Tuesday 3 July 2012

KISAH SEORANG LELAKI DARI SELATAN

DIA gemar bertegur-sapa, tak kira di mana, asalkan orang yang ditegur tak bengis, atau nampak bengis macam Exco Negeri di zaman BN memerintah dulu [saya teringat di Tg Karang, Selangor, punyalah bengis dan tak reti senyum hingga orang takut dengan orang Umno].
Dia kerap naik ke KL. Sebaik sampai Puduraya, dia pun hubungi kawan-kawannya di KL. "Oh, aku dah sampai KL, besok ada rumah?"
Maka soalan itu dibalas macam biasa oleh kawannya. Si kawan pun tunggu di rumah, kerana dia sudah kata besok nak datang rumah. Kawan ni sudah siapkan makanan separa istimewa, masak sendiri pula tu. Sayangnya, lelaki dari selatan ini tidak pun muncul.
Kalau tidak silap, sudah empat kali kawan ini terkena dek perangai lelaki dari selatan ini. Berjanji tidak ditepati. Kalau sudah janji, tiba-tiba tak boleh tunai janji, apa salahnya telefon semula? Beritahu, "Aku tak dapat datang sorry!" Sedap juga bagi orang yang menunggu. Adakah ini amalan munafikun?
Tetapi begitulah. Dia buat muka sardin. Sardin sekarang tengah naik harga. Di Chow Kit semalam RM9.00 sekilo. Tu pun kena pilih, kalau anda biarkan penjual pilih, konon tak mahu tangan kotor, alamat dapat ikan dah bonyot, lagi kalau taruh dalam bonet lama-lama.
Lelaki dari selatan ini entah bagaimana jumpa dengan seorang lelaki India. Lelaki itu aa bisnis man power. Dia selalu pergi Putrajaya untuk menguruskan segala dokumen dan sebagainya. Entah bagaimana ketika ronda-ronda di celah kota, dia terserempak dengan lelaki dari selatan. Maka terciptalah persahabatan yang menjanjikan.
"Pakcik bolehlah tolong saya uruskan bisnis saya, sebab kalau Pakcik ada cable lagi bagus," kata lelaki India itu kepada lelaki dari selatan.
Hasil dari pertemuan sekilas itulah, lelaki dari Klang itu jatuh cinta kepada lelaki dari selatan. Dia belanja makan dan minum.
"Habis macam mana saya mahu konteks Pakcik? Ada no telefon ka?"
"Tak ada," kata lelaki dari selatan.
"Tak palah, saya beli satu kasi Pakcik."
Maka lelaki dari Klang itu belikan telefon bimbit baru, tetapi jenis yang biasa. Orang kata kodi je. Budak sekolah pun tak mahu pakai, malu, hp tak canggih. Budak sekarang bukan macam dulu. Yang berani pakai telefon macam itu adalah orang berumur yang tak peduli nak guna hp canggih atau nak berGPRS, nak MMS atau SMS, atau nak berFB.
Setelah dibelikan semua, lelaki dari Klang pun masukkan data peribadinya, nama dan no hp masing-masing. Dua tiga kawan dalam kompeni dimasukkan. Semua geng lelaki dari Klang itu. Dan lelaki dari selatan pun seronok dapat hp baru meskipun murah. Kalau harga di mana-mana hanya RM75 atau RM85, tetapi disebabkan lelaki dari Klang itu hendak berlagak budiman, dia kena seratus lebih. Tak apa, tak apa, eksyen kita mahu!
Di pasar karat harganya dari RM20 - RM50. Tak percaya jenguklah.
Maka setelah memiliki hp baru, lelaki dari selatan pun balik ke rumah anaknya di Taman Sri Rampai, Setapak, KL.

