Saturday 12 May 2012

AJARAN SESAT ATAU CARI YANG MUDAH?

BAGI ORANG YANG NAK BERAGAMA SECARA MUDAH, atau kerana kurang ilmu, maka mereka mudah terpesona jika mendengar ajaran baru.
Maka hairanlah mereka apabila ada fatwa baru dikhabarkan kepada mereka. Dalam hal ini saya nak catatkan tentang ajaran Qurani, maksudnya, dalam beragama, kita hendaklah merujuk kepada al-Quran sahaja dan jangan merujuk kepada as-Sunnah.
Mereka pun mengadakan kelas pengajian setiap lepas maghrib. Mula-mula tazkirah biasa, apabila sudah ramai, maka masuklah jarumnya.
Biasanya tazkirah itu sampai terlajak dan memang tak ada azan Isyak pun. Dan khabarnya, tak payah qamat semua, mereka pun solat dengan dipimpin seorang imam Qurani.
Mereka yang biasa solat 4 rakaat fardu Isyak akan terkejut hairan kerana solat isyak hanya dua rakaat. Itu mengikut tafsiran nyeleneh ajaran Qurani, ajaran yang berpaksikan kepada al-Quran.
Ajaran ini berkembang secara berkelompok di pusat pengajian sekitar kota metropolitan di sebuah wilayah di Nusantara, mujur tak ada di Kuala Lumpur. Kita hanya mendengar anti-hadis sahaja suatu ketika dulu.
Selain itu, khabarnya, kelompok Qurani ini kebanyakannya tidak berpuasa dalam bulan Ramadan kerana mereka berpegang kepada ajaran, bahawa hanya mereka yang melihat bulan [bukan anak bulan] diwajibkan berpuasa, yang tidak melihat bulan, mereka tak wajib puasa. Inilah salah satu segmen ajaran Qurani.
Habis? Kalau bulan bisa ngomong, ia tentu tak akan bohong! begitulah lirik sebuah lagu. Memang bulan akan melaporkan penipuan pendiri ajaran Qurani ini.
Ajaran ini yang juga disebut oleh pengkaji ajaran sesat sebagai ajaran ingkar sunnah, menyebarkan ilmu melalui majlis tazkirah tadi, sambil berjualan kaset rakaman, risalah bercetak.
Kebetulan ada bos berduit dari Padang Panjang, Sumatera, yang memiliki mesin cetak, maka dia giat mencetak bahan ajaran untuk orang ramai terutama di suatu tempat di kota.
Siasat punya siasat, ada seorang lagi orang kuat persatuan yang kerja di kilang Unilever milik Belanda, dia juga ikut berdakwah dan berfatwa.
Ada lagi tokoh keturunan indo-Jerman, juga ikut berdakwah keliling, sebab hendak merosakkan Islam secara tak disedari. Bagaimanapun ajaran itu dapat dilemahkan, sebuah kawasan permukiman penduduk keturunan Belanda yang Kristian dapat diimbangi setelah didirikan sebuah yayasan islam dan sebuah rumah ibadat ditempatkan di situ.Ingkar sunnah adalah sebuah ajaran sesat.
Daripada begitu ramai orang yang telah mengikuti majlis ilmu di sana, kemudian mungkin ada salah seorang atau beberapa orang pindah ke Semenanjung, cari kerja, kerja kontrakan, lalu mungkin ajaran yang dia terima itu tetap diamalkan di sini.
Maka jika bulan Ramadan mereka tidak puasa, mungkin kerana dia tidak melihat bulan. Atau kalau mahu solat, buat dua rakaat sahaja. Dan sudah pasti apa sahaja amalan sunnah ditolak ke tepi.
Nampak benar, pendiri ajaran sesat ini bukanlah orang berilmu sangat. Jika ada ilmu dan berkelulusan tinggi pengajian islam, mereka diperdaya kerana kebendaan dan kedudukan. Maka cara jarum perosak ini melakukan kerja sangatlah halus. Khabarnya, ingkar sunnah atau Qurani ini adalah jarum dari Yahudi kecil di sebelah Nusantara.
Maka beringatlah. Ajaran sesat bukanlah sebuah ajaran baru, ia bolehlah dianggap sebagai salah satu cara mencari yang mudah daripada yang sudah mudah. Islam itu mudah. Maka mereka tafsirkan secara individu tanpa merujuk kepada apa pun, bahkan ajaran mereka sampai mampu melahirkan kitab tafsir mereka sendiri. Bayangkanlah kalau kitab tadfsir itu sesat dan ditatap oleh kelompok antihadis, maka bertambah cengenglah mereka. []

No comments:

Post a Comment