Tuesday 22 May 2012

SOON KIA DARI PEKAN SEKINCAN

Di tahun 60-an, apek Soon Kia kerap merayau-rayau masuk kampung. Dia kayuh basikal sambil membawa bakul kosong. Apa sahaja yang boleh dipunggah, dia akan punggah. Kelibat apek Soon Kia sudah diketahui oleh penduduk kampung, baik Kg Parit 4, Sungai Leman yang berparit-parit dari Parit 7, Parit 8, Parit 9, Parit 10. Serata kampung dia masuki tanpa ada rasa curiga pun. Padahal itu belum pecah 13 Mei 1969.
Kadang-kadang apek Soon Kia bawa motosikal Bantamnya siap bawa guni dan dacing. Apek Soon Kia memang kreatif. Ada sahaja idea yang hendak dibuatnya.
Dia datang dari Sekincan, terus masuk ke Kg Warisan Pasir Panjang. Dia tengok pokok ubi yang ditanam sudah cukup tinggi, buahnya pun tentu berisi. Apek Soon Kia sudah berkira-kira hendak mencabut beberapa batang pokok ubi.
Tanah gembur, tidak menyusahkan Soon Kia mencabutnya. Dia boleh cabut pokok ubi seorang diri. Kanak-kanak pun boleh. Ubi kayu diperlukan untuk dijadikan makanan haiwan. Jadi, apek Soon Kia kena cari bahan dengan cara masuk ke kampung, perkampungan Melayu yang ditujunya.
Setelah ubi kayu dicabut, isinya dipulas dan kemudian disumbatkan ke dalam guni. Seguni ubi kayu memanglah berat. Masa itu orang tidak menyukat dengan gram atau kilogram. Apek Soon Kia menimbang guna dacing berbatang besar. Perlu dipikul oleh dua orang dewasa sambil apek membetulkan batu dacingnya. Bayangkanlah batu dacing itu, kalau terhempas dan kena kaki, maka melolonglah kesakitan.
Apek Soon Kia, kira dengan kertas haribulan yang dikoyak-koyak. Dia menconteng. Satu pikul berapa ringgit? Masa itu duit merah masih gambar kerbau pembajak sawah.
Selain membeli ubi, Soon Kia juga mencari kelapa kering. Siapa yang nak buat kelapa kering, Soon Kia sedia membelinya. Tidak kira berapa guni. Kalau tak cukup motosikal, Soon Kia akan datang dengan lori kecil.
Dengan memakai seluar pendek, Soon Kia kerap keluar masuk kampung Melayu. Orang Melayu tidak ada perasaan apa pun, tidak memandang dia sebagai seorang lelaki Cina atau apa. Malah dia dianggap sebagai sahabat.
Sewaktu kecil saya pernah beberapa kali pergi rumah apek Soon Kia kerana urusan jual kelapa kering. Masa dulu mana ada orang jual kelapa sawit?
Apabila teringatkan cara kerajaan Barisan Nasional menakut-nakutkan orang Melayu kepada DAP, saya jadi semakin curiga. Apa matlamat sebenar BN ini? Bukankah mereka mencanangkan perpaduan sejak berpuluh tahun, tapi perpaduan yang dicanangkan itu tidak berbekas langsung.
Nampaknya, kegagalan BN untuk merapatkan perpaduan antara kaum sudah diungguli oleh Pakatan Rakyat. Dulu orang DAP takut berkawan dengan lelaki berkupiah, tetapi hari ini mereka lebih percaya kepada lelaki berkupiah daripada yang bersongkok tinggi.
Sebenarnya BN memang suka kalau perpaduan kaum di negara kita sentiasa bermasalah. Apabila DAP dapat memerintah Pulau Pinang, hilanglah upaya BN hendak menawan semula. Bukankah rakyat Pulau Pinang masih ingat, untuk menyelamatkan Pulau Pinang, BN mengutamakan Gerakan untuk mentadbir Pulau Pinang.
Berbalik kepada apek dari Sekincan tadi, saya pun sebenarnya anggap Soon Kia ini macam pakcik juga. Dia datang bawa buah tangan. Boleh duduk bersembang di atas pangkin sambil hisap rokok.
Soon Kia boleh berkira-kira mahu beli kelapa kering atau ubi kayu sebulan lagi. Itulah perkiraan dia. Dan perkiraan ini sebenarnya mendatangkan wang kepada kami sekeluarga.
Kalau kami pergi ke laut, Soon Kia pun tidak kisah. Dia boleh cabut ubi dan isi dalam bakul. Apabila kami balik dari laut baharulah dia timbang. Berapa pikul beratnya? Dan berapa kati?
Kini apabila terkenang kepetahan ADUN Sekincan dari DAP yang pandai cakap Jawa, saya rasa dia pun mungkin ada belajar sedikit sebanyak daripada cara apek Soon Kia berhubung dengan orang kampung.
Heboh 13Mei langsung tak dirasakan ketika itu. Kami tetap pergi ke pekan Sekincan, sebab itulah pekan untuk mendapatkan apa sahaja meskipun untuk dapatkan sebilah jarum atau mata pancing.
Sebenarnya selain Soon Kia, ada lagi watak menarik seorang lelaki India yang kita panggil Weiran. Dia tinggal di Parit 4 Sekincan, berniaga lembu.
Setiap kali orang kampung beli anak lembu, Si Weiran akan datang ke kampung. Dia menjaga lembu itu sehingga dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru. Weiran sanggup tidur di beranda rumah. Makan tidur di situ. Tuan rumah sediakan makanan. Apa yang kita makan, Weiran pun makan juga.
Kelibat Weiran kelihatan setahun dua kali atau lebih, itupun kalau ada orang beli lembu.
Weiran berkain pelikat baju t kusam, kain selimut diletakkan di keliling lehernya macam lagak Mahatma Ghandi.
Jadi, di kampung kami ada dua watak yang biasa hadir dan tidak mencurigakan sesiapa pun. Apek Soon Kia yang mencari kelapa kering dan ibu kayu, Si Weiran pula sibuk dengan lembunya. []

No comments:

Post a Comment