Thursday 1 March 2012

MENJELANG PILIHANRAYA AKAN DATANG

MENGAPA pilihanraya yang akan datang ini digembar-gemburkan dari sekarang? Ya, tidak lain, hanya nak tahu sejauh mana persiapan untuk menghadapi pilihanraya itu sudah disiapsediakan. Dengan sebab itulah, cerita tentang pilihanraya akan datang selalu dibicarakan orang di sana-sini.
Para pemimpin Umno-Barisan Nasional (UBN) sentiasa sibuk membuat program yang mereka anggap sebagai program turun padang, program bertemu rakyat. Sayangnya program yang dikatakan bertemu rakyat itu bukanlah bertemu rakyat yang sebenar, sebaliknya hanya bertemu kalangan orang kuat bahagian dan cawangan di mana seseorang pemimpin itu turun. Kalangan bawahan termasuk kanak-kanak sebagaimana digambarkan media arus perdana, mereka hanya dapat bersalaman, atau kalau ada program agihkan baucer RM500 ia diselitkan sedikit ala kadar.
Maknanya, program turun padang itu tidak berjalan dengan santai. Ia diatur begitu ketat sehingga hubaya-hubaya dalam politik peringkat atasan sahaja yang tampil di kanan dan kiri pemimpin pusat. Mereka berkerumun bagaikan ada sesuatu yang dihajati.
Ketika sibuk turun padang dan berpidato, dalam masa yang sama pembangkang (Pakatan Rakyat atau PR) juga mengadakan majlis turun padang juga, tetapi dalam bentuk ceramah, istilahnya ceramah politik. Pihak UBN memang tidak suka kepada ceramah politik PR kerana, ketika ceramah itulah segala pekung dan tembelang UBN didedahkan.
Hanya melalui ceramah begitulah PR boleh menyampaikan maklumat yang tidak disampaikan oleh Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan media TV mereka. Nampaknya, bagi orang yang tidak suka membaca, maklumat dari ceramah pemimpin PR lebih berkesan daripada pidato sesekali dari pemimpin UBN sekalipun Najib turun padang. 
Kenapa? Penonton TV kita sudah muak dan jemu melihat wajah Najib yang selalu terpampang di muka akhbar dan TV mereka di rumah. Pidatonya masih senada, mendatar dan sesekali bersemangat, tetapi lakonan angkat jari telunjuk sudah menjadi mainan pula sekarang. Lambang 1Malaysia pun tidak memberi impak lagi kepada rakyat.
Para pemimpin UBN marah kepada rakyat yang percaya kepada ceramah PR. Bilangan audien dalam ceramah makin meningkat. Untuk menghalang kebangkitan itu, mereka kerahkan gerombolan samseng bermotosikal buat hingar di sana-sini. Kesudahannya, rakyat benci. Gangguan bising dan hingar-bingar itu menyebabkan orang membuat kesimpulan bahawa anak-anak muda dalam Umno hanya layak jadi samseng jalanan. Jika begitu persepsi rakyat, maka masa depan Umno makin suram di kalangan rakyat. Umno tidak menunjukkan satu teladan yang baik untuk diikuti dan dihormati, sebaliknya, budaya samseng yang mereka tanamkan kepada generasi muda.
Sebenarnya semakin dekat pilihanraya, semakin banyak perkata pelik ditimbulkan. Walaupun ada percubaan dari pihak UBN untuk membuat gangguan terhadap kerajaan Selangor, kerajaan Kedah, kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan Kelantan, UBN belum dapat rentak yang diharapkan.
Ketika meraikan kemenangan merampas Perak, UBN lupa, strategi Perak tidak boleh digunakan untuk menumbangkan negeri PR yang lain. Ketika sibuk hendak merosakkan negeri orang lain, UBN dibebani dengan berbagai masalah. Tuntutan BERSIH, perhimpunan terbaru Hijau 2.0, kes Felda, kes NFC, dan kalau rajin membuat kes banyak lagi kes yang boleh diungkit. Kes-kes begini akan memeningkan pemimpin UBN.
Bagaimana mereka hendak menepis segala tohmah yang dilemparkan kepada mereka? Isu Israel yang mereka lemparkan ke arah Anwar Ibrahim kini balik kepada mereka semua. Jika tidak, manakan boleh timbul isu surat Dr Mahathir kepada pemimpin Israel. Maknanya, pihak UBN semakin tidak keruan apabila diusik oleh pihak PR. Bukan pihak pemimpin tertinggi PR sahaja, malah begitu teruja membaca komen dari blogger dan saluran media maya yang lain.
