Monday 2 July 2012

TG NIK AZIZ JADI IMAM SOLAT JUMAAT DI JOHOR PUN KECOH.

SALAH SATU PERKARA PELIK yang sebenarnya bukan pelik dan tak menjadi hal apa pun, ialah apabila seorang Menteri Besar menjadi imam solat Jumaat, tiba-tiba pegawai masjid di situ kena tindakan disiplin ditukarkan ke masjid lain.
Setelah ditukar ke masjid lain, dia boleh rancang panggil lagi orang lain jadi imam solat Jumaat. Agaknya dia akan ditukarkan lagi ke masjid lain pula.
Begitulah kalau dia buat lagi di masjid yang lain, dia ditukarkan lagi dan lagi. Maka berkali-kali dia ditukarkan kerana membenarkan atau memberi laluan kepada orang luar untuk jadi imam solat Jumaat.
Baiklah. Nampak mudah. Dan bagaimana sekiranya, yang menjadi imam solat Jumaat pada ketika itu adalah seorang MB dari negeri Umno? Adakah petugas di masjid yang membenarkan MB Umno itu jadi imam solat dikenakan tindakan disiplin?
Jawapannya pasti tidak.
Tidak mungkin akan terjadi kerana tidak ada MB Umno yang berkelayakan untuk memimpin solat Jumaat, dan kalau ingin tunjuk juga, apa salahnya kita suruh Tuk Jib jadi imam solat Jumaat di mana-mana masjid. Sudah tentu tak ada sesiapa dikenakan tindakan disiplin.
Sebenarnya, tindakan disiplin yang dikenakan kepada seorang pegawai masjid yang konon melakukan kesalahan membenarkan MB Kelantan jadi imam solat itu sebagai satu penghinaan. Bukan sahaja menghina pegawai masjid yang diperintah pindah ke masjid lain, malah menghina MB Kelantan sekali.
Dia yang jadi imam di situ bukanlah atas kehendaknya kalau tidak dipelawa, dan beberapa kali dipelawa agar menerima pelawaan itu. Tidak ada orang luar datang ke sesebuah masjid tiba-tiba minta kebenaran ingin jadi imam solat. Tidak ada. Mungkin dalam Umno ada agaknya.
Jadi, apa peliknya kalau MB Kelantan jadi imam solat Jumaat? Memang tidak pelik. Dia langsung tak beri tazkirah pun di masjid "milik" Umno itu. Agaknya kalau bagi tazkirah, pegawai masjid itu terus dihantar ke luar negeri pula.
Itulah ketakutan yang luar biasa di negeri yang masih berpegang teguh dengan "mazhab" Umno, sehingga enggan menerima orang luar walaupun berkelayakan.
Rasanya, jika yang jadi imam solat itu Tuk Jib Razak, pegawai masjid itu tidak dikenakan apa-apa tindakan pun, atau silap haribulan dapat anugerah istimewa "Masjid 1Malaysia" kerana pertama kali dalam sejarah seorang PM jadi imam solat Jumaat.
Kenapa pegawai yang jujur itu dikenakan tindakan "buang padang"? Adakah kerana memberi ruang kepada MB Kelantan dari Pakatan Rakyat jadi imam solat? Bagaimana kalau ketika itu yang jadi imam adalah MB Johor? Atau KM Melaka? Sudah tentu tidak ada apa-apa isu pun. Yang jadi isu kerana bagaimana seorang pemimpin dari Pakatan Rakyat boleh jadi imam di situ? Ia dianggap zone Umno.
Puak-puak Umno kena sedar, zaman sudah berubah, zone Umno sudah berubah juga. Semuanya telah dirombak, tidak ada zone yang eksklusif lagi sekarang.
Dengan sebab ketakutan itulah, orang jadi imam solat pun menjadi isu besar.[]

No comments:

Post a Comment