Monday 26 March 2012

AJARAN SESAT BAHAYA KALAU DISEBARKAN

DENGAN BAHASA YANG MUDAH, ajaran sesat adalah ilmu yang diajarkan dan disebarkan sama ada secara rahsia mahupun secara meluas kepada orang lain yang didapati menyimpang daripada kebenaran asal. Menurut Jakim (Bahagian Akidah, Jabatan Iemajuan Islam Malaysia, 2001), sebarang ajaran ataupun amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam ataupun bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan itu berlandaskan ajaran islam. Hakikatnya, ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islam, bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, bertentangan dengan mazhab yang muktabar dan bertentangan dengan ahli sunnah wal Jamaah (ASWJ).
Engku Ahmad Zaki (2007) memberi takrif sebarang ajaran dan amalan yang didukung oleh orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan islam yang mendakwa ajaran dan amalan itu berdasarkan pada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan itu bertentangan dengan al-Quran  dan sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan pula dengab mazhab yang muktabar iaitu mazhab ASWJ. (Ajaran Sesat mengenali Jalan Yang Terpesong, PTS Publications).
Sebelum itu, Abdul Fatah Haron Ibrahim (1994) menghubungkaitkan ajaran sesat dengan tasawuf (tarekat), ini kerana masyarakat islam dewasa ini meletakkan tasawuf  bukan pada tempatnya yang sebenar. Ilmu tasawuf telah bertukar wajah sebagai ajaran sesat akibat penglibatan masyarakat awam yang bukan dari kalangan ahli falsafah dalam masalah ilmu falsafah ( bukunya Ajaran Sesat, DBP,KL).
Di panggung sejarah, ajaran sesat sudah lama muncul. Dari sekian banyak ajaran yang dicatat dalam teks rujukan, mungkin ada ajaran yang tercicir dan tidak dihidu oleh pengumpul bahan tentang ajaran sesat. Sesebuah kefahaman tentang ilmu tertentu yang dijadikan amalan peribadi, ia hanya menjadi sesuatu kepada individu yang mengamal di tahap awal. Ia tidak disebarkan kepada orang lain, ia hanya diamalkan oleh "pencipta" itu sendiri. Perolehan sebuah ilmu tentulah dari pengalaman peribadi yang jika kita tanyakan, pasti ia akan memberi jawapan sombong, inilah kasyaf.
Dalam kategori kasyaf ini termasuklah apa yang mereka anggap sebagai ilmu laduni, dzauq, wijdan, bashirah, ilham, hadas, intuisi, ru'ya shalihah dan berbagai lagi istilah terkini. Ilmu kasyaf sendiri payah hendak difahami kerana ia melibatkan ilmu yang konon masuk terus ke hati tanpa melalui pancaindera dan akal. Andai penerima ilmu atau pendakwa itu mendapat bisikan dari dunia lain yang kesyaitanan, sesiapa pun tidak tahu. Hanya orang yang dekat dengannya sahaja mendapat maklumat bahawa si fulan telah mendapat ilmu kasyaf, entah bisikan atau istilah di Jawa sana wangsit.
Ilmu yang diperoleh melalui kasyaf jika bercanggah dengan al-quran dan hadis sahih, maka ia dianggap tertolak. Dengar boleh, percaya atau meyakini jangan. Mungkin dalam perkara ajaran sesat di bumi Malaysia ini ia lebih melibatkan pencarian dan kefahaman individu sahaja. Ajaran itu tidak akan menjadi ajaran seandainya tidak disampaikan kepada orang lain. Ajaran tidak akan menjadi bahaya kepada orang lain kalau ia setakat diamalkan oleh orang itu sahaja, dalam ruang lingkup tertutup, tidak diketahui umum.
Saya tertarik dengan sebuah ajaran sesat di pinggir Kuala Lumpur. Ia bukanlah suatu ajaran, tetapi lebih merupakan tindakan individu yang anarkis, mungkin memberontak secara dalaman, hal terjadi kerana pengaruh dadah atau ganja. Individu ini tidak membuat ajaran, tetapi dia sebagai individu yakin dengan apa yang dia lakukan itu betul, apa yang dia iktikadkan itu adalah tepat. Dia sungguhpun "ngoceh" tentang aspek ilmu yang dangkal, bagi kawan-kawan yang dekat, pertuturannya dianggap butiran ilmu.
Orang begini jika didatangi orang luar, dia tidak mempengaruhi sesiapa pun. Jika ketahanan ilmu sudah ada dalam diri sebagai rujukan, maka hujah apa pun boleh ditolak, atau lebih baik diam daripada berdebat dengan individu begini. Begitu juga apabila dia merawikan kisah sesiapa yang ingin melihat Kaabah, boleh panjat bukit batu di Hulu Klang, nescaya dia akan dapat melihat Kaabah jika diizinkan Allah SWT. Nah, ini adalah sebuah pemikiran yang menentang arus atau entah lateral thinking atau apa. Ia habis begitu sahaja atau jadi bahan lelucun di antara mereka. Akan tetapi bagi yang cetek kata-kata itu amat mempesona dan menggugah rasa ingin tahu dan melihat kebenarannya.