Perkiraan pemimpin UBN keadaan akan tenang apabila rakyat tanpa mengira sesiapa yang berpendapatan kurang RM3,000 menerima baucer RM500 itu. Walaupun ia bukan rasuah politik, orang tetap memandang simbolik penyampaian baucer di bangunan milik UBN, petugas yang sibuk juga menggunakan nama Umno. Ia memberi gambaran seolah-olah begitu pemurahnya petugas Umno mengagihkan wang. Dan bukan tidak ada orang yang termakan cerita bahawa itu adalah duit Umno.
Kenapa wang RM500 itu dijadikan sandaran utama? Setidak-tidaknya menurut para penganalisis di kota, ia dapat menutup mulut para pengkritik, walaupun pihak UBN sangat mengutamakan projek besar yang mana projek itu hanya diperuntukkan kepada orang yang berjasa kepada UBN, mereka juga tidak lupa kepada kelompok murbawan.
Wang sebanyak itu digembar-gemburkan dapat mengatasi masalah keluhan rakyat kerana kenaikan harga barang. Itu bukan alasan. Tidaklah pihak pemberi menghitung berapa sangat barangan yang boleh dibeli dengan wang sebanyak itu sekarang? Ada penerima bantuan hanya mampu untuk bayar hutang tertunggak. Bukan untuk belanja dapur jika alasan pemberian wang sebanyak itu untuk meringankan beban kenaikan harga barang. Sebenarnya bukan soal harga barang, sebaliknya mereka mahu rakyat murbawan memuji jasa baik para pemimpin UBN yang memberikan habuan walaupun sedikit.
Pemberian ini setidak-tidaknya adalah tempiasan daripada tindakan pihak PR Selangor yang menyediakan berbagai habuan kepada rakyat Selangor. Ia memberi gambaran seolah-olah, pihak UBN mampu memberikan lebih dari itu. Jika PR Selangor hanya memberikan kepada rakyat Selangor, pihak UBN memberikan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan politik mereka.
Memang bunyinya enak dan indah. Secara praktiknya, masih banyak yang tercicir. Bukan tidak dicongak, berapa billion yang dihabiskan untuk memberikan duit sebanyak itu kepada rakyat terpilih? Ia memberi gambaran, bahawa ekonomi negara tetap kukuh walaupun berapa billion diberikan kepada rakyat. Dengan harapan jangan ada sesiapa mengungkit soal ketirisan wang khazanah negara. UBN tahu mengurus wang, dan jangan percaya dengan tohmah pada masa akan datang kita yang muflis. Kewangan negara tetap kukuh walaupun sejak zaman Dr M telah berlaku banyak penyelewengan yang sehingga sekarang tidak dapat ditebus semula.
Mantan PM itu malah mengaitkan dengan mantan PM yang lain, yang konon menghabiskan wang lebih banyak daripada apa yang telah dia lakukan untuk mengatasi masalah MAS. Kita tuduh dia, dia tuduh PM yang seangkatan dengannya. Dr M masih mahu mengatakan bahawa Pak Lah adalah PM yang tidak tahu mengurus negara.
Kini tanda-tanda pilihanraya hampir dekat semakin senyap. Pihak UBN sengaja buat kecoh supaya orang bawahan bersiap sedia. Maksudnya agar puak-puak dalam UBN bersedia sepanjang masa. Akan tetapi khabarnya, sehingga sekarang mereka masih kecoh dengan kerusi mana yang hendak dipertandingkan dan mereka mencongak siapa dan siapa bakal jadi MB baru. Mana tahu akan negeri PR yang tumbag.
Kini berbagai isu ranting kecil yang dibangkitkan oleh media. Peranan media adalah menimbulkan isu dan kemudian merujuk kepada orang politik. Wartawan hanya menabur cerita, ia hendak melihat sejauh mana sambutan daripada audiens.
Walaupun ditabur begitu banyak, kalau media perdana pun tidak dibeli dan dibaca oleh orang ramai, ia tidak menjadi juga. Ia akan bermain di kalangan puak-puak UBN sahaja. Tidak tahu bagaimana jualan akhbar pro-kerajaan yang ada hari ini, apakah statik, merosot atau bagaimana. Apa pun bagi mereka yang hadir di perhimpunan apa sahaja anjuran PR, mereka bukanlah audiens sebenar bagi media pro-kerajaan. []

No comments:

Post a Comment