TELEFON AWAM
Hp yang dia ada dia simpan. Simpan. Jadi dia tidak setkan lagi haribulan, dan jamnya. Sehinggalah apabila suatu hari dia tergerak pergi ke pondok telefon. Bukankah aneh? Sudah ada hp baru masih nak pergi pondok telefon?
"Hallo? Ada di rumah ya, aku datang," katanya.
Begitulah cara dia berkomunikasi, kena cepat dan pantas, sebab pondok telefon itu telan duit syiling.
Ngap, ngap, ngap, klintinggggggggg.
Tunggu punya tunggu, kawan yang menunggu itu sempat masak burger ayam dan burger daging. Jadilah. Kawan ini sudah banyak kali terkena. Janji nak datang, tapi tak datang.
Masak mi goreng basah pun tak datang, masak briyani pun tak datang, masak bihun goreng pun tak datang, kali ini biar dia makan burger spesial sahaja.
Disebabkan menunggu orang, kawan ini tidak dapat tinggalkan rumah. Maklum lelaki dari selatan ini menghadapi masalah komunikasi. Sudah ada hp baru tetapi masih kacau hp orang. "Dek boleh tolong pakcik hubungi kawan ni tak?" begitulah amalan yang biasa dia lakukan.
Sudah ada hp pun dia masih hendak cari pondok telefon awam atau jumpa budak-budak sekolah suruh hubungi si fulan dan si fulan.
Lepas solat asyar. Dia belum datang. Burger sedang dimasak. Elok juga panas-panas. Potong tomato, basuh daun salad, potong bawang Hollandia, panaskan roti burger siap belah.
Santapan petang memang sesuailah. Pekena teh o sudahlah. Sebab pakcik dari selatan ini tak minum susu, kopi pun tidak, jadi teh "o".
Kalau ada sesiapa order minuman begini di KL kadang-kadang jadi gaduh.
"Saya mahu teh "o"" kalau itulah yang diminta. Pelayan akan tanya, teh "o" panas atau sejuk? Begitu juga kalau minta teh, orang akan disoal, teh panas atau teh sejuk. Ini semua kerana pelayan Indonesia. Hingga ada pelanggan terangkan: kalau teh "o" dah tentu panas. Kalau saya kata teh "o" ais barulah ada ais, faham? Kebanyakan pelayan kedai makan dari Indonesia memang begitu, sibuk tanya panas sejuk. Padahal stail order di KL, selagi tak sebut ais, maka tak ada aisnya.
Akhirnya lelaki dari selatan sampai setelah orang solat jemaah Asyar bubar.
Dia sudah tercongok di depan rumah kawan yang telah siapkan burger tadi.
"Apa cite?" itulah soalan yang ditanya sambil tersengih. "Saya baru balik dari Perpustakaan Negara tadi," sambungnya.
"Dahsyat! Mencari ilmu di sana, gedung buku!" kata tuan rumah.
Mereka pun sembang-sembang sambil kawan tadi keluarkan air teh "o", burger dan kek yang siap potong atas piring.
Cerita punya cerita, lelaki dari selatan pun dedahkan hal dia berkawan dengan lelaki India dari Klang yang hendak bisnis man power. Lelaki itu harapkan dia membantunya dan siap belikan telefon bimbit.
"Mana? Cuba tengok!" kata kawan tadi meminta.
Setelah di pegang dia pun tekan itu ini. Rupanya ada lapan miss call tak dikesan oleh lelaki dari selatan. Itu panggilan dari Encik Ganesan, lelaki dari Klang yang hendak bisnis man power itu.
"Kenapa awak tak angkat?" tanya kawan ini kepada lelaki dari selatan.
"Aku tak reti nak jawab,"katanya selamba.

