Thursday 3 May 2012

LAPORAN BERSIH DI MATA RAKYAT

RAKYAT yang menyertai bersih 3.0 sudah tahu cerita sebenar di gelanggang "pertempuran" antara peserta perhimpunan dan pihak "perosak keamanan" di dataran merdeka. Mereka kalau mendengar laporan dari tv dan media lain pasti akan mencebik dan mengatakan itu berita dusta! Itu berita tipu.
Inilah kesan jangka panjang apabila pihak pemerintah sentiasa menutup segala kes dan segala kepincangan yang ada.
Perkara yang melibatkan pihak polis mahu dijaga dengan baik oleh pemerintah. Tetapi ketika mereka nak menutup keburukan dan keganasan yang dilakukan ke atas rakyat, ada kes lama yang melibatkan anggota polis dipaparkan dalam media, seorang cip inspektor merogol pelajar sekolah, kemudian kes orang menyamar polis, maknanya ketika satu pihak hendak menutup keburukan, di pihak lain membuka cerita aib yang tak boleh ditutup lagi.
Apakah ini kifarah? Kita tidak kata begitu, secara kebetulan belaka. Ketika ini isu bersih 3.0 memang benar-benar jadi bahan sensasi yang menarik minat.
Sensasi bersih 3.0 dimainkan oleh media kerajaan bagi menggambarkan ada anasir jahat dalam kumpulan bersih tajaan pembangkang.
Dari dulu memang pihak penguasa cuba memburukkan bersih, memburukkan ketuanya, kepada siapa peserta bersih nak ikut? Kemudian pandai pula bermain fatwa, konon tidak boleh berketuakan seorang yang memperjuangkan itu dan ini, tak boleh ikut ketua yang bukan Islam.
Pihak yang mengkritik lupa, ketika BN mengadakan majlis yang diketuai oleh golongan kafirin, tidak sebaris ayat pun mereka berani melontarkan kritikan. Mereka hanya nampak kesalahan orang sahaja, dan pada masa yang sama bercakap tentang perpaduan rakyat.
Bersih 3.0 adalah bukti perpaduan rakyat. Di bawah satu ketuaan rakyat sanggup datang berkumpul meskipun senjata pemedih mata dan air kotor sudah disiapkan untuk disemburkan dengan zalimnya kepada rakyat.
Ertinya, rakyat didahulukan memang benar-benar dipraktikkan. Rakyat didahulukan untuk disembur dengan air dan gas pemedih mata. Rakyat juga yang didahulukan untuk digempur. Padahal tidak seorang pun rakyat yang bersenjata. Rakyat mengalah dipijak dan ditendang sesuka hati. Hal ini yang membuatkan orang teringat kepada bumi Palestine yang berdepan dengan polis Israel.
Jika disindir rasa marah, maka ketahuilah, kemarahan rakyat lebih-lebih lagi. Ia kemarahan yang merata dan tidak akan mudah dipadam dengan mengadakan hari mesra rakyat, hari polis, atau apa sahaja hari. Seorang ibu yang pernah dipijak-pijak akan jadi trauma, sampai di mana-mana pun dia tidak boleh melihatkan baju gelap. Percayalah. Ini adalah naluri semula jadi manusia.
Sesiapa yang pernah dizalimi, akan timbul perasaan dendam dan benci yang mendalam terhadap pihak yang melakukannya. Jika ada yang mengharap kerjasama orang ramai, mereka akan menempelak semula, bukankah mereka itu profesional? Tidak perlu kerjasama orang ramai untuk membanteras apa pun.
Hasil dari bersih 3.0 adalah buah kebencian kepada pihak UBN kerana SPR yang menjadi sasaran kritik tidak berbuat apa.
SPR semacam kebal, dan tak peduli apa pun kerana didukung oleh sebuah penguasa yang zalim yang bimbang undi mereka kian merosot.
Kehadiran rakyat yang turun ke gelanggang membuktikan usaha penganjur bersih 3.0 adalah program yang mendapat sokongan segenap lapisan rakyat. Bayangkan, jika tanpa halangan apa pun dari DBKL atau PDRM rasanya bilangan yang hadir boleh mencecah sejuta umat!
Bayangkan dapatkah Umno yang akan menyambut ulang tahun ke-66 mengundang sejuta ahlinya? Tidak mungkin kalau hanya sekadar makluman. Mereka sudah terlalu biasa disodorkan dengan bermacam kemudahan untuk hadir di sesuatu tempat. Justeru kalau tidak ada eskalator depan rumah, rasanya mereka tidak mahu bersusah payah sekalipun di stadium itu sudah menunggu Pak Jib untuk bersalaman.
Media pemerintah selalu menggambarkan betapa rindunya seorang lelaki berumur untuk makan bersama Tuk Jib. Itu hanya rekaan wartawan sahaja. Orang kampung peduli apa dengan Tuk Jib, kalau setakat sarapan pagi dengan Tuk Jib bukan ada fadilatnya pun. Lainlah kalau bersama orang berilmu, mendapat sebaris ilmu pun membawa manfaat.
Akan tetapi bagi orang yang jauh dari ilmu, mereka tak faham dengan kedudukan orang berilmu, kenapa kita perlu berdampingan dengan orang berilmu, orang yang dianggap tuk guru, tetapi tradisi Umno nampaknya hanya memuliakan orang bergelar yang bukan-bukan, mereka tidak memuliakan orang berilmu.
Inilah bezanya orang berilmu dan tidak berilmu.
Apabila Tuk Guru pun beri keizinan kepada ahlinya untuk turun ke gelanggang, sekalipun perhimpunan itu diketuai oleh A Samad Said dan Ambiga, ia adalah satu perjuangan suci, perjuangan menegakkan kemunkaran. Kemunkaran dalam pilihanraya akan menjadikan sesuatu itu bersih atau tidak sahaja.
Jika pilihanraya sarat dengan penipuan, maka hasilnya adalah sesuatu yang subhat dan mengelirukan. Kita tidak mahu cerita rampasan kuasa BN berlaku lagi seperti yang terjadi di Perak. Ia adalah kes yang memalukan umat kerana melibatkan golongan bangsawan melayu.
Jika pilihanraya dijalankan dengan jujur dan telus, tidak akan berlaku membeli Adun atau MP sebagaimana praktik yang diamalkan oleh pihak penguasa di pusat.
Cerita Bersih 3.0 buat sementara waktu masih menjadi topik yang menarik. Sejauh mana pihak PDRM akan bertindak terhadap anggotanya?   Meski penafian telah banyak kali diucapkan dan yang diulang-ulang adalah kalimatn profesional yang memualkan.
Pak Cik Mat pun buat kerja profesional juga sebagai nelayan di laut. Pak Badri pun buat kerja profesional juga ketika mengutip sampah di kawasan longgokan sampah.
Jangan fikir orang bergaji bulanan sahaja profesional, orang yang menggunakan keahlian atau kepakarannya untuk cari makan ia adalah profesional.
Jadi, siapa sebenarnya yang profesional?

No comments:

Post a Comment