Sunday 25 March 2012

NAMPAKNYA SPR TIDAK BUAT APA-APA terhadap tuntutan Bersih 2.0. pihak yang diberitanggung jawab masih berdolak-dalik macam susah benar hendak ubahkan sesuatu. semua ada di tangan mereka, apa susahnya, dan kebanyakan pegawai yang ada makan gaji, sebagai suruhanjaya ia patut bebas, tetapi kenapa masih nak berada di bawah ketiak umno? umno hanya sebuah parti yang semakin mengecil. benar keahliannya ramai cecah juta, keahlian itu tidak ditapis, pakai sumbat sahaja termasuk yang sudah beralih arah masih ahli umno. dan mereka tak undi umno pun sebab umno tak pernah bertanding dalam pilihanraya, selama ini umno gunakan nama BN.
Gembar-gembur dalam media pembangkang dan blog mereka menunjukkan SPR memang kalut, lintang pukang betul. nama pengundi dikeluarkan dari senarai pemilih tanpa diwartakan SPR. ada pengundi yang ditukar jadi pengundi pos. semua ini adalah cara SPR nak memanipulasi pengundi dengan harapan kaedah ini boleh memenangkan UBN.
Kenapa takut sangat kalah dalam pilihanraya? cuba tengok negara maju di luar sana, kerajaan yang bertakhta lama sudah tersungkur satu persatu. rakyat negara ini juga ingin menguji pemerintahan baru, sebabnya selama ini gendang yang dipalu mengatakan hanya UBN sahaja yang bijak bistari memerintah negara.
Belum cuba, belum tahu. Jika diberi peluang siapa sahaja boleh memerintah, usahkan Umno sahaja. minda kita sudah beku. sejak zaman dulu sudah dikutbahkan bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah yang terbaik, kita akan menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi, pendapatan siapa yang tinggi?
Orang tak mahu pendapatan tinggi kalau harga barang mahal. Sama sahaja kalau pendapatan tinggi tapi gula dan tepung naik harga, minyak naik, semua naik, dek kerana semua naik, syarikat bas henti-henti pun jadi pupus, tinggal kenangan dan jadi barang warisan untuk dikenang di muzium kita. tidak ada usaha bersungguh-sungguh nak pulihkan. padahal rakyat dari kalangan murba ini paling banyak guna kenderaan awam.
Kedegilan pihak SPR yang berwatak Umno dan mengamalkan budaya dan aliran pemikiran Umnoisme menyebabkan tidak berlaku apa-apa pembaikan. Bab dakwat pun masih lintang pukang. ada yang nak warna-warnikan dan tak mahu seragam. ini apa cerita? bukankah ketidakseragaman warna ini akan menimbulkan manipulasi lagi?
Agaknya dari kumpulan bebas mana yang nak kita ajak pantau pilihanraya kita ini? sesungguhnya pilihanraya kita tidak bebas. kita masih dikawal seketat-ketatnya. dalam berita memang hebat kedengaran, tetapi apa yang berlaku nanti adalah sebaliknya. kemudian banyaklah syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh SPR, akan tetapi semuanya adalah mengikut keselesaan puak yang beraliran Umnoisme tadi.
Pilihanraya di negara kita tidak bebas. siapa yang belanja lebih, ada dana lebih, propaganda lebih, kebetulan pihak penguasa yang ada sekarang mengusai serba-serbinya, maka lihatlah nanti ketika kempen pilihanraya, billboard di tepi bulatan dan simpang jalan utama akan memaparkan wajah Najib dengan juak-juaknya.
Dipaparkan gambaran yang indah-indah akan kepermaian negara, rakyat bersatu padu, penduduknya harmoni, tetapi dalam bab berpolitik lintang pukang. kelintangpukangan politik kita ini tercanai dan diacu dalam wadah kepimpinan Umno yang semakin kehilangan visi. mereka seperti bimbang kehilangan kuasa.
Ingatlah, apabila anda berada di atas, tunggulah masanya untuk anda berada di bawah pula. anda tak akan berlama-lama di atas sekiranya anda menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.
Sejarah telah membuktikan bahawa di bawah pentadbiran anda, berlaku banyak skandal kewangan yang memalukan. tidakkah anda malu sebagai pemimpim umat melayu yang mendakwa banyak menolong orang melayu, tetapi nasib melayu tetap begitu  juga? bertahun-tahun anda menguasai Pulau Pinang tetapi apabila terlepas, anda mengeluh nasib Melayu tidak terbela? Inilah sandiwara dalam politik.
Begitu yang terjadi di Selangor, tiba-tiba pihak UBN rasa belas dan kasihan dan sayang amat kepada rakyat Selangor setelah mereka memilih bertukar arah?
Janganlah berpura-pura, sebab sejarah di Selangor membuktikan setiap MBnya bermasalah, cuba semak rekod yang lama.  tak payahlah nak pujuk rakyat selangor atau nak minta maaf akan kesilapan masa lalu. setelah diberi kemaafan anda tak akan beralih sikap, anda yang mengambil kesempatan untuk melakukan keonaran lagi.
Bayangkan di zaman silam ketika anda memegang pentadbiran Selangor, bayangkan betapa hebatnya para Exco yang ada? andai mereka bersara pun mereka memiliki kekayaan yang melimpah ruah. sebab pada masa dulu, setiap jawatan yang ditagih akan membawa input yang besar. alangkah rugi menjadi orang penting kalau tidak memiliki harta, syarikat, tanah dan berbagai perniagaan lain lagi. inilah sebenarnya matlamat perjuangan dalam politik.
Janganlah bicara soal rakyat, rakyat diutamakan. itu semua ada pembohongan minda. bukankah pemimpin yang mendukung penguasa itu perlu diutamakan? rakyat dikemudiankan apabila cita-cita berkuasa telah dimiliki. ini lumrah, apabila sudah jatuh atau sudah terlepas baharulah insaf ingin melakukan perubahan.
insaf dalam berpolitik lain kaedahnya. ia tidak perlu dilayan. sedangkan orang insaf dari melakukan dosa besar pun apabila kekayaan melimpahj ruah boleh berubah serta merta - inikan pula insaf seorang pemimpin politik yang pernah menguasai segala-galanya.
Penyelesaian yang benar, cukuplah mereka yang telah menguasai kekayaan negara ini sejak lepas merdeka itu mengagihkan kepada orang lain. tidak ada makna jadi pemimpin kalau membelakangi rakyat. tidak guna berslogankan wasatiyah, sedangkan secara amali amat jauh sekali.
Ingat, selagi SPR masih bermain kata-kata dan berbagai alasan bodoh, maka rakyat akan bangun juga. mereka akan berhimpun lagi, dan entah bila. apa pun ura-ura Bersih 3.0 mungkin dijadikan jalan akhir sekiranya SPR masih berdolak-balik. []

No comments:

Post a Comment