Tuesday 1 May 2012

TAJSIM DAN MUJASSIMAH

KALAU HENDAK DIKATAKAN FAHAMAN INI BAHAYA DAN MENGANCAM UMAT Melayu, maka tidak ada pembuktian. Ia hanya gejala yang timbul dari hasil pembacaan teks yang berkaitan dengan bab aqidah.

TAJSIM
Ia merupakan fahaman yang mempercayai Allah s.w.t. memiliki anggota badan, tetapi keadaannya tidak sama dengan anggota badan makluk yang dijadikan-Nya. Sesiapa yang berfahaman atau berpandangan begitu, ia dianggap menganut fahaman Tajsim.
Bolehkah orang awam yang kurang ilmu terpengaruh dengan fahaman ini? Tentulah sukar, kerana mereka pun tidak faham dengan istilah tajsim, dan juga tidak faham tentang ujaran seorang ustaz yang berfaham demikian tatkala berwacana tentang sifat Allah s.w.t.
Jika seorang penuntut ilmu mendengar wacana ustaz membicarakan bahawa Allah itu digambarkan seperti mana kedudukan dan bentuk makhluknya, maka belum tentu penuntut ilmu itu dapat mencerna atau dia hanya mengerutkan dahi sahaja.
Tambahan pula maklumat tentang tajsim ini tidak dipaparkan kepada umum. Topik tajsim tidak memikat. Justeru hanya penuntut ilmu tertentu dan ustaz tertentu sahaja yang menekuni bidang ini.
Soal, fahaman tajsim ini memang tidak memikat kalangan penuntut ilmu kerana bab aqidah ini amat berat, kerana fahaman ini atas nama apa sekalipun - seperti tauhid rubbubiyyah, tauhid ulluhiyyah, tauhid al-asma' wa as-sifat, adalah menjurus kepada penyimpangan.

BAHASA MUDAH
Bab tauhid yang disebutkan ini memerlukan ustaz yang mampu menerangkan dengan bahasa paling mudah [bukan bahasa kitab turats] agar difahami penuntut ilmu.
Adakah ia merupakan sebuah fahaman yang menular? Jika umum tidak mengetahui apa pun tentang tajsim, maka ia masih tidak popular. Jika ustaz berwacana di masjid pun, kalau tidak bijak menghuraikan maksud, maka pendengar pun tidak tahu apa.
Meski tajsim ini dikatakan ada kaitan dengan ajaran Yahudi dan ajaran Krisitian, menurut kajian juga menunjukkan ia telah mempengaruhi kelompok Hanabilah Mujassimah.

TOKOH
Apabila bercakap tentang tajsim, maka para ustaz akan menjabarkan beberapa tokoh penting yang menjadi tokoh dalam pembicaraan tentang tajsim. Kitab-kitab mereka yang dalam bahasa Arab, memuatkan pendapat dan huraian tentang ketajsiman ini.
Mereka termasuklah Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab [Wahabiyah] dan pengikutnya. Daripada mereka kemudian ada kelompok pengikut dan pemecahannya termasuklah yang  menggelar diri mereka sebagai salafiah wahabiyah, kaum muda, ittiba' sunnah, al-ghuraba', ansar tauhid dan macam-macam lagi termasuk pegangan Syadz [samar-samar].
Di posisi lawannya, yang tidak cenderung kepada tajsimah, adalah kita yang tidak ambil tahu pun tentang fahaman ini iaitu umat yang berpegang kepada al-Quran, al-Hadis, ijmak dan aqal, iaitu majoriti ulama yang ada di dunia ini.

MASIH ASING
Istilah tajsim masih asing pada kita. Tidak mengapa kalau tidak tahu. Sebab selama ini kita sudah diberitahu akan fahaman lain yang boleh menggugat kita seperti Syiah, Islam liberal, anti hadis, bahaiyyah, Qadianiyah, ajaran nabi palsu, islam Jemaah, neo-muktazilah dan wahabiyah. Pendeknya, umat islam hari ini berdepan degan bermacam isme yang digeruni, tetapi kekadang kita tidak waspada pun kepada sekularisme, nasionalisme melulu, dan bermacam fahaman yang dibentuk dalam acuan masyarakat moden.
Nak mudah terangkan, tajsim itu ajaran dari tokoh tertentu yang telah diwacanakan di dalam kitab mereka tentang mempercayai bahawa Allah s.w.t. itu mempunyai anggota bahan seperti manusia.
Adakah di antara kita pernah menemui keterangan ini di mana-mana? Sudah tentu tidak, selagi anda tidak menetap kitab-kitab karangan daripada tokoh yang telah disebutkan tadi.
Bab tajsim ini agak rumit, kerana ada istilah lain seperti tasybih. Tasybih maksudnya menyamakan Allah s.w.t. dengan makluk sama ada dari satu sudut daripada sudut-sudut penyerupaan dengan makhluk ataupun dari semua sudut persamaan. Tasybih ini menyamakan Allah s.w.t. dengan makhluk dari segenap sudut sifat-sifat makhluk.
Oleh sebab tajsim merupakan istilah baru dan dianggap pelik oleh umat kita di sini, maka penularan tajsim bukanlah suatu isu. Istilah ini hanya dikenal oleh mereka yang menggeluti bidang aqidah, hanya tokoh tertentu sahaja tahu mengesan ketajsiman seseorang berdasarkan huraian kitab yang mereka tulis. Untuk dikatakan ia faham yang membimbangkan umat kita, ia tidak diketahui langsung.
Sebabnya, sejauh mana umat kita banyak berpegang kepada kitab Ibnu Taimiyyah? Sejauh kita banyak menukik pendapat daripada murid-murid beliau?

CONTOH
Mungkin contoh perlu diberikan bagi menggambarkan bagaimana rupa tajsim itu.
Iaitu: menggambarkan Allah s.w.t. itu duduk di atas Arasy, Allah s.w.t. ada dada dan dua bahu, Allah s.w.t. duduk di atas kerusi yang diperbuat daripada emas dan lain-lain.
Sama juga jika seseorang mengatakan: bahasa Allah s.w.t. meletakkan Rasulullah s.a.w. di atas arasy bersebelahan dengan-Nya.
Atau mengatakan: Allah s.w.t. mendekati Nabi Daud a.s.
Gambaran seperti inilah yang menjurus kepada ketajsiman tadi. Mereka menerangkan keadaan Allah s.w.t. dengan sifat-sifat makhluk yang serba kekurangan.
Mengikut kajian mereka yang arif dengan bab tajsim ini ada banyak kitab yang memuatkan bahan ketajsiman. Cuma di kalangan kita bahan itu tidak diketahui umum kerana bukan semua orang minat mentelaah bab tajsimah ini. Mereka perlu mencari sumber dasarnya dengan mencari bahan daripada tokoh-tokoh besar tadi, dan kemudian mencari dalam berbagai kitab lain yang tidak menampilkan sikap sebagai pengikut atau berpegang dengan fahaman tersebut. Jadi, untuk membariskan tokoh tajsim di alam Melayu pula [Nusantara maksudnya] kita perlu meneliti kitab kuning yang ada.
Agaknya siapa yang rajin mentelaah ke situ? [baca Zamihan Hj.Mat Zin al-Ghari, Penyelewengan Fahaman Tajsim Wahabiy,  Al-Himna Enterprise, 2012].

No comments:

Post a Comment