Friday 2 March 2012

DI CECELAH KOTA INI

DI CELAH KOTA INI kita menyaksikan orang melakukan apa sahaja untuk hidup. para gelandangan bergantung kepada sumbangan nasi bungkus di hujung minggu, atau sumbangan harian di muka masjid tertentu di tengah kota.
ada orang yang setiap hari duduk enak-enak sambil hisap rokok. mereka bermain catur di tepi jalan tuanku abdul rahman. pelancong lalu tertarik dengan pemandangan itu. wah, pemain catur di tepi jalan. kalau begini malaysia sepatutnya menjadi negara catur, juara catur pun ada di KL ini. sayang, permainan catur itu tidak mengikut standard internasional.
ada orang yang setiap hari bergantung kepada jual dan beli kasut terpakai. pagi-pagi atau waktu tertentu ada sahaja orang naik motosikal bawa bungkusan. apa bang? kasut. dia tolak kasut itu dengan harga dua tiga puluh ringgit untuk tiga pasang. "kalau ada curi lagi ya, saya sanggup beli!" begitulah agaknya apa yang dia tuturkan, saya tak sampai hati nak dekat. lihat dari jauh sahaja.
di lorong masih ada penghuni yang mencari wang dengan menjual tubuh. boleh dihitung dengan jari memang, tetapi, mereka tidak sorok-sorok, bahkan terang-terangan. dia boleh tegur dan lambai siapa sahaja jantan yang merayau tak tentu hala. khabarnya, kaum pelambai ini pun pandai buat "projek" sapu duit dalam dompet dan sapu telefon bimbit ketika seseorang sedang leka di dalam kamar misteri. apa yang mereka lakukan? ia lebih dari khalwat, hanya tak ada siapa minat nak rakamkan dalam bentuk video, kenapa? dia bukan orang politik.
di tengah kota juga, orang tak peduli kalau kamu selongkar tong sampah atau kutip tin minuman yang terbuang di bawah bangku, disepak pejalan kaki atau dipijak orang. terima kasihlah kerana usaha kamu membersihkan bandaraya ini.
di tengah kota juga, ada orang sibuk kalau orang lepa. pantang lepa, beg, dompet, telefon bimbit, laptop kecil akan disapu. rantai emas, dan apa sahaja ada harga tak usah kiralah. dulu ada geng copet yang suka naik bas di tengah kota. mereka ramai. lapan orang sekaligus, naik bas dan pura-pura salah bas, dan mahu turun semula walaupun tambang dah bayar. setelah mereka turun, baharulah ada dua atau seorang mengadu kehilangan telefon bimbit, hilang duit dan macam-macam hilang. inilah cara orang nak hidup di tengah kota.
di celah kota ini, moral yang perhitungkan. seorang teman yang hobinya ambil gambar beritahu, jirannya adalah pasangan bersekedudukan hingga beranak pinak. bagus. dia tahu apa kerja orang itu dan ke mana dia pergi setiap hari. kebetulan teman ini pun bergantung kepada pasangan itu kerana mereka menyewa kamar yang disediakan. padanlah.
jadi, di tengah kota ini, jangan sibuk nak mencari kes ringan macam khalwat dan menghampiri zina, tak terkata banyaknya. kata orang lumayan. bak kata blogger kita IKUT SUKA AKU, lelaki dah tua pun nak mencari pasangan ketika dinihari menjelang. ini mainan lelaki kota agaknya ketika di malam minggu.
zaman dulu kita boleh dengar wanita kabaret, wanita bar, wanita kelan malam, dan macam-macam lagi. sekarang masih wujud dalam versi lain pula. hal ini tak diketahui bagaimana businessnya. mungkin lumayan pak.
di tengah kota ini, pasangan bersekedudukan paling ramai. rak percaya buat operasi dari satu pintu ke pintu. berpasang-pasang boleh dicekup dalam satu malam. tapi, ini kerja penat. kalau tak ada orang repot, jangan buat, nanti buat orang marah, menyakiti jati jiran tak baik. profesyen masing-masing pun tak koman, macam-macam kerja yang terlibat. biarlah.
di celah kota ini, orang tak ada tempat tinggal pun ramai. jadi kutu rayau. tidur tepi kaki lima kedai. bawah jambatan, bawah pokok rendang, bawah jejambat, bawah mana sahaja asalkan terlindung, mereka mimpi indah di bawah tu, tidur pun lena. esok pagi-pagi bangun, pergi tandas awam, mandi berbayar. atau pergi masjid, mandi, tak solat pun tak apa, pakaian kotor, hapak. harap maaf.
di celah ketiak kota ini, penipu pun ramai. setiap hari merayau mencari mangsa. ada yang jadi broker, ada yang jadi penipu berterusan, mengaku baik dengan orang itu dan ini, mengaku ada kabel besar dengan si fulan, tabur cerita besar-besar, nak bayar teh tarik hai...payahnya...
di celah ketiak kota ini, ketika pembesar sana bicara tentang projek pembangunan, atau sumbangan wang berjuta-juta, mereka tak tahu apa, kerana mereka tidak punya tv, tidak punya radio, tidak punya rumah, tidak punya akhbar, tidak punya wang, dan tidak punya maklumat. mereka ketinggalan arus sungai perdana. mereka terbiar. hanyut dek waktu. begitupun orang masih menyanyi bahgia, malaysia oh tanah airku! []

No comments:

Post a Comment