Friday 23 March 2012

BAB KUTBAH JUMAAT

BUKANKAH LEBIH BAIK kutbah Jumaat itu ditulis sendiri oleh pihak masjid di tempat masing-masing kerana bahan yang hendak disampaikan itu lebih dekat kepada hadirin yang ada. Tidak perlu mencari topik yang global menerjah ruang yang jauh sekiranya permasalahan setempat, di kampung atau kariah itu sendiri masih banyak.
Apabila kutbah Jumaat diseragamkan di mana-mana masjid, atau kutbah dijadikan alat sebagaimana Berita Perdana atau propaganda pemerintah, ia akan mengurangkan rasa  hormat jemaah terhadap petugas masjid,  lebih-lebih lagi sekiranya kutbah itu terang-terangan menyatakan dukungan kepada sesuatu pihak.
Apa alasan kutbah boleh ditulis sendiri mengikut masjid yang ada? Imam atau sesiapa sahaja petugas masjid yang bergaji hari ini kebanyakannya lulusan pengajian tinggi, sudah selayaknya mereka diberi keyakinan dan kepercayaan untuk menulis kutbah sendiri.
Yang hairan, kenapa ada pihak tertentu mengadakan pertandingan menulis kutbah. Adakah hanya untuk suka-suka mencungkil bakal seperti mencari juara nyanyian? Sayembara menulis kutbah tidak memberi makna jika pihak masjid sendiri bergantung kepada kutbah daripada "pusat" guna menyeragamkan isi kutbah di semua masjid.
Sebenarnya bukan soal seragam atau tidak, kutbah sudah dijadikan alat untuk mengawal masjid-masjid agar tidak condong ke kiri, maksudnya agar kutbah itu senada dengan berita perdana yang mereka tonton di televisyen masing-masing di rumah.
Contoh, solat Jumaat baru-baru ini kutbah bertemakan tentang polis, menyatakan betapa anggota polis ini banyak berjasa menjaga keamanan negara. Maksudnya tanpa mereka negara ini tidak aman. Kita kena faham, ia adalah sebuah institusi menjaga keamanan, memang tugasnya begitu sesuai dengan Akta Polis 1967. Mereka bukan kerja tanpa gaji, sama seperti anggota tentera yang bergaji, tetapi kita tidak berperang pun dengan mana-mana pihak, kecuali menyertai pasukan pengaman PBB.
Kutbah itu menyentuh tentang peranan polis, dan kemudian menyentuh tentang hebatnya Ketua Polis Negara di zaman silam, terutama di negara-negara Islam, dia adalah pemimpin yang mampu menjaga agama dan keselamatan rakyat. KPN juga mampu jadi imam solat, faham agama, tahu undang-undang syariah, tahu hadis, tahu tafsir dan bukan setakat tahu perundangan cara Inggeris. Kutbah Jumaat ini seolah-olah menyindir KPN yang ada hari ini.
Kemudian ketika Ustaz Zamihan dari ILIM, bangi buat tazkirah. Belau bertanya hadirin, di dalam al-Quran ada hudud atau tidakkkk? Jawab! Hadirin pun jawab, "Ada!" Nah, siapa yang mengatakan tidak ada kafirlah dia. Kemudian beliau menyatakan bab kekafiran dengan sebab-sebab yang menidak atau menafikan hukum-hukum Allah SWT.
Saya kira Ustaz Zamihan ini suaranya agak lantang, dia mempertikaikan, mana ada undang-undang hukuman gantung? Tali gantung itu sendiri diimport dari Pakistani, dengan harga RM3,500 satu. Duit siapa? Tanya ustaz itu, dah tentu duit rakyat. Kemudian beliau menyentuh ketika diminta baca kutbah di sebuah penjara.
Tema kutbah tak kena dengan keadaan di penjara. Itulah yang saya kata tadi, kutbah kena ikut tempat. Jika kita baca kutbah dari Putrajaya, sesuaikah orang di Gombak sebelah dalam mendengarnya?
Sekarang kutbah kita main tema. Ada ulangtahun yang tak berkaitan pun nak diberitahu kepada hadirin di masjid. Apa mustahaknya ulang tahun itu dan ini? Bagi orang kampung tak ada apanya, melainkan mengantuk sahajalah yang dia dapat.
Berbalik kepada komen Ustaz Zamihan tadi, beliau mempersoalkan belanja yang diperlukan untuk seorang banduan di penjara [mungkin fakta ini boleh dibetulkan, kerana saya mengutip dari tazkirah beliau] sebanyak RM30 sehari, makan lima kali sehari. Kita di luar pun makan tak banyak macam itu. Ini duit siapa? Dah tentu duit rakyat.
Mungkin ada jemaah tertanya-tanya, kalau duit bagi makan kepada banduan pun dipersoalkan, kenapa tidak kurangkan sahaja bilangan banduan yang ada? Kes-kes kecil yang boleh didenda, denda sahaja, tak payah masuk penjara. Duit tak ada, buat kaedah lain cara mana mereka boleh bayar denda. Orang tak ada punca pendapatan diminta bayar denda cuba fikirkan. Masuk penjaralah jawabnya. Sudah masuk ada orang merungut duit makan minum kena duit rakyat juga.
Sekarang semua kesalahan nak disumbat ke penjara. Apabila kos perbelanjaan makan dan minum bertambah sekalipun gunakan duit rakyat, kita tak perlu merungut dan buat komen. Nanti jadi lagu,  "Oh Katak, oh katak kenapa kamu panggil hujan?..."
Inilah catatan saya ketika solat Jumaat di Masjid Jamek Reformasi, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Selalunya saya solat di Masjid Pakistan untul mengelak kutbah Jawi yang propagadis. []

No comments:

Post a Comment