Monday 2 July 2012

TENTANG MISTIK DUIT LAMA ATAU NOMBOR SIRI

ADA ORANG MINAT KERIS LAMA, mereka beli mana-mana keris yang dianggap "berhantu" iaitu keris yang konon pernah kena darah manusia. Kalau keris lama, tahukah ia pernah tikam orang atau tidak? Tetapi itulah kegilaan manusia untuk mencari yang mistik dalam sesuatu benda.
Selain mencari keris lama, ada yang suka cari duit kertas atau duit logam lama. Ada perkiraan dan perhitungannya, kalau orang yang tak biasa dengan hobi begini janganlah ikut-ikutan. Mereka yang "ahli" dia tahu menilai duit bagaimana yang boleh disimpan.
Ada pemburu perihal mistik ini sanggup membeli harga mahal kalau duit lama yang dicari itu memang menepati ciri yang disebutkan. Di antara cirinya adalah nombor siri duit itu. Ada pak nujum pak belalang yang beritahu agar mencari duit sekian nilai dengan nombor siri sekian. Kalau ada bawa jumpa Pak Dukun untuk diritualkan, konon boleh mendatangkan "faedah" yang amat besar.
Nombor siri duit kertas ini sudah menjadi rebutan di kalangan peminat duit lama. Bukan setakat kumpul duit lama, malah mereka mempercayai konon duit itu ada "ong"nya berdasarkan firasat orang yang konon waskita.
Maka, dalam bab duit kertas lama ini, orang juga sibuk mencari duit lama gambar Sukarno, yang konon boleh bergulung sendiri atas tapak tangan.
Kehebohan duit dengan ciri pandai buat jimnastik ini sudah lama dicari orang kerana duit yang begitu amat sesuai digunakan untuk ritual tertentu. Ritual apa? Maksudnya ritual untuk buat duit lagi.
Kepercayaan karut ini entah rekaan bomoh atau orang pintar mana, tidak pula kita ketahui. Tahu-tahu sudah tersebar di sana-sini. Ia macam kisah batu delima merah, rendam dalam air jadi merah macam sirap. Atau sibuk mencari rantai babi [saya teringat seorang yang bergelar Ustaz pernah bertanya saya tentang rantai babi, kalau ada dia sangat berhajat].
Saya sendiri tak pernah tengok rantai babi. Mungkin kalau hendak juga kena pergi Sekincan, sana, mana tahu apek Song Kia ada bela babi. Tetapi mana babi ada rantai, ia dalam kandang?
Duit logam jenis lama juga jadi buruan orang bagi keperluan ritual tertentu. Ritual yang dimaksudkan banyak dikaitkan dengan ritual tarik duit, ritual panggil khadam jin, ritual memanggil nombor buntut [toto,magnum dan kuda].
Semua ini adalah kemistikan. Nilai sesuatu benda baik duit kertas lama, atau duit logam akan menjadi tinggi apabila ada orang pintar atau pak dukun mengatakan dia mahu duit logam bertarikh tahun sekian, atau dia mahu duit logam yang bergambar begini dan begitu, kemudian ada yang mahu duit kertas lama gambar Sukarno, atau gambar sampan layar dengan nombor siri ganjil atau nombor siri berdakap. Wah, macam-macam istilah yang mereka gunakan hingga orang terkeliru.
Itulah mistik, ia tidak semestinya mengikut ukuran standard, bahkan banyak yang direka-reka untuk mengelabui orang. Rekaan ini bermula dari mulut orang yang gemar bersila mengadap asap kemenyan dan kemudian memutar-belitkan cerita yang pelik-pelik agar orang melongo mendengarnya.
Ketika orang pintar berkata, "Carikan wang logam lama....carikan duit kertas yang nombor sirinya..." Semua ini adalah untuk buat nombor ramalan. Kepintaran itu tidak diketahui belajar dari mana. Namun berapa ramai umat yang terkeliru dengan permainan ini. []

No comments:

Post a Comment