Sunday 27 May 2012

LAGU-LAGU KERONCONG DARI JAWA

SEMALAM BERSAMA grup surau Ainuddin kami ke majlis perkahwinan yang dibuat pada sebelah malam. Elok juga, sebab suasana sejuk dan tenang. Anggaran undangan adalah sekitar 400 orang silih berganti. Dan tetamu di majlis itu dihiburkan dengan sebuah kumpulan muzik keroncong.
Hanya lagu-lagu berirama keroncong sahaja yang dimainkan. Sambil menjamah hidangan, kedengaranlah lagu-lagu keroncong lama yang semuanya diboyong dari Jawa.
Bayangkanlah, lagu lama seperti "Terkenang-kenang", "Begawan Solo", "Sapu Tangan", "Senja Indah di Kuala Lumpur," dan semua lagu berirama keroncong dimainkan.
Tidak tahulah apakah orang muda tahu menikmati lagu keroncong begitu, tetapi nampaknya irama keroncong itu amat sesuai dengan ketenangan malam, tanpa hiruk pikuk bunyi bass dan ketukan drum secara muzik kegemaran anak-anak muda seperti rock kapak atau pop.
Sepanjang malam itu hingga jam 12.00 tengah malam, hadirin disajikan dengan lagu-lagu keroncong sahaja.
Disebabkan lagu-lagu yang dimainkan hanya berentak keroncong, maka tidak ada kebisingan berlaku. Bunyi kompang pun tidak ada.
Selera mendengar lagu-lagu keroncong begitu telah menurun pada saya. Walaupun saya gemar muzik suatu ketika dulu, kini saya anggap muzik dan nyanyian itu hanya penyendal keramaian yang tidak bermanfaat.
Meskipun ada petikan gitar, ada ukelele, ada double bass, nikmat mendengar lagu-lagu sedemikian telah luntur.
Benar, ilmu telah meletakkan muzik di wadah yang sebenar. Di antara yang haq dan yang batil, di mana muzik dan nyanyian hendak diletakkan?
Memang tak ada ruang sama sekali. Inilah yang menjadi punca betapa muzik dan lagu keroncong yang dimainkan di rumah jiran itu tidak memberi impak lagi kepada saya. []

No comments:

Post a Comment