Thursday 5 July 2012

BULAN RAMADAN: MAKAN LEBIH UTAMA

ORANG PALING SERONOK KALAU BULAN RAMADAN.
Sebabnya, ia adalah festival makanan sedunia bagi orang kita. Dan orang yang tak puasa [yang bukan Islam] pun boleh tumpang semangkuk beli juadah untuk dimakan bila-bila masa. Bermacam makanan dijual, terpulang kepada selera masing-masing.
Biasanya sebelum Ramadan orang sudah sibuk mencari tapak untuk berniaga. Tapak perniagaan ini jadi rebutan. Bahkan ada yang berduit sanggup beli tapak bazaar Ramadan. Mereka tak mahu berniaga kalau setakat satu tapak. Kalau boleh mereka nak bolot lima enam tapak, memanjang dia punya seorang. Dan tempat mesti strategik. Tahun ini kita belum dengar pihak tertentu mengadakan sekatan dan larangan berniaga di tempat tertentu. Maklum berniaga depan premis orang lain, menyekat perniagaan mereka pula.
Seperti biasa, memang nampak cantik amaran pihak DBKL konon hendak memantau lokasi bazaar Ramadan. Mereka nak pastikan jangan ada Ali Baba. Ini istilah lama. Ia tak akan dapat dihapuskan. Bukan tidak ada peniaga yang sudah kamceng dengan pegawai DBKL atau puak-puak dalam politik ikut bertarung untuk rebut dan jual tapak?
Dulu lagi kita sudah dengar ada skandal rebut dan jual tapak niaga, dijual dengan harga melampau walaupun tempoh niaga tinggal dua minggu.
Mereka mengejar waktu puncak.Sebenarnya inilah masa nak buat duit. Bukan semua peniaga jujur hendak berniaga. Ada yang tak ada persiapan apa pun, sengaja gatal minta tapak niaga, siap undi tapak niaga. Setelah dapat, tak ada idea nak jual apa. Akhirnya kena tengok dulu apa yang jiran sebelah tapak jual. Boleh tiru. Kalau tak ada barang, boleh cari sumber. Kedai jual bunga plastik paling banyak, tak muat-muat tapak.
Pada mereka kalau anda rajin buka mulut minta mereka hantarkan bunga plastik. Hantar barang, jual dulu. Makan komisyen jualan. Kira berapa yang jual sahaja. Kekadang tapak pun boleh tolong tebus bayaran. Masa bulan Ramadan inilah orang tamak ada di mana-mana. Sebab berniaga boleh gaduh.
Kemudian hairannya ada kelompok artis yang menyertai BARISAN ARTIS MALAYSIA [macam BN aje] nak berniaga di Bukit Jalil, mereka berniaga dan buat show sekali di samping buat hebahan barang jualan. Apa mereka fikir dalam bulan Ramadan ini orang nak berhibur juga?
Tolonglah. Cukuplah 11 bulan terkinja-kinja, sepatutnya sebulan Ramadan ini kena lupakan soal pentas dan nyanyian. Inilah kesilapan artis kita. Mereka masih kemaruk dengan glamor. Kemudian ada sesi bertemu peminat. Ingat, tidak semua artis ada peminat tau. Yang syok sendiri ramai peminat pun ramai.
Nak meniaga apa kalangan artis? Kadang-kadang laporan dalam media hiburan sahaja yang lebih dan dahsyat. Sekali anda jenguk tapak mereka berniaga, alahai...baik tak usah bising-bising. Nak meniaga, meniagalah sahaja, buat apa pukul gendang semua.
Jadi bulan Ramadan ini adalah bulan makan. Memang bulan ibadat. Tapi seramai mana yang beribadat pun? Minggu pertama, hari pertama, kedua, dan seterusnya sampai tak muat masjid. Masuk minggu kedua tinggal lima baris, masuk hari-hari berikutnya tinggal dua baris setengah.Kena ingat, terawih bukanlah nak mengejar yang 20 rakaat macam kilat. Habis solat ada makan-makan lagi. Akhirnya penat makan.
Kekadang di KL ini, orang sibuk dengan bubur lambuknya. Bubur lambuk Masjid Kg Bharu selalu dicanangkan kesedapannya. Tetapi percayalah, mana-mana bubur labuk pun sedap kalau ia jadi menu harian anda setiap berbuka. Kalau nak rasa sebaldi kecik bubur lambuk, datanglah ke Masjid India, berbaris di belakang masjid siap bawa baldi. Tunggu, anda boleh mandi dengan bubur lambuk spesial! Itu kata gurauan kawan saya Si Amin yang kerap geleng kepala melihat telatah manusia berbaris nak dapatkan bubur. Sanggup bawa baldi. Kenapa tak bawak tong yang lagi besar?
Jadi, kalau tengok sana-sini dalam bulan Ramadan ini, jelaslah, ia adalah bulan makan. Buka puasa makan, lepas maghrib makan lagi, Lepas terawih makan lagi. Balik rumah makan lagi. Nanti jam 3.00 atau 4.00 pagi makan lagi. Errrrrgghhhh...sendawa pun panjang.
Jadi, di mana hikmahnya Ramadan untuk merasai bagaimana susahnya orang yang hidup susah? Orang susah belum tentu dapat makanan di penghujung hari. Tetapi orang senang yang merasai susah ketika puasa, mereka sudah menyediakan santapan kambing golek di rumahnya. Jadi, bulan Ramadan ini memang bulan makan, sangat sedikit yang mempraktikkan bulan ibadatnya. []

No comments:

Post a Comment