Monday 26 March 2012

KISAH ANUSYIRWAN ADIL

NAMA ANUSYIRWAN ADIL selalu disebut dalam buku-buku lama seperti Sejarah Melayu dan mukadimah buku sejarah yang meniru acuan Sejarah Melayu lainnya. Siapakah Anusyirwan Adil itu, adakah dia memang seorang yang menegakkan keadilan di tengah masyarakatnya?
Sebenarnya Anusyirwan ada kaitan dengan nama Mazdak [mungkin nama kereta Mazda?] bin Namdan di zaman pemerintahan Raja Qubadz bin Fairuz. Dia adalah ayah Anusyirwan Adil.
Mazdak bin Namdan adalah seorang pengasas ajaran karut, dia mengaku sebagai nabi dan membuat ajaran baru yang semacam agama. Ajarannya hanya berkisar kepada duniawi, harta dan wanita. Itulah agama serba boleh yang membenarkan pengikutnya menjadikan harta dan wanita milik bersama, isteri seseorang boleh dizinai oleh sesiapa sahaja.
Seandainya di zaman sekarang masih ada amalan yang meniru perangai ini, ia adalah lanjutan daripada ajaran sesat Mazdak. Sebagai raja, Gurbadz terpaksa merelakan agar permaisuri ditiduri oleh lelaki lain, baik para pembesar atau elitis bangsawan lain. Sudah tentu rakyat kecil pun ingin menikmati permaisuri yang kalau dalam kisah silam biasanya cantik belaka dan tidak ada cacatnya.
Mahukah Raja Qurbadz membiarkan isterinya ditiduri oleh pembesar negeri atau kalangan elitis bangsawan? Sikap begini juga ada di kalangan manusia moden apabila tindakan ini selalunya dikaitkan dengan perasuahan yang terselindung.
Tentang Anusyirwan tadi, dia anak raja yang menyedari bahawa ajaran yang diamalkan oleh bapanya ini adalah ajaran yang tidak sesuai dengan jiwanya. Lantas dia menentang bapanya sendiri. Manakan rela si anak lelaki melihat ibunya asyik berkepit dengan lelaki lain dari kalangan bangsawan dan elitis lingkungan istana?
Akhirnya, Anusyirwan pun membangkang tindakan bapanya sendiri.
"Izinkan aku berdebat dengan dia," kata Anusyirwan.
"Dengan siapa nak?"
"Dengan ajaran Mazdak ini, kalau aku kalah aku akan tunduk dengan ajaran ini, dan kalau aku dapat mematahkan hujahnya, maka dia akan aku bunuh!" begitulah kata-kata Anusyirwan.
Dalam perdebatan yang berkaitan masalah dekadensi moral di kalangan penganut ajaran agama sesat Mazdak itu, Anusyirwan berjaya mematahkan hujah lawannya.
Dia menentang ayahnya sendiri kerana ajaran yang diamalkan oleh keluarganya itu adalah ajaran agama permisif iaitu serba boleh dan semuanya halal. Pada zaman sekarang pun ajaran begini walaupun orang kata tidak ada lagi di bumi Malaysia, ia masih wujud. Ia menjadi amalan kalangan elitis dan cenderawasih yang mengagung-agungkan kebebasan. Betapa tidak bebas kerana mereka memiliki harta yang melimpah ruah, memiliki kehebatan, ketampanan atau kecantikan, maka mereka ini mengikuti ajaran Mazdak.
Kesan daripada kalah debat dengan anaknya itu, sesiapa sahaja yang menganut ajaran itu jika diketahui akan diusir atau dibunuh oleh Anusyirwan. Jadi, Anusyirwan ini adalah pembenteras kebejatan moral si ayah dan keluarganya.
Pengikut ajaran Mazdak ini adalah orang-orang yang digelar zindiq atau maniyah, manichaeisme, bertuhan dua. Pengikut Mazdak juga begitu. Raja Qubadz berfaham bahawa harta dan para isteri adalah milik bersama, boleh dikongsikan dengan orang lain.
Kelompok Mazdak ini menurut sejarahnya mempunyai kitabnya yang dinamai ZANDA. Pengikut Mazdak menisbatkan kitab ini sebagai ajaran mereka. Perkataan Zinda atau Zanda ini kemudian diarabkan menjadi zindiq [Abu al-Fath Nashir bin Abdis Sayyid bin Ali al-Mathrazi, Al-Mughirab fi Tartib al-Mu'arrab, Dar al-Kitab al-Arabi, juz 2, h.477].
Kini, kata zindiq memberi maksud orang tidak bertuhan, iaitu satu aliran yang tidak mempercayai adanya Tuhan dan ajaran-Nya. Mereka kadang-kadang menampakkan keimanan dan menyembunyikan kekafiran. Aliran zindiq ini beasal dari Parsi, berkembang di Turki, Iraq, China dan Kirman. Pada maza Khalifah Harun al-Rasyid, golongan ini banyak dibunuh.
Kesinambungan dari ajaran caca-marba Mazdak tadi, pengikut zindiq memang gemar mengamalkan hal-hal keterlaluan, menegah hubungan seks antara lelaki dan wanita, sebaiknya adalah homoseks atau lesbian. Jadi, sesiapa yang bebas mengamalkan perbuatan ini sekarang, baik di mana pun, mereka adalah umat Mazdak, meniru ajaran Mazdak yang pernah dibanteras oleh Nusyirwan Adil.
Ajaran zindiq ini juga lebih mengutamakan bangkai daripada haiwan sembelihan. Tidak dibenarkan sembelih haiwan, tetapi kalau haiwan itu sudah tergolek dihurung lalat, maka dagingnya bolehlah dilapah [Drs Shadiq, Kamus Istilah Agama, CV.Sienttarama, Jakarta, 1988,h.401].
Para fuqaha' menggunakan kata zindiq bagi maksud murtad atau munafik. Kata Imam Malik, orang yang zindiq itu adalah yang keadaannya munafik. Dari fuqaha Syafiiyah pula, mengatakan sindiq adalah orang yang menampakkan Islam  dan menyembunyikan kekafiran. Imam an-Nawawi (dalam Lughatu Raudhah), zindiq itu orang yang tidak memeluk agama.

No comments:

Post a Comment