Friday 11 May 2012

BOMOH DAN KEDENGKIAN

SYEIKH ABDUL AZIZ ABDULLAH BAZ (m.2000M) pernah mengesyorkan kepada kerajaan di mana-mana pun negeri yang menghadapi masalah perdukunan sesat agar melakukan beberapa tindakan.
Antara lain beliau mengesyorkan agar mereka mencegah segala bentuk praktik tukang ramal, dukun dan sebangsa dengannya. Mereka yang diberi kuasa membanteras hendaklah menegah praktik perdukunan ini merebak hingga ke pasar-pasar dan tempat lainnya.
Di pihak media pula sudah sewajarnya mereka tidak menerima iklan-iklan yang berbau kedukunan, mengiklankan kepandaian atau kebolehan tentang sesuatu yang berbau mistik. Perlu jelas kedudukan sesat dengan amalan ruqyah kerana masyarakat kita masih belum celik dalam perkara ini. Mereka masih terpedaya dengan perdukunan bukan Islam.
Drama dan filem kita, walaupun cenderung kepada cerita-cerita mistik, namun pemaparan adegan dukun sebagai perawat atau perantara masih menggambarkan ciri-ciri dukun purba. Masih digambarkan bahawa mantera sesat merupakan intipati dalam perdukunan.
Mungkin penulis skrip drama atau filem kita masih belum faham apa yang dikatakan sebagai ruqyah syar'iyyah itu. Jika mereka tidak berguru dalam bidang rawatan secara Islam, sampai bila pun mereka tidak akan tahu dan tidak berani mengenengahkan rawatan Islami yang sebenar.
Paparan dalam media kita masih menjurus kepada kedudukan yang menyimpang. Mereka masih memaparkan dukun teluh, dukun santet/santau, dukun tenung atau ramal, dan dengan berbagai nama indah seperti paranormal, sebeh, orang pintar, ahli guna-guna, pengasih, pelaris dan berbagai ajian lagi. Semua yang disebutkan tadi adalah pekerjaan syaitan.
Responden dari Alai, Melaka, memberitahu dia suami-isteri tidak dapat berniaga lagi kerana diganggu oleh orang-orang yang dengki dalam perniagaan gerai makanan. Kisah dengki mendengki di kalangan peniaga kita adalah cerita paling lumrah. Kita tidak dengar pun peniaga nasi kandar atau restoran barat saling berdengkian dan gunakan khidmat bomoh unuk melariskan atau meruntuhkan saingannya.
Mungkin mentaliti masyarakat Melayu suka mencari alasan apabila sesuatu itu gagal. Sikap menyalahkan orang lain kerap dibicarakan. Begitu dengan maklumat terbaru yang penulis terima, pasangan peniaga ini tidak dapat berniaga kerana ada perbuatan dengki. Maksudnya ada kaedah menggunakan khidmat bomoh untuk merosakkan perniagaannya.
Kemudian, dalam bidang niaga ini, kita mudah mencari solusi dengan meminta nasihat daripada orang pintar seperti dukun pelaris. Keyakinan mereka menjadi terlalu tinggi terhadap peranan bomoh memanggil pelanggan dan bukan kerana keyakinan dan tawakal mereka kepada Allah. Rezeki adalah di bawah penguasaan Allah, tidak ada dukun handalan yang boleh mendatangkan rezeki. Bagi yang rajin mengharapkan usaha bomoh, mereka tidak yakin bahawa penambahbaikan gerai, resepi dan kebersihan sebagai pemangkin kedatangan pelanggan.
Disebabkan kepercayaan yang tinggi terhadap perkara pelaris, orang pintar yang menyediakan khidmat pelaris cukup banyak di mana-mana. Bahkan golongan ini sanggup datang ke gerai-gerai atau restoran untuk mencari pelanggan baru.
Sebenarnya, tidak ada dukun atau bomoh pelaris yang pintar. Mereka hanya pintar mengakali peniaga yang tak bersedia dalam bidang yang diceburinya.
Contoh terbaik, seorang sahabat dari Teluk Intan, ketika singgah di sebuah gerai makanan di perhentian teksi bandar Muar,sempat melontarkan kata-kata biasa. " Nampak sunyi sahaja kak, tak ada orang nak makan ke?" kata lelaki berumur dan berkupiah putih ini.
Mendengar kata-kata itu, tuan punya gerai pun tarik bangku dan terus duduk di depannya. "Apa yang kamu cakap tu betul, tempat akak ni macam terhadang dari pandangan orang, tu sebab tak ada orang singgah."
Maka lelaki berumur itu pun menawarkan khidmatnya. "Kalau begitu, saya ada petua untuk gerai akak."
