Monday 2 July 2012

TEMBOK SEKOLAH PECAH DILANGGAR LORI

SEORANG KAWAN  yang saya kenali di Masjid Jamik Bandaraya [Jalan Tun Perak,KL] menghubungi saya lepas maghrib. Ada cerita menarik katanya. Apa cerita? Dia kata tembok sekolah rendah yang menghadap jalan utama sudah roboh kerana dilanggar lori.
Kenapa hubungi saya?
Dia mengadu guru besar sekolah, guru perempuan buat tak peduli walaupun sudah mengetahui dan sudah diberitahu tentang tembok itu pecah dirempuh lori dari Jalan Raja Laut.
Habis tu?
Kalau tembok yang pecah itu tidak dibaiki dengan segera, maka susahlah bagi pengawal keselamatan yang bertugas di situ, kerana peralatan penghawa dingin pun sudah hilang, besi penutup longkang pun orang sudah sapu, kemudian bilik tertentu diceroboh penyangak ambil benda-benda berharga.
Nampaknya, bangunan sekolah pun boleh jadi sasaran pencuri walaupun apa pengawal 24 jam. Kawan ini yang berasal dari Kedah, bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut.
Dia hubungi saya kerana ingin menyatakan masalahnya, sudahlah gaji kena potong kerana ada barang hilang di sekolah yang dijaga, pihak sekolah pula tidak peduli hendak membaiki tembok yang sudah pecah. Tugas kawalan menjadi sukar kerana sesiapa pun boleh masuk ke situ.
Nampaknya bangunan sekolah yang tidak ada apa benda berharga macam bank atau store barang antik pun jadi sasaran pencuri. Tidak hairan bangunan yang sunyi itu perlukan pengawal untuk menjaga keselamatan barangan di situ.
Akibat daripada tembok sekolah sudah pecah, ada kes kecurian di situ. Sudahnya, dia dan kawan lain kena potong gaji bagi menampung kehilangan benda berharga yang sepatutnya tak hilang kerana sudah ada pengawal di situ.
Dulu pun saya pernah beritahu dia, tempat yang sibuk di tepi Jalan Raja Laut, macam-macam hal boleh terjadi. Sesiapa pun boleh lakukan kerja-kerja tertentu bagi mengelabui orang ramai. Mereka boleh letak kon di tepi jalan, letak penanda kerja-kerja sedang dijalankan, mereka boleh bongkar itu dan ini, lagipun tak ada siapa peduli orang buat kerja waktu malam. Tiba-tiba penutup longkang hilang, alat pendingin hawa kena kebas, bilik tertentu diceroboh dan macam-macam lagi.
Tugas sekuriti makin mencabar. Mereka tidak boleh duduk di pondok kawalan sepanjang masa. Mereka kena ronda, bawa lampu picit sekalipun kawasan sekitar ada cahaya lampu limpah tepi jalan. Mereka juga kena bawa wisel. Ini tugasan asas.
Apabila telah berlaku kehilangan benda berharga di sekolah itu, kawan kita ini kena potong gaji.
Habis? Kenapa hubungi saya pula? Rupa-rupanya dia ingin agar masalah sekolah itu dipaparkan dalam akhbar tempatan. Dia tak faham, saya sudah lama tak baca akhbar tempatan, jadi saya tak kenal siapa wartawan apa pun. Jadi saya suruh dia telefon sahaja nombor yang dipaparkan dalam halaman kedua akhbar harian. Hubungi mereka untuk dapatkan cerita. "Tapi hang kena ceritalah apa masalah pada wartawan tu," kata saya.
Kemudian dia bimbang guru besar sekolah tidak setuju benda itu diwar-warkan dalam akhbar. Saya pun nasihat juga, kalau rasa tak penting, lupakan panggil wartawan. Cerita tembok pecah dilanggar lori tak penting. Yang penting kalau tembok itu melanggar lori.
Gara-gara kecurian di situ, kawannya sudah ditukarkan ke sekolah lain. Inilah nasib sekuriti. Macam pegawai masjid juga, suruh TGNA jadi imam solat Jumaat di masjid Pasir Gudang, JB, sudahnya dia kena tukar ke masjid lain.
Bagi saya, pegawai ronda syarikat sekuriti itu patut menyediakan pegawai bantuan waktu malam bagi mengawal sekolah berkenaan. Atau dua pengawal hendaklah sentiasa bersedia bergiliran meronda kawasan pagar sekolah, bawa peralatan yang sesuai ketika meronda. Jika mereka hanya duduk melangut di pondok kawalan, siapa pun berani masuk ke kawasan yang temboknya sudah terkoyak.
Atau mereka tidak benar-benar bertugas, mereka tidur hingga berjam-jam menyebabkan orang mengumpil benda penting pun mereka tak sedar. Sebenarnya ini bergantung kepada cara rondaan bersistem yang dilakukan. Setiap jam mereka kena buat rondaan. Mereka kena melakukan intipan dan pantauan berkala di sudut yang berlainan pada waktu malam. Itulah cadangan saya kepada kawan tadi.[]

No comments:

Post a Comment