Thursday 3 May 2012

FILEM REALITI CHOW KIT: SINGKAP LORONG KELAM

KISAH lorong mahu difilemkan lagi. Kisah suka duka lorong itu masih laku dipasarkan agaknya. Biasanya kisah lorong kelam hanya berkisar kepada aspek kehidupan malamnya yang kelam, aspek kehidupan pelacur kelas bawah, pelacur pondan, anak-anak yang membesar di lokasi tersebut dan warga penghuni lorong yang datang dan pergi apabila masa bergulir.
Kita tidak tahu apakah filem akan berlaku jujur terhadap permasalahan yang sebenar di situ. Semuanya bertolak dari soal mencari makan. Mereka melakukan apa sahaja kerja rencam termasuk dalam kategori menjual tubuh, tidak kira apa yang terjadi, entah untuk dilanggan oleh si pemabuk, pengidap AIDS atau siapa sahaja.
Dalam episod yang mereka jalani, banyak berlaku pergaduhan, pertengkaran disebabkan perkara kecil. Pondan dengan pondan bergaduh, seluk saku, pelacur berebut pelanggan, atau peranan lelaki yang berlagak menjadi pelindung kepada semua pelacur, inilah keragaman dalam dunia hakiki sebuah lorong kota.
Di lorong kota ini ada nama yang popular sebagai Minah Rugged, tinggal di Kg Periuk, Kg.Bharu, Kuala Lumpur, iaitu kawasan yang pernah popular sebagai Pawagam P Ramlee.
Di sana, bermacam ragam penghuni setinggan yang tidak dapat dihidu kerana dihadang oleh populariti Chow Kit dan Lorong Haji Taibnya.
Minah Rugged adalah seorang pelacur. Mempunyai seorang anak lelaki yang cacat sejak lahir. Anak itu membesar di kawasan kelam. Ibu pelacur, dan anak mewarisi sikap ibu yang sedemikian. Ia macam lingkaran syaitan. Si anak menjadi jahat kerana faktor lingkungan. Dia membesar di kawasan setinggan dan sentiasa menemani ibu dilanggani lelaki demi lelaki.
Dengan wang hasil pelacuran itulah Minah Rugged membesarkan anaknya. Dulu selain menjadi pelacur, Minah Rugged pernah bekerja di sebuah kabaret. Mencari pelayan kabaret dengan bedah tebal di muka adalah gambaran pada ketika itu.
Di sekitar Chow Kit ada beberapa buah kelab malam, bar dan kabaret. Ketika itu, Chow Kit adalah syurga lelaki yang memburu keseronokan setempat.
Minah Rugged membesarkan anak yang cacat dalam lingkungan yang tak terpelihara. Apabila Minag Rugged meninggal dunia dalam kealpaan duniawi dan tidak mengenal keislaman secara jitu, maka si anak yang cacat menyatakan protes kepada dunia, bahawa dia tidak mahu dilahirkan dalam keadaan cacat begitu.
Maka setiap hari kedengaran cerita si anak Minah Rugged yang cacat itu kerap bergaduh. kerusi roda yang elok makin lama semakin teruk. Tayar kerusi rodanya tidak dapat digerakkan lagi. Dia sudahlah cacat, turut menjadi ganas dengan membawa besi tajam diletakkan di bawah lapik duduknya.
Jika berlaku pergaduhan, dia akan mengeluarkan senjata itu. Begitulah protesnya kepada dunia Chow Kit. Dia adalah anak Minah Rugged yang saya sempat hidu sejarah kelamnya dalam tahun 80-an.
Selain kisah Minah Rugged dan anak lelakinya yang cacat, ada kisah penghuni rumah setinggan di belakang lorong sepasang suami isteri, tinggal serumah, sudah berumur, tetapi difahamkan mereka tidak pernah bernikah pun. Ini suasana biasa, bahkan hingga sekarang pun orang yang bersekedudukan dari usia muda sampai ke tua pun masih ada di kawasan tersebut. Ada yang sampai beranak-pinak, tidak diketahui sejauh mana soal sijil kelahiran anak dan dokumen lainnya. Bahkan seorang jurugambar yang tinggal di Flat Selayang ada menceritakan, sepasang suami-isteri "lakonan" menyewa di rumah kedai di situ sehingga beranak pinak, anak perempuannya diasuh menjadi pelacur muda oleh si ibu sebagai melangsungkan tugasan ibu. Sementara si bapa masih menjadi bapa yang mengharapkan wang hasil dari sumber yang haram itu.
