Wednesday 25 July 2012

ISU MENARIK DI SANA-SINI: KEADILAN ED.76

WANG HARAM
Umum mengetahui, jumlah wang haram yang mengalir ke luar negeri memang terlampau banyak. Jumlahnya pun kita gerun nak sebut, rakyat biasa tak tahu bagaimana nak menulis angkanya. Dek terlampau banyak, ada benarnya kebimbangan Senator Syed Husin Ali andainya jumlah aliran keluar makin melonjak. Puncanya, kerajaan yang ada hari ini seperti telah goyah, wang dihambur sesuka hati, dan kemungkinan pemindahan wang oleh individu terkaya, separa kaya atau bapak bilionaire akan berlaku secara senyap-senyap. Ada orang mengatakan, golongan ini hanya mementingkan diri sendiri dan tidak peduli apa akan jadi dengan ekonomi negara. Dibimbangi kita menghadapi masalah, hutang negara pun naik RM465 bilion [2012]. Wang haram yang mengalir keluar negeri ini tidak melibatkan orang kampung, tidak libatkan orang berpangkat rendah, sebaliknya orang-orang yang "biasa tidur atas duit."

JEMAAH ISLAMIYAH
Tidak diketahui apa benda Jemaah Islamiyah ini, sebab pertubuhan ini hanya ada di luar negeri. Apabila ada pihak berani mengatakan ada anasir JI di dalam PAS ia adalah mainan politik. Meski konon ia dilaporkan oleh pihak perisikan, rakyat keseluruhanya langsung tidak percaya. Ia hanya untuk test market apakah apabila perkara itu disebut rakyat akan marah kepada PAS. Zaman membodohkan rakyat sudah berlalu. Orang sekarang makin cerdik. Tidak ada penyusupan elemen JI di dalam PAS, hanya yang masuk adalah bekas-bekas pegawai kanan kerajaan. Mereka menyertai PAS. Adakah kerana mereka masuk PAS lalu timbul isu elemen JI ini? Sebenarnya ketika negara luar kecoh dengan perkara JI kita tidak terkesan langsung, kecuali kebimbangan yang sengaja dicipta bagi menimbulkan kegelisahan rakyat. Mungkin ada yang rasa kecewa semakin ramai bekas pegawai tinggi dalam kerajaan menyertai PAS. Rakyat Malaysia yang terlibat dengan gerakan militan tidak ada.

DR M DIKTATOR
Peratusan undian rakyat begitu tinggi terhadap label yang diberikan kepada Dr M, label yang telah disebut orang sejak meletus gerakan reformasi dalam negara. Dr M memang terkenal sebagai diktator. Tidak perlu disebutkan satu persatu di mana letak kediktatorannya, semua sudah mengetahui, sebab apabila dia hendak sesuatu dia akan kata MESTI. Orang setuju atau tidak terpaksa ikut sahaja. Memanglah ramai yang kecewa dengan tindakan berani beliau itu. Sebagai diktator, gelaran itu bukan menjadi sebutan rakyat sahaja, malah penganalisis luar negeri juga menganggap dia diktator, kediktatorannya adalah mengikut kayu ukur Malaysia. Diktator di negara kita lain sedikit bentuknya. Jadi jika kita lihat dari perspektif itu memanglah wajar rakyat pertikaikan Dr M. Kalau nada sudah berubah sejak akhir-akhir ini, ia menggambarkan "penyesalan" yang tidak dapat ditampung hanya dengan meminta maaf kepada semua pihak yang dianiaya.

