Tuesday 8 May 2012

MUSIM BOLA RAMAI BERTAHAJUD

DI MASJID DAN SURAU acap benar kalangan ustaz membuat komentar yang berseni. Komentar itu ditujukan kepada para jemaah baik surau atau masjid agar jangan persia-siakan masa ketika musim bola sepak sedang menjadi kegilaan di mana-mana.
Bayangkan, orang sanggup berjaga malam hanya kerana hendak menyaksikan perlawanan bola sepak yang berlangsung di luar negara.
Hairannya, setiap pasukan itu mempunyai kelompok peminat yang fanatik. Mereka sanggup bersengkang mata menyaksikan perlawanan bola sepak tanpa memikirkan waktu disia-siakan sahaja hanya kerana sebiji bola yang bergulir di tengah padang.
Umat lebih sayangkan tiupan wisel permulaan dan ingin menyaksikan pada minit ke berapa gol pertama masuk. Atau mahu melihat bola melayang dan terkena jaring ketika penjaga wang jatuh tertiarap di atas padang.
Ustaz selalu menyindir, pada musim bola sekarang, ramai orang bertahajud. Kalau benar begitu, ia memberi gambaran betapa umat hari ini telah menyedari akan peri pentingnya masa tidak dipersiakan.
Menonton bola sepak memang melekakan, dan kelekaan itu akan menjadi seseorang itu alpa dengan tanggungjawabnya.
Bayangkan, seseorang sanggup tidur awal untuk menyaksikan perlawanan pada waktu pagi. Mereka boleh bangun, membuat kopi dan makan sedikit sambil menghadap skrin tv di rumah atau di kedai mamak.
Kenapa tidak tergerak langsung hendak ke bilik air, berwuduk dan mengerjakan solat sunat sekalipun dua rakaat sahaja?
Kenapa tidak ke situ? Ia memang gambaran di dalam kepala seorang yang berilmu, mereka tahu bagaimana hendak memanfaatkan waktu yang sunyi itu, waktu yang sesuai untuk qiyamulail, tapi sayang, sebilangan umat tidak berminat ke situ. Mereka lebih mengutamakan hiburan. Sukan yang disaksikan adalah salah satu bentuk hiburan.
Orang terhibur apabila menyaksikan bola menjadi rebutan. Cerita bola akan jadi bahan bualan di kedai kopi, warung atau meja pejabat.
Nasihat orang berilmu selalu dipandang ringan. Solat sunat dua rakaat yang ustaz sebut itu tidak difikirkan langsung apabila seseorang itu sudah berada di depan skrin tv. Sambil membawa semangkuk mi segera dan air hangat, maka pagi itu menyaksikan perlawanan bola sepak lebih penting daripada solat sunat dua rakaat, empar rakaat, lapan rakaat atau 12 rakaat.
Mereka lebih seronok menyaksikan bola bergulir dengan masa daripada membaca al-Quran atau mentelaah hadis.
Apabila ustaz berkata ramai orang bertahajud di musim bola sepak di Eropah sana, maka ramai yang hairan, apa yang sebenarnya hendak disampaikan oleh uastaz itu? Ilmu taktikal bola sepak tidak dapat menjawabnya. Ingatlah hanya orang berilmu mereka mengerti dengan sindiran ustaz. []

No comments:

Post a Comment