TAK RETI
Lepas itu kawan ini pun mengajar bagaimana hendak gunakan telefon itu. Sukar juga rupanya bagi orang yang sudah ketinggalan keretapi.
Begitu juga kalau dia baru nak belajar pegang PC atau laptop.
"Laaa...mesej pun ada ni!" kata kawan itu sambil tunjukkan sms dari siapa.
"Aku tak retilah," kata lelaki dari selatan yang sudah berusia angka 6 itu.
"Habis buat apalah Ganesan belikan hp untuk awak kalau awak tak reti pakai? Kenapa tak cakap terus terang. Bagi tahu Ganesan yang kamu tak reti pakai hp?" kata kawan itu macam kecewa.
Lelaki dari selatan tersengih.
Bukan setakat tidak tahu hendak menggunakan hp itu, dia pun tak faham apa itu sms dan apa itu miss call.
Kekadang istilah bahasa Inggeris lebih mudah daripada istilah bahasa Melayu untuk gunakan hp. Lagipun Nokia bukan buatan orang Melayu. Orang Melayu tak tahu buat telefon bimbit. Kalau boleh buat tentu sudah kecoh satu dunia. Macam dulu ketika kita buat Proton Saga edisi awal, hantar beberapa unit ke Jakarta. Suharto nak tertawa pun tak sampai hati, sebab Dr M ada depan dia. Orang dah buat helikopter, kita masih dengan Saga.
Akhirnya, kawan tadi pun setkan hp kawan dari selatan, Pak Rufi Rahman.Itulah nama dia. Kadang-kadang sengaja dipanggilnya DATUK. Jangan marah, ada orang suka guna gelaran hebat-hebat ketika jumpa kawan-kawan, bukan apa, ia ada unsur sinisme di dalamnya. Kena faham tu.
Dia ajarkan Pak Rufi bagaimana nak gunakan hp murah itu. Biar tak canggih, untuk belajar tak mengapa. Teramat canggih pun tak guna kalau tidak tahu pakai.
Terbukti. Kawan tadi pun dail nombor hp Pak Rufi. Dia suruh Pak Rufi jawab. Mana nak tekan? Pulak! Kemudian diajar satu persatu. Pak Rufi bukan setakat tak tahu guna langsung, bahkan tak nampak apa pun pada skrin yang ada. Habis nak guna macam mana? Marahlah Si Ganesan.
Dalam pada itu Pak Rufi kata, Ganesan mahu tolong dia. Tolong memudahkan urusan kerja. Kalau tak ada kereta, boleh pakai kereta kompeni. Pak Rufi tak reti bawak, lesen pun tak ada.
Kawan ini kata, lebih baik Pak Rufi setuju, disiapkan pemandu dan kereta sebiji. Duduk menyandar. Beli kot murah di pasar malam. Pakai tali leher lebar. Bawa beg hitam. Spek hitam. Wah! Kalah Datuk Sulaiman Abrar.
Kawan ini suka menyakat Pak Rufi. Disuruhnya Pak Rufi berlagak macam datuk-datuk. Siap ada pemandu peribadi. Habis kalau ada panggilan telefon untuk Datuk Rufi bagaimana? Kalau ada sms untuk Datuk Rufi bagaimana?
Inilah masalah yang menimpa Datuk Rufi Rahman. Dia sekarang sudah jadi rakan penting untuk bisnis man power. Jangan cakap urusan pekerja asing, nampak tak standard.
Man power lagi standard.
Tuan rumah solat maghrib. Pak Rufi ada di situ lagi. Isteri tuan rumah tak ada, sebab pergi ke rumah ibunya di Ampang.
Kawan ini solat sendirian. Datuk Rufi duduk relaks macam tak ada benda. Tak kan nak disuruh solat baru nak solat? Di rumah itu bukan ada sesiapa. Orang yang biasa solat, tak kira di mana, di rumah kawan pun dia nak solat juga. Sudah tentu hari itu Datuk Rufi sudah lalaikan solat Zuhur ketika lepak di Perpustakaan Negara Malaysia. Kemudian datang ke rumah kawan ketika jatuh waktu Asyar, lalu depan masjid kenapa tak singgah dulu?
Kemudian di rumah kawan ini kenapa tidak solat sekali? Inilah yang musykil sangat. Datuk Rufi sudah berumur. Sudah angka 6.. awalnya, tetapi kenapa tidak mahu berubah?

KESIMPULAN CERITA: 
Kisah ini bukan hendak mengata atau menyindir. Tetapi kenyataan sebenar di kalangan orang Melayu yang masih cuai dan abai sangat dengan perkara solat. Bayangkanlah, dia tidak hirau pun nak kerjakan solat, atau sibuk cari tempat solat. Seseorang yang ahli solat sudah dikenali daripada tindak-tanduknya. Dia akan mencari tempat solat, utamakan solat dan apa hal pun ia diutamakan. Berbeza dengan Datuk Rufi ini, dia tidak peduli solat, dan sepanjang kawan ini berkenalan dengan dia, tak pernah dia ikut ke Masjid Jamek KL,  tak pernah melapangkan masa ke masjid. Boleh jadi dia gerun atau phobia kepada masjid. Soal hp tak reti pakai tidak mustahak. Biarlah ketinggalan pun. Sebab sebagai seorang ORANG solat adalah perkara utama. []

No comments:

Post a Comment