Andai seseorang itu mengaku sebagai apa pun, misalnya mendakwa mendapat "wahyu" kita tidak boleh menerima bulat-bulat butir percakapannya, kerana kita kena lihat dalam situasi dan kondisi bagaimana dia menuturkan kata-kata itu. Ia mungkin bukan ilham, bukan intuisi, bukan kasyaf [jauh sekali], tetapi gurauan minda yang sedang sembrawut kerana menghadapi masalah batin, masalah jiwa, sehingga terkeluarlah kata-kata yang berlawanan dengan kebiasaan.
Orang begini tidak boleh memegang kitab seperti Fushush al-Hikam oleh Ibnu Arabi. Jika dia merujuk kitab ini, akan bertambahlah "fatwa" yang keluarkan kepada kawan-kawan [biasanya dua tiga orang sahaja]. Kitab Ibnu Arabi itu memang menjadi rujukan golongan tertentu yang minat amat dengan berbagai kelebihan tokoh "sufi" masa silam. Tak kurang kekagumannya dengan Ibnu Arabi yang mendakwa bahawa Nabi s.a.w. merencanakan kepadanya dan menyuruhnya  agar kitab itu disampaikan kepada orang lain. Kitab ini sebenarnya mengandung pemikiran wahdatul wujud Ibnu Arabi. Bab ini boleh dihuraikan dalam buku yang tebal jika mahu bagi membedah kebohongannya. Betapa tidak, ilmu boleh didapati dengan cara duduk di kawasan makam, dan dari makam itu ada tangan menghulurkan "kitab" dan kemudian dikhabarkan agar isi kitab itu diajarkan kepada orang lain. Bagaimanapun kesahihan cerita ini masih dipertikaikan. Ia memberi gambaran bahawa Nabi-nabi dan Rasul-rasul masih hidup dan mengajarkan orang tertentu. Inilah yang banyak didakwa oleh orang-orang "kebingungan" di abad ini. Di Jawa sana, yang mengaku Nabi atau rasul entah berapa puluh orang, termasuk yang sudah taubat.
Dan kita pun sebenarnya kena berhati-hati untuk mendakwa seseorang itu mengaku Nabi atau tidak. Mungkin istilah yang kita gunakan tidak sesuai untuk menjadikan seorang Melayu biasa sebagai Nabi. Meski mungkin ajarannya berupa penyimpangan dan sesat, dia bukanlah mengaku Nabi. Orang tidak siuman atau dipengaruhi ganja atau daun ketum mungkin akan berkata begitu ketika akalnya hilang. Setelah berakal, kata-kata itu tidak muncul lagi.
Berbalik kepada persoalan tadi, seseorang individu yang bercelaru pemikirannya memang seakan-akan mengeluarkan fatwa baru, tetapi sesiapa yang mendengarnya, anggaplah ia lahir dari ketidakberesan akalnya. Selagi dia tidak mengajarkan, mendirikan sekolah, mendirikan ribath dan sebagainya, maka ia bukan ajaran. Dikatakan ajaran sekiranya dia mengumpulkan kawan-kawan, mengajarkan ilmu yang dia dapat dan kemudian menyebarkan kepada orang lain. Atau dia memang seorang pemikir yang setiap hari memberikan kuliah rahsia di sebuah tempat terpinggir, ada murid, dan bilangannya makin ramai, maka orang ini mungkin mengajarkan sesuatu. Akan tetapi untuk mengetahui sesat atau tidak, perlu pemantauan, dan yang memantau perlulah orang yang berilmu. Biasanya pemantau akan menjadi "murid" yang kosong ilmunya. Dengarkan beberapa siri kuliah yang ada dan ke mana kesudahannya, dengarkan apa rujukan kitabnya, dan kalau sekadar ngoceh kosong tanpa kitab, biar sebesar mana serbannya, kita perlu berbaik sangka dulu. Golongan begini perlu ditarbiyah, perlu dinasihati, perlu disantuni dan bkan provokasi melulu. Atau yang paling mendera adalah membawa kamera digital, wartawan untuk memaparkan kesesatannya. Justeru, dalam soal ajaran sesat kita kena berhati-hati.
Mungkin kita fokus kepada seseorang yang terasing, mendirikan pondok dan pengajian sebagai sasaran tembak untuk mencari ajaran sesat. Tidak begitu sebenarnya. Ajaran sesat seperti Qadiani tidak ada sesiapa yang mampu membezakan apakah ia sesat atau tidak jika penampilan mereka serupa kita juga. Mereka solat dimasjid juga seperti kita, tapi tahukah kita mereka dari kumpulan Ahmadiyah? Ingatlah, ajaran sesat juga boleh muncul di kalangan pengamal ilmu kebatinan, mereka juga mendakwa mendapat ilmu laduni secara kasyaf kepada peminat yang selalu duduk bersila di depan mereka. Kalangan yang mendakwa sebagai dukun, pawang dan sebagainya juga perlu pemantauan kerana mereka juga membenihkan ajaran, hanya klasifikasi sesat atau tidak itu sukar dibuktikan. []
 

No comments:

Post a Comment