.
Meski ada jam dan peralatan canggih, kira sering melirik ke situ, tapi kita leka dengan perbualan di warung, tempat kerja, dalam kenderaan atau perlekaan yang biasa. "Sesungguhnya solat suatu kewajipan yang telah ditetapkan waktunya bagi orang-orang beriman." [an-Nisa: 103]
2.TIDAK SOLAT BERJEMAAH BAGI LELAKI.
Nabi s.a.w.berpesan, barang siapa yang mendengar panggilan azan kemudian tidak menjawabnya [dengan mendatangi solat berjamaah], kecuali uzur. Jadi sebaiknya kita berjemaah. Di bandar-bandar kita, banyak masjid dan surau, bahkan dalam bangunan tempat membeli-belah pun ada surau walaupun kecil sekalipun.
3.TIDAK TUMAKNINAH DALAM SOLAT.
Kenapa? kita terburu-buru, sibuk, masa begitu terhad. Jadi ia menjejaskan mutu solat kita. Bahkan tak sampai lima minit sudah selesai.
4.TIDAK KUSYUK.
Minda kita bermain dengan apa yang kita lakukan sebelum wuduk tadi, atau apa yang nak dilakukan setelah solat ini. Disebabkan tidak khusyuk, ada yang bermain-main, membuat pergerakan yang berlebihan ketika solat. Kekusyukan itu bergantung kepada hati, hati yang diganggui sesuatu menyebabkan kekusyukan itu lari, ia melalai dalam solat. Bila lalai, tak tahu berapa rakaat sudahnya.
5.SENGAJA MENDAHULUI GERAKAN IMAM.
Atau tidak mengikut gerakannya. Ia memang boleh membatalkan solat. Sebagai makmum menjadi kewajipan kita mengikut imam sepenuhnya, tanpa mendahului atau melambat-lambatkannya. "Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti keseluruhannya, Jika ia bertakbir maka bertakbirlah, dan jangan bertakbir sehingga imam bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan rukuk sehingga imam rukuk." (HR.Bukhari).
6.MELAFAZKAN NIAT.
Tidak ada keterangan dari Nabi s.a.w. mahupun dari para sahabat bahawa mereka pernah melafazkan niat solat sebagaimana yang kita selalu amalkan sehingga mengganggu orang di kanan dan kiri kita ketika bertakbiratul ihram. Ibnu Qayim [dalam Zadul Ma'ad] "Ketika Nabi  s.a.w. berdiri untuk solat, beliau mengucapkan ALLAHU AKBAR, dan tidak berkata apa pun selain itu, beliau juga tidak melafazkan niatnya dengan keras."
Ada ustaz buat komen, masalah niat begini hanya berlaku di alam Melayu kita, entah di mana silapnya kaedah pengajaran tentang solat dalam hal niat ini.
7.BACA AL-QURAN DALAM RUKUK ATAU SUJUD.
Ini dilarang. "Saya telah dilarang untuk membaca al-Quran selama rukuk atau dalam sujud." (HR.Muslim).
8.MEMANDANG KE ATAS ATAU ke kanan dan ke kiri ketika solat tanpa alasan tertentu.
9.MELIHAT KE SEKELILING TANPA ada keperluan apa pun. Perbuatan ini kata Nabi s.a.w., "Itu adalah curian yang sengaja dibisikkan syaitan pada umat dalam solatnya." (HR.Bukhari).
10.TERUTAMA WANITA YANG TIDAK MENUTUP KEPALA DAN KAKI ketika solat. "Allah tidak menerima solat wanita yang sudah mencapai usia haid, kecuali jika dia memakai jilbab[khimar]." (HR.Ahmad)
11.BERJALAN DI DEPAN ORANG SEDANG SOLAT ,tertib ini nampaknya tidak dipatuhi terutama di masjid-masjid. Mungkin orang itu tidak tahu tentang tegahan ini kerana mereka sedang berjinak-jinak dengan masjid.
12.BERDIRI UNTUK MENCUKUPKAN RAKAAT YANG TERTINGGAL sebelum imam menyelesaikan tasyahud akhir dengan mengucap salam ke kanan dan ke kiri.
13.TIDAK MENGIKUT IMAM pada posisi yang sama ketika datang terlambat baik ketika imam sedang duduk atau sujud.
14.BERMAIN DENGAN PAKAIAN ATAU JAM yang dipakainya ketika sedang solat sehingga mengurangi kekhusyukan.
15.MENUTUP MATA atau memejamkan mata tanpa alasan.
16.MAKAN ATAU MINUM ATAU TERTAWA. Jika seseorang itu melakukan tiga perkara ini dengan sengaja, maka solatnya perlu diulangi.
17.MENGERASKAN SUARA hingga mengganggu orang lain di kanan dan kiri kita.
18.MENCELAH DI ANTARA ORANG YANG SEDANG SOLAT.
19.TIDAK MELURUSKAN SAF.
20.MENGANGKAT KAKI KETIKA SUJUD. perbuatan ini ada yang disedari dan ada yang tidak kerana sudah jadi kebiasaan. selagi tidak diperingatkan, maka ia akan jadi amalan berterusan.
21.TIDAK BERHATI-HATI SUJUD DENGAN tujuh anggota tubuh -hidung, kedua tapak tangan, kedua lutut, jari kedua kaki.
22.MEMBUNYIKAN PERSENDIAN ketika solat. ada juga yang membunyikan dan mempermainkan antara jejari ketika atau sebelum solat.
23.MENJADIKAN SESEORANG SEBAGAI IMAM, padahal tidak layak. "Imam bagi manusia adalah yang paling baik membaca al-Quran." (HR.Muslim)
24.BAGI WANITA. "Jangan biarkan perempuan yang berbau harum menghadiri solat isya bersama kita," (HR.Muslim). Maksudnya berhias dan berwangi-wangian.
25.SOLAT DENGAN PAKAIAN BERGAMBAR, apa lagi gambar makhluk bernyawa. Menjadi kebiasaan di negara kita, ada yang memakai jersi bola sepak, jersi futsal, siap ada nama dan nombor pemain, ini belum lagi tulisan dan gambar-gambar pada t-shirt yang dipakai. Ramai yang tidak faham dengan masalah ini. Mereka yang memakai pakaian berganbar, elok solat di saf akhir kerana tidak mengganggu konsentrasi orang lain yang melihatnya jika dia solat di saf depan.
26.SOLAT DENGAN SARUNG, GAMIS DAN SELUAR MUSBIL, yakni melebihi mata kaki (bagi lelaki).
27.SOLAT DI ATAS PERKUBURAN ATAU MENGHADAP KUBUR. Cuba ingat, masjid manakah yang ada perkuburan di depannya atau di sisi kanan atau kiri masjidnya. Jemaah pun menghadap ke arah perkuburan itu.
28.SOLAT TIDAK MENGHADAP SUTRAH. Sutrah ini adalah pembatas, gunanya agar tidak ada sesiapa lalu di depan kita ketika sedang solat terutama di masjid yang sentiasa sibuk dengan orang ramai keluar masuk. Sutrah boleh jadi tiang masjid, beg sandang kita atau apa sahaja yang boleh dijadikan sutrah.[]

1 comment: