Wednesday 16 May 2012

BAGAIMANA MEMBUANG NYANYIAN DAN MUZIK?

MUNGKIN INI SOALAN YANG DIKEMUKAKAN OLEH SI JAHIL yang tak mengerti akan betapa hebatnya dunia nyanyian dan muzik dewasa ini.
Justeru kenapa mahu mencari solusi untuk membuang nyanyian dan muzik?
Dalam tazkirah selalu kita dinasihatkan agar mengurangkan dan seterusnya membuang terus apa sahaja perkara yang tak berfaedah yang tidak memberi apa-apa kepada dunia akhir kita - akhirat.
Tanyakan, adakah kita mendapat pahala dari nyanyian dan muzik yang kita mainkan?
Jadi, lebih baik kita akur dengan nasihat orang berilmu. Jika kita tidak berilmu, kita membantah, ini akan menunjukkan kedangkalan kita, kebodohan kita.
Antara lain ustaz menasihatkan agar kita:
1. Jauhi  dari mendengarkan radio, tak kira apa saluran pun, jangan pedulilah DJ terkenal atau tak terkenal, raja lawak, atau pelakon atau penyanyi, itu tak penting, dan di rumah selain mengelakkan radio, televisyen juga perlu dijauhi, kalau nak juga cari program yang bermanfaat [ sukar pula cari  program bermanfaat sekarang, walaupun program islami tetapi selingannya tetap program yang berlawanan dengannya].
2. Kita kembali kepada asal. Bukanlah dahulu kita tidak mempunyai tetuang udara dan TV? Kenapa kita berilmu juga? Apa salahnya kita hanya tumpukan kepada persoalan kita dengan Allah SWT, banyak lagi urusan kita yang tidak selesai, kerana kita diminta agar mengingati Allah dan membaca al-Quran, memahami maksudnya, mentelaah dan bukan dengar radio atau nonton TV berterusan!
3. Membaca sirah Nabawiyah demikian pula para sahabat beliau. Jemulah, baik baca novel atau komik. Semua ini kerana umat sudah terlanjur dengan peradaban dan budaya kosmo meniru Barat. Apabila kita hendak berundur bagi menjernihkan diri, kita rasa semu, rasa kosong, dunia begini hendak dihadap setiap hari? Ini melawan fitrah. Begitulah komen yang akan muncul nanti.
Sebenarnya umat kita hari ini tidak sedikit pun risau dengan masalah pemakaian sutera di kalangan orang lelaki. Tidak risau pun kalau khamar dijadikan minuman harian dan tidak risau pun kalau alat-alat muzik makin bercambah, bahkan kalau boleh dipelajari, kelak akan jadi seniman tersohor dunia.
Yang Nabi s.a.w. risaukan ialah apabila suatu masa nanti di akhir zaman, maksudnya zaman kita sekarang, semua itu dianggap halal dan diperbolehkan belaka.
Sekarang fenomena pembolehan terhadap muzik sudah begitu jelas. Tidak ada larangan dan tegahan pun. Bahkan, semua orang hendak mengelak dari membicarakan bab yang satu ini.
Mereka sudah bayangkan, bagaimana kalau tanpa nyanyian dan muzik?
Maka terasalah sunyi dunia ini.
Bukankah manusia di zaman moden ini sekarang gemar bercuti di pulau yang jauh dari kesibukan atau mahu menyepi di sesuatu tempat yang terpencil? Ini bukti nyata bahawa kehingar-bingaran yang ada di sekeliling kita menyebabkan kita semakin semu, semu dengan persekitaran.
Mungkin janggal kalau tanpa bunyi muzik, tanpa suara radio dan TV? Tidak. Tidak percaya cubalah. Pada mula terasa janggal, tetapi apabila anda gunakan sebahagian masa anda untuk mentelaah bab-bab agama yang bercabang ini, anda tidak ada masa untuk saluran TV dan radio lagi, percayalah.
Bahkan anda lebih beruntung jika tidak tahu melodi lagu apa pun. Anda beruntung tidak mengenali seorang artis drama pun atau bintang filem pun. Tidak mengapa. Bukan kerugian. Dan anda jangan malu kalau ditanya tentang artis terkenal tapi anda tak tahu menahu.
Memang payah, terus terang, penulis blog ini juga dulu minat muzik dan nyanyian, tetapi menjelang tahun 80-an, semua itu telah ditinggalkan dengan tujuan taubat nasuha dari nyanyian dan muzik. Dan gitar pun telah dibuang, begitu alat-alat muzik lainnya. Alhamdulillah, keadaan jernih. Tanpa muzik dan nyanyian tidak ada apa-apa pun masalah. Masih mampu berkreatif walau tanpa melodi di sisi.
Sayangnya hari ini, di rumah kita, ketika waktu solat maghrib misalnya, hanya orang tua yang mengerjakan solat, anak-anak dibiarkan nonton TV.
Lepas solat ibu dan bapa pula sambung nonton program yang sama. Ini bukan contoh dan teladan yang baik.
Sepatutnya, waktu solat antara maghrib hingga isyak, tutup terus baik radio, TV atau internet.
Tumpukan kepada ibadah. Masa yang dihadkan ini bukan lama. Kalau ke masjid dan ke surau, terasa begitu cepat masa berlalu.
Untuk membuang nyanyian dan muzik memang merupakan perkara yang sukar bagi umat Melayu. Puncanya? Kita dibesarkan dalam wadah nyanyian dan muzik, dan kita tak pernah dengar ada ulama melarangnya atau mengurangkan. Bahkan majlis kenduri-kendera zaman jahiliyah dulu muzik dan nyanyian jadi penyeri.
Rebana yang dibenarkan dalam Islam pun bukan seperti kompang-kompangan cara Jawa, cara negeri-negeri seperti yang kita kenal hari ini. Semua sekarang telah berlaku improvisasi, ada nyanyian, ada semacam tarian, dan semua ini penambahan.
Hendak membuang nyanyian dan muzik dari dunia kita memang payah. Bagaimanapun apabila umat mulai berilmu sepenuhnya, mereka akan segera membuangnya satu persatu. Insya-Allah.
Pengunduran artis dari dunia nyanyian dan selebriti adalah salah satu cara "membuang" nyanyian dan muzik yang penulis maksudkan. []

No comments:

Post a Comment