Inilah putaran hidup di kawasan sekitar Chow Kit. Orang masih suka mengaitkan ia dengan kehidupan pelacur, sedangkan zaman sudah berubah. Sudah ada bangunan PAS berdiri megah di Jalan Raja Laut di situ, sekitarnya sudah ada balai polis, sudah ada pasar malam yang beroperasi setiap hari.
Kini wajah Chow Kit bertukar. Ia menjadi wadah pemborong dan peniaga kecil mencari bahan jualan. Di sini semua pemborong berkumpul. Apa sahaja barangan boleh diperoleh di sini.
Legasi lama dari zaman silam adalah pelacuran pondan yang tak akan habis. Meskipun diburu, mereka tetap bersarang di situ. Penghuni lorong bertukar ganti, apabila usia mendadak senja, mereka tidak mampu lagi menyamar sebagai waria, maka terpaksalah mengalah dan cuba menjadi lelaki sejati meskipun janggal penampilan mereka.
Banyak contoh, penghuni veteran sangkar pondan sudah beralih arah, mereka tidak mampu menyarung sepatu tumit tinggi dan skirt ketat lagi, tidak mampu hendak bergincu dan berbedak, tidak mampu pakai maskara dan rambut palsu.
Segalanya berubah. Lelaki tetap lelaki, lelaki tak akan jadi perempuan. Inilah episod yang ada di Chow Kit. Baik pelacur wanita sebenar dan pelacuran pondan, kedua-duanya memainkan gelagat penghuni lorong yang tak boleh dinafikan.
Pergaduhan setiap malam, berpunca seluk poket, menipu pelanggan, dadah, tukaran wang yang dimanipulasi, dan macam-macam lagi kes.
Pendeknya lorong ini banyak memakan korban. Lelaki muda banyak terkorban wang ringgitnya ketika melanggani pelacur pondan atau wanita berusia.
Berbagai kejadian pelik berlaku. Tidak kurang juga pernah terjadi pembunuhan seorang pelacur. Mayatnya disumbat dalam plastik besar dan dicampakkan ke Sungai Gombak.
Dia menurut cerita lisanb adalah perempuan pelacur asal dari Kedah. Gambar wanita itu pernah dibawa oleh seseorang yang bertanya di sana-sini mencari di mana si fulan berada. Ramai yang cam gambar wanita itu.
Dia sudah dibunuh dan mayatnya dibuang begitu sahaja.
Ketika itu pembunuh dajjal itu sentiasa berada di kawasan Chow Kit. Dia memang sadis. Khabarnya ramai lagi yang bakal menjadi mangsa kalau tidak akur dengan permintaannya.
Lelaki yang dikatakan berasal dari seberang itu berlagak hero dan penyelamat kepada para pelacur yang perlu perlindungan. Jika enggan mengikut perintahnya, ia akan diperangkap dan dibunuh di bilik air. Ia mudah. Mangsa dihentak dengan benda berat dan direndam ke dalam takungan air di bilik air. Kesan darah boleh dibasuh sehingga hilang jejaknya.
Kisah ini pernah disampaikan oleh seorang saksi kepada penulis. Tetapi saya tidak yakin dengan pencerita ini kerana dia pun adalah warga Chow Kit yang kelam.
Banyak kisah suka duka di sini. Dulu, warga dari seberang menjadikan lokasi ini sebagai ruang untuk menipu. Memeras orang ramai dan menjual benda-benda mistik yang tidak berguna. Kini ada di antara pakar penipu ini telah berjubah hitam, berkupiah, membawa biji tasbih, duduk di saf pertama Masjid Pakistani, duduk di sebelah penulis, saya cam dia, dia tak cam saya. Baguslah, mungkin sudah taubat. [] 

No comments:

Post a Comment