Wednesday 9 May 2012

KENAPA GUNA NAMA MALAIKAT SEMUA?

DALAM DUNIA ILMU HIKMAH anda mungkin pernah bertemu dengan ilmu yang menggunakan nama malaikat. Sesungguhnya nama ilmu yang menggunakan nama malaikat adalah satu kekeliruan manusia. Malaikat berada di alam ghaib. Kita hanya tahu tentang dunia malaikat melalui perkhabaran dari al-Quran dan as-Sunnah.
Kitab-kitab lama ada menerangkan tentang dunia malaikat. Tidak ada umat di zaman ini yang pernah bertemu malaikat.
Begitu juga tentang keterangan bagaimana keadaan malaikat yang bersayap. Tidak dapat digambarkan dalam bentuk bagaimana malaikat itu bersayap. Maka ada pelukis di dunia Barat sana menggambarkan malaikat seperti manusia atau haiwan yang bersayap, seperti layaknya kuda terbang dan sebagainya.

AJARAN SESAT
Dalam dunia ajaran sesat, nama malaikat digunakan semahu-mahunya. Contohnya Jibril. Kita dikhabarkan tentang sifat dan tugasan Jibril menurut keterangan al-Quran dan Hadis.
Tidak ada satu pun hadis atau ayat yang menerangkan bahawa malaikat Jibril masih diberi tugasan oleh Allah SWT untuk menurunkan ajaran kepada umat manusia, baik ajaran baru atau ajaran yang bersifat penjelasan terhadap ajaran agama yang telah ada.
Ajaran Allah telah sempurna. Tetapi di zaman serba gila sekarang, ada orang yang mendakwa bahawa dirinya terlalu istimewa sehingga didampingi dan mendapat ajaran keagamaan dari malaikat Jibril.
Siapa orang itu? Ada beberapa orang tokoh pengembang atau pendiri ajaran sesat di belahan Nusantara yang mendakwa begitu. Inilah yang kita kata sebagai ajaran sesat.
Ibu Lia Aminuddin mendakwa mendapat ajaran baru dari Jibril. Diharapkan Jibril itu bukanlah malaikat Jibril yang kita kenali dalam bidang aqidah.
Begitulah melampaunya pendiri ajaran sesat di belahan Nusantara sana.
Tidak cukup dengan mendakwa bahawa dia didampingi rapat oleh Jibril, Lia Aminuddin yang juga dikenali Lia Eden, dia mengeluarkan sebuah risalah ajarannya "Tahta Suci Kerajaan Tuhan Eden."
Di dalam risalah ajaran sesat itu dia mendakwa bahawa di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang reinkarnasi, kerana itulah yang diyakini di dalam ajaran sesatnya.
Selain itu Lia Eden memberi fatwa dalam risalahnya bahawa daging babi itu halal kepada para pengikutnya.
Ajaran perempuan sesat ini juga dikenali dengan Salamullah, diketuai oleh seorang perempuan yang mengamalkan seks bebas, dia mengakui dalam risalahnya bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan sebilangan lelaki.
Salah satu ajaran karut dari perempuan ini ialah mencukur semua rambut pada tubuh, baik kepala, ketiak dan bahagian lainnya dan kemudian dibakar. Itu katanya adalah perintah daripada malaikat kepadanya. Sesiapa yang melakukan, orang itu akan bersih seperti mana bayi yang baru lahir.
Kedudukan Jibril ini menurut ajaran Lia Eden adalah sebagai pendamping dan boleh dipanggil pada bila-bila masa jika ada kepentingan.
Sejauh mana ajarannya berkembang? Lia Eden sendiri mengakui pada akhirnya pengikutnya makin kurang dan berjumlah sekitar 70 orang sahaja. Dia meringkuk dalam penjara kerana ajaran sesatnya pada tahun 2006. Setelah keluar penjara, dia macam kebingungan dengan ajaran sesatnya. Apakah dia sudah taubat?
Yang dibimbangi ada kelompok umat mencari jalan mudah mengikut apa sahaja ajaran sesat yang memberi kemudahan kepada mereka.
Umpamanya, untuk mengelak dari kewajiban solat lima waktu, maka dicari ajaran yang memudahkan solat. Untuk memudahkan urusan, dicarinya ajaran yang memandang ringan minum arak, berjudi atau zina.
Lia Eden sendiri yang hidupnya tidak tentu arah, berdasarkan pengakuannya maka kemungkinan amalan bebas seks juga menjadi ajaran kepada pengikutnya.
Sesuatu yang paling mengarut adalah pengakuan dia boleh berdampingan dengan malaikat. Inilah yang dikatakan ajaran sesat gaya Lia Eden. []

No comments:

Post a Comment