Tuesday 8 May 2012

TERINGAT KISAH KAWAN KOREK JIRAT LAMA

MENURUT YANG EMPUNYA CERITA, entah sanad terputus atau bersambung kepada yang empunya, maka ada sekumpulan umat yang percaya bahawa jirat lama-lama dulu ada menyimpan harta karun.
Mereka menggambarkan sebagaimana yang ada di Negeri China sana, ada jenazah yang ditanam bersama benda-benda berharga, entah emas, perak, gangsa dan batu-batu permata bernilai.
Bertolak daripada cerita itulah, mereka memberanikan diri masuk ke kawasan jirat lama yang sudah lama terbiar untuk diterokai.
Keberanian mereka memang luar biasa. Al-maklum mengorek jirat lama pada waktu malam di tempat yang tersorok. Setelah dikorek dan ditemui kotak keranda lama yang ada, maka dibukalah untuk mengetahui apa isi di dalamnya.
Apa yang ada? Kata yang empunya cerita, bukan ada apa pun. Yang ada tengkorak yang lama, tulang bersusun, sepatu warna hitam yang masih utuh. Bayangkan sudah berapa ratus tahun agaknya? Tidak ditemui apa pun tembikar, jade, batu permata atau barang berharga.
Maka yang dapat hanyalah penat. Setidak-tidaknya kalau ada orang kata, kematian warga keturunan China pada sekian tahun ada pengaruh dengan adat budaya di China sana, termasuk adat bangsawan China, maka kelompok yang buat kajian ini telah membuktikan, tidak ada.
Setelah tidak menemui apa pun, mereka pun kambus semula. Dalam kepenatan mereka buat kesimpulan, tidak semua kubur lama ada menyimpan benda berharga. Perkuburan yang menurut sumber itu terletak di sebuah daerah di Johor, saya pun tak ingat, sebab ketika penutur kisah bercerita, kami ketika itu sedang melalui sebuah kawasan menuju ke Johor, setepatnya ke Pontian. Jadi lokasinya di mana, saya tak ingat.
Kawan yang bercerita ini memang suka cerita misteri. Kebetulan dia pun ada menulis kisah misteri, maka mungkin carigali yang dilakukan adalah salah satu cara praktikal untuk melakarkan kisah misteri yang sebenar. Kisah pengalaman mengorek kubur lama di Johor.
Jadi, kalau ada sesiapa dengar temberang orang mengatakan dalam kubur sekian ada harta karun, maka jangan percayalah. Begitu juga ada yang mengatakan kubur yang bertarikh tahun tertentu, biasanya jenazah ditanam bersama barang berharga, itupun masih diragui.
Kisah kubur ada harta karun ini pun saya pernah dengar apabila seorang "pintar" memberitahu bahawa ada makam di Bukit Melawati, Kuala Selangor menyimpan harta karun.
Menurut sumber yang lain pula, seorang perawi menyatakan ada harta karun yang ditanam berhampiran makam. Bermakna bukan di tempat jenazah, sebaliknya di kawasan permakanan.
Menurut perawi lagi, harta karun itu dijaga oleh seorang khadam berjubah putih, yang konon kelibatnya boleh kelihatan di kawasan tengah padang dekat deretan meriam lama yang menghala ke stesyen pencawang yang ada.
Kemudian ada seorang Puteri yang memberi keizinan untuk mengambil wasiat yang tertulis pada sekeping belulang yang ditempelkan pada sebuah batu nisan berbalut kain kuning di situ.
Wasiat itu belum dibuka ketika ditunjukkan kepada penulis. Saya cuba memegangnya, memang keras, maklum belulang. Cuma pertanyaan saya, betulkah di dalamnya ada wasiat tertulis? Tulisan jawi atau rumi? Wasiat tentang apa?
Inilah kemusykilan saya. Kebetulan orang pintar ini sangat akrab dengan saya. Dan setiap penemuan baru akan diberitahu kepada saya. Maka cerita Puteri ini juga menarik kerana khabarnya ada kaitan dengan kraton.
Hanya kisah harta karun yang dikatanya ada tersimpan di suatu tempat tetapi tidak diketahui di mana lokasinya masih jadi tanda tanya. Untuk dijadikan sembang mistik dan misteri memang mengancam.[]

No comments:

Post a Comment