JANJI DITEPATI
Itulah tema hari kemerdekaan kita pada bulan Ogos nanti. Orang pun bertanya sinis, janji apa yang sudah ditepati? Dia berjanji sesama dia agaknya. Atau janji mahu bertemu di bawah pohon bambu pada waktu senja, memadu asmara ketika orang lain sibuk di masjid nak solat maghrib. Janji ditepati banyak konotasinya. Ia bukan membawa tema yang baik dan sesuai untuk sambut merdeka. Siapa yang berjanji, dan dia berjanji kepada siapa? Inilah yang orang tak tahu. Janji nak bagi t-shirt dan topi sempena perarakan sambut merdeka agaknya. Atau janji dapat nasi bungkus sorang satu. Inilah janjinya.  Jika janji ditepati dijadikan tema hari merdeka, ia tak ada makna. Kosong dan hambar. Tidak ada nilai puitis dan tidak ada bobot ekonomi. Dengan kata lain, tidak ada semangat langsung nak sambut merdeka. Janji ditepati macam lirik lagu zaman jahiliyah Melayu dulu. Banyak janji tinggal janji - inilah janji politik namanya. Jangan fikir UBN sudah memenuhi segala janjinya. Bahkan ramai orang UBN tidak seronok lagi dengan tema ini. Janji hanya tepat untuk puak-puak yang berkepentingan sahaja, rakyat jauh sekali. Janji kepada rakyat banyak yang diabaikan. Percayalah, tidak ada janji yang berani ditepati kerana apa yang mereka janjikan hanya kepada puak-puaknya menurut idealisme kenasionalismemannya. Banyak janji lain yang tidak ditepati.Sebab orang selalu berjanji menjelang nak pilihan raya, lepas pilihan raya janji tinggal janjilah.

Jadi, memang baguslah kalau orang kritik tema yang tidak berbobot ini. Saya percaya akan ada tukang tulis pembodek akan mengatakan bahawa tema ini memang sesuai dan wajar dalam suasana menghadapi dekad yang mencabar ini. Kemudian ada pula ustad mereka yang kata wah, janji ditepati ini mengikut dasar Islam. Banyak perkara boleh dihuraikan, jangan fikir janji ditepati ikut cara Islam sebaliknya sejauh mana pelaksanaannya? Janji apa? Janji mulut pun ada, janji macam perjanjian siap dicop dan matikan setem pun ada. Ini bukan Perjanjian Pangkor lagi. Fikirkan masak-masak.

ISU SYABAS DAN AIRNYA
Kalau tak ada isu ini maka rakyat yang kutip sampah, selongkar tong sampah, makan sisa atas meja orang, dan yang mengemis di sana-sini, mereka semua tidak akan tahu ada CEO yang bergaji mak oi! Kenapa banyak sangat sampai RM425 ribu sebulan?
Kita yang selongkar sampah nak dapat RM5 pun susah.
Kita yang berniaga di pasar karat nak dapat RM15 pun susah. Tiba-tiba puak ini boleh dapat sebanyak itu sebulan.
Secara tak langsung pendedahan ini menimbulkan kemarahan rakyat kepada Syabas.
Daripada bagi gaji kepada orang yang sudah mampat fikirannya untuk melaksanakan sesuatu bagi menyelesaikan masalah air dengan kos yang minimum, maka sudah sewajarnya, beban bagi gaji bulanan sebegitu besar wajib ditamatkan.
Dengan gaji sebanyak itu apa sahaja boleh dibeli. Dalam keadaan rakyat menghadapi kenaikan harga barang, nak menghadapi perayaan lagi, kekadang kasihan tengok orang pergi bank keluarkan RM90 itulah duit baki yang layak dikeluarkan.
Apakah orang yang kaya raya, yang bergaji sampai begitu banyak tidak terfikir? Untuk apakah duit banya-banyak itu?
Apakah nanti akan dibina tugu peringatan dengan batu marmar yang mahal?
Atau wang itu akan disedekahkan kepada orang susah. Kekadang kita malu sendiri, ketika ada orang bergaji sampai ratusan ribu sebulan, ramai rakyat yang tidur di kaki lima, di kawasan taman, bawah jambatan, bilangan gelandangan bertambah, kutu rayau, penyelongkar dan pengutip tin bertambah, dan isu air tidak selesai juga.
Gaji sudah banyak, terlalu besar, hal air pun tak boleh selesai.
Main tarik tali, nak mempermainkan rakyat yang susah, hingga ada ugutan nak catu. Ini semua politik air sebenarnya. Kalau ada orang marah kepada Syabas, mereka marah kepada orang berpendapatan tinggi yang tidak menjalankan tugas yang diamanahkan.

BEGITULAH KOMEN SAYA ke atas beberapa isu yang dipaparkan dalam KEADILAN Edisi 76, 2012. []

No comments:

Post a Comment