"Kamu boleh buat pelaris ke?" tanya tuan punya gerai.
Rakan lelaki berumur yang sejak tadi diam membisu terus buka mulut, "Kak, pak cik ni bomoh pelaris dari Kuala Lumpur. Dia boleh tolong kakak kalau mahu?"
Sambil mencuit secara sulit, bagi tujuan penafian, maka lelaki berumur itu tidak menafikan pun bahawa dia bomoh pelaris hebat dari Kuala Lumpur. Padahal itu hanya lakonan kosong sahaja.
Hasil dari keyakinan tinggi itu, lelaki berumur menasihatkan kakak peniaga gerai agar menjaga solat lima waktu, tolong carikan bunga tujuh jenis, buah kana, air masjid sampai tujuh masjid, solat dulu di masjid berkenaan. Dan pengerasnya?
Hasil daripada lakonan dua orang sahabat dari Kuala Lumpur yang kerap lepak di Masjid Jamek, Kuala Lumpur itu, maka mereka mendapat duit pengeras dekat seratus ringgit.
Adakah lelaki berumur itu memang dukun pelaris? Jawabnya tidak. Dia terperangkap oleh mainan kata-kata kawan tadi yang mengatakan lelaki berumur itu sebagai dukun pelaris.
Berkat lakonan itu dia sudah dapat duit tambang untuk pergi Kuala Lumpur.
Sejak itu, kedua sahabat tidak berani singgah ke gerai di Muar itu bimbang nanti tembelang mereka ketahuan.
Walaupun hanya rekaan, nampaknya, dengan keyakinan tinggi, pemilik gerai itu mulai menjaga waktu solatnya. Dan dah tentu menutup aurat ketika berniaga. Alhamdulillah, gerainya sudah ada pelaris, orang mulai datang ke gerainya dan perniagaan makanannnya ada kemajuan sedikit.
Perniagaan itu maju bukan disebabkan bomoh pelaris dari KL. Ada sebab lain lagi.
Salah seorang sahabat ini entah bagaimana suatu hari singgah semula ke gerai di Muar itu. Bimbang juga penipuan diketahui, jadi dia buat muka bodoh. Order minuman dan makanan.
Ketika hidangan diletakkan depannya, peniaga bertanya, "Nak ke mana?"
"Saya nak ke KL, kenapa?"
"Oh ya, kamu kenal tak dengan bomoh pelaris ini," kata kakak peniaga sambil menunjukkan kertas berconteng yang telah ditulis oleh bomoh pelaris rekaan itu. Dia adalah kawan sahabat yang sedang duduk di gerai itu sekarang. Takut juga. Mana tahu.
"Kenapa kak?"
"Kak nak ucapkan terima kasih kepada dia, dengan berkat nasihat dia dulu, dan doanya, sekarang gerai akak dah laris, memang ampuh bomoh pelaris dari KL tu," ujar kakak pemilik gerai.
Nak ketawa pun ada. Tapi sahabat ini diam sahaja. "Tengoklah kak, kalau jumpa saya bagi tahu dia!"
"Suruh dia datang sini, akak nak belanja makan pada dia," kata kakak itu.
Nah, kesimpulannya, tidak ada apa yang dinamakan sebagai tangkal pelaris, bedak pelaris, atau air jampi pelaris. Gerai di perhentian teksi Muar ini menjadi bukti.
Mungkin, ketika itu dua sahabat ini terdesak kerana duit dalam dompet semakin nipis. Sedangkan salah seorang daripadanya memang kaki sembang dan "putar alam" kecil. Maka jadilah seperti yang telah terpeta.
Main-main menyediakan syarat kepada kakak peniaga, ia akhirnya menjadi kenyataan. Kakak itu mungkin yakin amat dengan syarat yang ditetapkan. Syarat itu tidak menyalahi apa pun, kerana ia mengajak kepada kebaikan. Menjaga solat lima waktu ketika berniaga. Ini wajib ada pada setiap peniaga muslim. Dan tentang bunga tujuh jenis itu, ia tidak ada apa-apa sebenarnya, jika hendak mandi bunga atau tidak pun tidak mengapa.
Yang penting, lakonan itu telah jadi duit. Ini contoh bagaimana doa pelaris boleh menjadi keyakinan tinggi bagi orang yang pertama kali mendapat tahu ia didoakan oleh seorang bomoh pelaris terkenal di KL, padahal dia seorang lelaki tabligh biasa.
Kisah ini disampaikan kepada penulis oleh Sdr Jaafar Jutawan, yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur. Kesimpulannya, kita tidak boleh terlalu mengharap daripada keahlian orang yang mendakwa sebagai bomoh atau dukun pelaris. Kelarisan barang jualan bukan terletak kepada tangkal atau bedak pengasih pelaris yang dijual oleh orang pintar.

No comments:

Post a Comment