Tuesday 8 May 2012

BERSIH 3.0 DISERANG HABIS-HABISAN

SEJAK SEBELUM, SEMASA DAN SESUDAH BERSIH 3.0 berlangsung dengan jayanya, media pemerintah terus mengasak dan menggasak dengan ganasnya untuk mempengaruhi orang ramai akan percaya bahawa anak-anak muda yang turun di Kuala Lumpur untuk menmyertai bantah duduk adalah ganas.
Maka setiap hari tidak ada cerita lain, orang yang sealiran dengan Umno-Barisan Nasional (UBN) terus menyatakan pendiriannya bahawa para pemimpin yang mengadakan Bersih 3.0 perlu dihukum.
Permintaan bodoh ini jika dilayan akan memberi tamparan yang lebih buruk kepada UBN dan memberi kesan kepada undi UBN.
Dalam keadaan pihak UBN menanggung banyak beban masalah, dan penyelesaian pun belum tuntas, kini mereka menanggung beban lagi, Bersih 3.0 seolah-olah tsunami yang menyapu bersih segala kepercayaan Tuk Jib terhadap jentera pilihan raya mereka, kini semua telah retak.
Tuk Jib kena fikir banyak kali. Semakin dekat menjelang pilihan raya, semakin banyak masalah pula yang perlu didepani. Jika selama ini UBN menganggap suasana sudah cukup selesa dengan cara memukul gendang skandal seks yang konon melibatkan Pakatan Rakyat, gendang itu musnah apabila Bersih 3.0 benar-benar hadir dan menggugat.
Para perkiraan UBN Bersih kali ini akan merosot dan bilangan anak muda yang turun ke jalanan tidak seramai Bersih 2.0. Kini telah terbukti, bahawa Bersih 3.0 jauh lebih hebat.
Kehebatan Bersih 3.0 menyebabkan pihak tertentu cuba menimbulkan imej buruk terhadap peserta Bersih 3.0, akhbar dan media elektronik lainnya cuba menggambarkan peserta Bersih 3.0 ganas dan buat kacau.
Setelah tuduhan dilemparkan bertalu-talu ke atas peserta Bersih 3.0, mereka akhirnya mendapat banyak jawapan yang memalukan.
1. Ada unsur sabotaj di mana ada kelompok yang sengaja hadir untuk membuat kacau dengan berpakaian kuning Bersih 3.0. Mereka terdiri daripada orang suruhan yang menjadi agen provokasi. Hal ini sudah maklum di kalangan peserta Bersih 3.0.
2. Bilangan wartawan yang terkena oleh tindakan polis yang ganas, telah menjadi kisah sebaliknya. Daripada hendak melemparkan tuduhan kepada peserta Bersih 3.0, akhirnya ia makan diri, cerita sebenar para wartawan yang cedera adalah kerana tindakan pihak polis. Perkara ini tak boleh ditutup lagi.
3. Begitu juga orang-orang yang dianggap berpakaian kuning Bersih 3.0 itu semuanya mewakili peserta tulen telah bertukar menjadi peserta jelmaan yang sengaja dirancang oleh pihak tertentu untuk memberi gambaran buruk terhadap sebuah perhimpunan yang aman.
4. Terlalu banyak sandiwara di dalam usaha pihak UBN hendak memrojeksikan imej buruk peserta Bersih 3.0, namun akhirnya usaha itu gagal. Ternyata, perhimpunan Bersih 3.0 sengaja dikacau ganggu agar menjadi huru-hara agar pihak tertentu senang bertindak kerana mereka mempunyai alasan kukuh.
5. Kini semakin banyak pertubuhan atau NGO bersuara menentang Bersih 3.0 tetapi cara mereka menyatakan penentangan dan kritikan adalah tidak jujur. Banyak yang bersuara hanya setelah diajak untuk bersuara untuk meramaikan. Semua ini sudah ditelah, ia adalah kerja jahat daripada orang-orang atau agen UBN sendiri.
6. Banyak rungutan tentang kerosakan dan kerugian, semua ini adalah bahan yang dipaparkan secara tak jujur kerana ia dicari oleh wartawan jahat semata-mata untuk memberi gambaran tidak baik terhadap peserta Bersih 3.0.
7. Pihak UBN menjadi kelam-kabut, slogan rakyat didahulukan telah memakan diri sendiri apabila ketika Bersih 3.0 berlangsung, rakyat dimusuhi, rakyat dipukul, ditendang, dipijak, ditarik, diherdik, dimaki, dan macam-macam lagi perlakuan ganas. Kini semua orang tahu, siapa yang melakukan keganasan terhadap mereka? Soalan siapa yang ganas telah ada jawapannya.
Sebenarnya, semakin kalut UBN mendepani gerakan massa seperti Bersih 3.0 semakin menyerlahkan sikap mereka sebenar. Ketika pemimpin UBN melemparkan tuduhan bahawa Bersih 3.0 ingin menggulingkan kerajaan, ternyata, pihak Bersih 3.0 tidak pernah pun menggulingkan kerajaan, sebaliknya pemimpin UBN sendiri pernah menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak secara tak beretika. Kini pemimpin UBN malu sendiri, kerana tuduhan terhadap Bersih 3.0 kena pada batang hidung mereka.
Apa lagi hujah yang pihak UBN hendak mainkan? Setiap hari kita mendengar alasan dan kritik yang sama sahaja. Dan yang paling teruk adalah ulasan dan komentar daripada bekas ketua polis yang telah dipojokkan oleh rakyat kerana jasa-jasanya membina jenayah yang memalukan.
Bekas ketua ini begitu mudah melemparkan tuduhan kafir terhadap seorang individu yang bergelar ulama. Semua orang sudah tahu siapa bekasan itu, dan sejauh mana orang yang menuduh itu akhlaknya bagaimana? Orang pun faham, bahawa walaupun seseorang itu berpangkat dan punya kedudukan dan gelaran hebat, jika ilmunya tidak sehebat orang yang dikritik, semuanya akan menjadi tsunami kepada penuduh itu sendiri. Buktinya, semua orang terkejut, termasuk wartawan yang menulis laporan kenyataan itu.
Jelas, bahawa media milik UBN cukup gelabah, mereka kali ini begitu payah hendak menghadapi fakta yang sebenar. Sebaliknya mereka bermain dengan andaian, bermaian dengan fitnah dan tohmah. Percayalah, semua ini akan berbalik kepada mereka jua kerana selalunya kemenangan akan berpihak kepada orang yang berilmu. []

No comments:

Post a Comment