Wednesday 9 May 2012

ADA ORANG BERKAWAN DENGAN BUNIAN

MAKHLUK BUNIAN INI selalu diceritakan orang. Ada lokasinya di tempat-tempat dan negeri tertentu. Ia adalah penempatan makhluk halus yang serupa manusia. Boleh dijelajahi dan boleh dikenali. Bahkan akan ada kolaborasi di antara dua makhluk ini, manusia biasa dan makhluk bunian.
Di dalam dunia nyata, kita selalu mendengar gambaran tentang betapa indahnya dunia makhluk bunian. Mungkin ada yang tergiur dengan lirik lagu P Ramlee yang memuji keindahan istana bunian.
Khabarnya ramai juga manusia biasa dari jenis lelaki yang terpesona dengan kecantikan gadis bunian. Ada yang sanggup bermastatutin di sekitar Gunung Datuk kerana berkahwin dengan gadis bunian.
Kisah bunian ini seperti kisah seribu satu malam bagi orang biasa. Mereka yang asing kepada dunia bunian selalunya merasa hairan bagaimana orang biasa boleh memasuki dunia bunian.
Yang mereka hairankan ialah bagaimana ada setengah manusia yang mengaku mempunyai benda mistik dari alam bunian. Contohnya sejenis minyak yang dianggap sebagai pengasih.
Ia bolehlah dikira sebagai minyak pengasih bunian. Ia konon berasal dari alam bunian. Minyak itu dibuat daripada campuran puluhan jenis air mata haiwan, ada yang menyebut hingga 28 jenis haiwan. Cuba senaraikan haiwannya? Bolehkah kita menyebut 28 jenis haiwan yang mengeluarkan air mata?
Dan ada campuran lain lagi yang didakwa sebagai helaian rambut puteri bunian. Nama puteri bunian ini bolehlah kita reka apa sahaja, bunian Malaysia dengan cara kita, kalau di Jawa sana tentu namanya Khanjeng Ratu. Di tempat kita hanya guna nama Puteri Bulan Kejora, Puteri Bintang Timur, Puteri Mengambang Lima Belas dan macam-macam termasuk gelaran Puteri Bulan Suli.
Alam bunian ini pun ada yang menyebutnya alam sadim.
Berbalik kepada ramuan untuk membuat pengasih ini, konon setelah dapat air mata haiwan - untuk mendapatkan air mata harimau, beruang, kucing hutan, harimau akar, harimau bintang, tupai, musang, kucing rumah, kucing parsi, dan macam-macam lagi, maka cairan air mata itu ditapakan selama hampir 3 bulan di sebuah gua. Misalnya Gua Cahaya. Gua Kota Gelanggi pun boleh, gua di Batu Caves pun boleh.
Setakat dapat air mata binatang tadi belum cukup rupanya. Bahan tadi perlu diramu lagi dengan berbagai jenis bunga terpilih, yang hanya diperoleh di alam bunian.
Dan nama bunganya pun bukan main indah:
a. Bunga Merah Embun nak panggil Bunga Mestika Embun pun boleh,
b. Bunga Seri Pagi,
c. Bunga Kias Malam, atau Bunga Kias Kelam,
d. Bunga Pokok Delima Merah.
Bayangkanlah, untuk membuat minyak pengasih ini anda perlu berpetualangan di tengah rimba bunian, kalau bukan calang-calang anda seorang pahlawan terbilang yang mampu merentasi dua dimensi berbeza, maka anda tak akan dapat air mata haiwan dikehendaki dan juga bunga-bunga indah yang disebutkan tadi.
Setelah selesai semua, anda ada tugasan besar, bertemu dengan seorang bunian yang dianggap pakar dalam pembuatan minyak pengasih. Namanya Panglima Regas Panji Alam Semurba Sakti. Lelaki sakti ini akan memasukkan penjaga atau khadam kepada ramuan minyak air mata haiwan dan bunga-bungaan tadi.
Dikhabarkan dari alam sadim itu, ada beberapa khadam yang boleh diajak berunding untuk menjaga minyak pengasih ini.
Mereka yang tinggal di alam sadim ini konon bernama seperti berikut:
1. Puteri Kuning
2. Tuk Daim
3. Panglima Pak Wahid
4. Puteri Gunung Putih
5. Tuk Begandi Gagah
Apabila mereka telah diajak berunding, maka khadam pun menghadiri di setiap ruang dan penjuru di mana gelombang dan aura minyak pengasih itu diterapkan ia mula berfungsi.
Bagi mereka yang memiliki minyak pengasih dari alam bunian ini, akan terpancar daya pengasih yang sangat hebat, anda akan disayangi orang lain, kalau dicalitkan kepada seseorang maka konon seluruh jiwa dan raganya akan menjadi milik anda.
Jadi ingatlah, jangan calit kepada sebarangan orang, takut nanti jiwa dan raganya diserahkan kepada anda akhirnya anda jadi Romeo, anda jadi Don Juan, anda jadi Cassanova, atau anda akan jadi jahat dan ganas.
Untuk memegang minyak pengasih dari alam bunian anda perlu menyediakan kemenyan Arab. Mujur kedai Arab banyak di Bukit Bintang, tanyalah ada kemenyan Arab atau tidak.
Minyak pengasih dalam botol itu perlu diperasapkan sebulan sekali dengan kemenyan Arab. Orang kata, asap kemenyan ini mengundang jin. Jin yang datang tentulah khadam-khadam yang disebutkan tadi.
Kemudian botol minyak pengasih itu jangan taruh dalam poket seluar, bimbang terbawa ke tandas. Dan jika anda minat sangat dengan ikan patin masak asam, atau tempoyak, lupakan sahajalah nak pegang minyak pengasih dari dunia bunian.
Jika begitu susah nak menjaganya, kenapa orang bersungguh-sungguh ingin mendapatkan minyak pengasih bunian?
Anda boleh bayangkan, dalam bab mencari 28 jenis haiwan untuk mendapatkan air matanya pun satu hal yang mustahil. Mahukah anda merayu kepada sang harimau agar meneteskan air mata duka untuk anda tadah ke dalam botol?
Mahukah anda memujuk beruang agar meneteskan air matanya di depan anda. Bagaimana anda hendak memujuk tupai, arnab, kucing hutan, kambing liar, kambing kacang, unta, kuda, keldai dan banyak lagi agar meneteskan air mata?
Inilah dunia kemustahilan. Jika anda berkawan dengan bunian, mungkin mereka boleh tolong. Khabarnya di dunia bunian, haiwan itu semuanya jinak. Wallahu a'lam. []

2 comments:

  1. SubhanAllah, manusia biasa tidak akan boleh hidup di Alam Bunian kerana keadaan persekitaran (atmosfera, kandungan kelembapan, keamatan cahaya) adalah terlalu berbeza. Bunian juga tidak pernah memunculkan diri di hadapan manusia, dan jika membantu manusia pun, secara rahsia. Mereka adalah makhluk-makhluk Allah yang tugas utamanya adalah membinasakan iblis dan jin kafir yang ingkar. Bunian juga tidak pernah memberikan apa-apa bentuk harta, apatah lagi minyak pengasih kepada manusia.

    Para Bunian dianiaya oleh iblis dan jin kafir yang sengaja hendak menyesatkan manusia. Banyak kejadian di mana jin kafir menyamar menjadi Bunian dan menjanjikan macam-macam kepada manusia yang menjadi mangsanya.

    Sila layari blog saya, Nukilan Bentara Tujuh untuk mengetahui dengan lebih lanjut Kebenaran Mengenai Bunian. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamualaikum.

    ReplyDelete