Wednesday 16 May 2012

MENJELANG PILIHANRAYA, KE MANA SI BEBAS PERGI?

BUDAYA LOMPAT MELOMPAT parti sudah jadi macam mainan sejak musim pilihan raya yang lampau. Lompat melompat memberi gambaran pelompat itu tidak ada pendirian, tidak ada tujuan dalam berpartisipasi dalam politik yang diwakili. Bahkan ada orang bertanding atas lambang parti lain kerana kawasan itu memang popular kepada dia, maka setelah menang, dia pun dengan bangganya menentang lambang parti yang membuatkan dia menang sekarang. Golongan seperti ini memang ada dalam dunia Melayu.
Apa pun kita melihat gejala lompat melompat parti ini bukan berpunca daripada masalah parti yang diwakili. Kebanyakan mereka yang telah keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai Bebas adalah mereka yang tidak suka bertanggungjawab dan tidak suka berdepan dengan sebuah organisasi di berbagai peringkat.
Pernahkah anda mendengar ada Cawangan Parti Bebas Wangsa Maju, atau Cabang Bebas Sungai Kajang? Tentu tidak pernah. Sesiapa yang memilih Bebas sebenarnya telah memilih untuk membebaskan diri dari ikatan peraturan sebuah parti. Dia tidak perlu cabang, tidak perlu bahagian dan tak perlu mesyuarat. Jadi dia tidak mewakili sesiapa pun, sebab kewujudan seseorang YB itu bukan atas kapasitinya sebagai calon Bebas, sebaliknya daripada parti tertentu.
Andainya mereka itu bertanding atas calon Bebas, belum tentu lagi hari ini dia bergelar YB, belum tentu dapat anugerah Datuk dan macam-macam anugerah lagi.
Jadi, menjelang pilihan raya nanti, orang yang duduk di bangku Bebas akan mencari ruang untuk bertanding di kawasan yang telah dimenanginya atas tiket parti dulu. Cuma kali ini dia bertanding atas tiket Bebas bagi tujuan pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru.

TAWARAN BERGANDA
Matlamat mereka kini, sama ada hendak memenangi pertandingan sebagai calon Bebas atau mungkin mendapat pujukan agar tarik diri dari bertanding dengan tawaran dan habuan wang ringgit atau projek besar menanti. Di masa lepas, kejadian seperti ini banyak berlaku, mereka yang bertanding Bebas boleh tarik diri dan isytiharkan sokongan kepada parti yang berkuasa. Calon Bebas begini memang contoh orang yang cari makan dengan cara bertanding bagi tujuan mengumpan tawaran berganda.
Kini, tidak ada siapa dapat mencongak ke mana gerangan orang-orang yang telah melompat parti pada masa lalu. Mereka sudah tidak ada parti, dan kalau menyertai Umno atau parti lain pun, belum tentu mereka akan dicalonkan kerana mereka tetap tidak dipercayai.
Kedudukan YB yang kini duduk di bangku Bebas adalah tidak tentu arah. Mereka tidak dapat mencongak hendak ke mana lagi sesudah ini.
Segala tindakan yang dibuat selalunya menyebelahi pihak UBN, hendak masuk Umno terasa malu kerana parti itu pernah dihina pada masa dulu, jadi mereka mencari jalan selamat, menyokong UBN tanpa menyertai parti apa pun.
Soalnya sekarang, dapatkah mereka menjadi YB untuk meneruskan sepenggal lagi dengan bertanding atas tiket Bebas?
Inilah yang menggerunkan mereka. Sudah tentu mereka terasa malu hendak berkempen di kawasan lama. Mereka telah menipu pengundi. Mereka tidak setia dengan parti. Orang begini sukar dipercayai, maka pengundi akan memilih orang yang ada parti dan bukan orang yang bertanding atas tiket Bebas.
Mereka yang telah menjadi Bebas, hanya mengharapkan pertubuhan yang diketuainya baik Perkasa atau Jati. Inilah talian hayat untuk meneruskan karier di kancah politik tanah air. Diharapkan dengan suara yang lantang, suara yang sealiran dengan UBN akan membuahkan hasil, setidak-tidaknya dijadikan rakan karib UBN, dilantik sebagai orang tertentu atau senator paling tidak.
Wacana ini hanya merujuk kepada calon Bebas yang dulunya adalah calon daripada parti politik tertentu di dalam Pakatan Rakyat, ia tidak menyinggung langsung sesiapa pun yang memang bertanding atas tiket Bebas dari mulanya. Sebab dia memang bertanding atas tiket Bebas. Setelah dia menang, dia bebas untuk menentukan pihak mana yang dia hendak sokong.
Kini, YB yang Bebas memang tidak ketahuan arah. Mungkin mereka akhirnya akan kecundang dalam arus politik negara. Ketika hampir pilihan raya inilah mereka memikirkan nasibnya yang tidak keruan.
Suara-suara lantang yang dilontarkan walaupun menyebelahi pihak UBN belum tentu menjadi sebab untuk mereka dijadikan anak emas kerana dalam Umno terlalu ramai yang menunggu giliran untuk dicalonkan.
Rakyat pun ingin tahu ke mana Ibrahim Ali, Hassan Ali, Zulkifli Nordin, dan orang lain yang telah berpaling tadah secara tidak terhormat itu akan berada setelah pilihan raya kali ini?
Adakah mereka masih mampu bersuara atau ditelan arus zaman? Tunggulah. Biasanya mereka akan dilupakan orang begitu sahaja. []

No comments:

Post a Comment