Wednesday 2 May 2012

KEGELISAHAN UMAT YANG TIDAK DIRASAKAN

KENAPA dianggap sebagai kegelisahan kepada seluruh umat sekiranya hal yang dianggap ancaman itu sendiri banyak yang tidak diketahui? Umpamnya sejak akhir-akhirnya media pemerintah sering gelisah dengan isu ancaman seks bebas. Kenapa pihak berkenaan hendak menyalak kepada pihak lain andainya isu itu bukanlah suatu isu, ia hanya isu politik yang dikembangkan oleh para pemimpin bagi tujuan mengalahkan lawannya di gelanggang politik.
Di mana-mana ada kumpulan NGO adakan perhimpunan bagi tujuan menyedarkan umat. Sayangnya, aspek kesedaran yang hendak dilaksanakan itu lebih menjurus kepada seni politik tanahair. Menggunakan senjata ancaman seks bebas sebagai wahana untuk mengaibkan lawan. Berbagai teori telah dilontarkan kepada pendengar yang rata-rata terlalu awam dengan isu yang sebenar.
Jika pihak kerajaan hendak membanteras amalan seks bebas, ada beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan.
1. Galakkan kaum muda mendirikan rumah tangga agar terhindar daripada masalah moral. Adakan skim bantuan kepada pasangan mud ayang ingin berkahwin. Permudahkan urusan perkahwinan dan jangan terlalu mengikut adat istiadat Melayu yang tak sesuai dengan agama. Ingat, agama lebih utama daripada adat.
2. Syariat Islam hendaklah dijadikan keutamaan. Tetapkan peraturan yang selaras dengan syariat. Sekiranya Islam meminta kita tutup aurat, semua hendaklah tutup aurat, termasuk isteri para pembesar negara, jangan bezakan kaum bangsawan dan rakyat biasa dalam soal hukum.
3. Kurangkan hiburan kepada orang Melayu. Hiburan yang terlalu banyak melekakan umat Melayu akhirnya membentuk masyarakat Melayu yang terlalu mengutamakan hiburan. Pencarian pun hiburan, atau cabang-cabang kepada hiburan tanpa peduli soal kerezekian halal dan haram. Dunia hiburan kita sudah banyak melahirkan fatwa-fatwa pelik yang menjadi ikutan umat dikembangkan oleh wartawan hiburan dan petugas dalam dunia hiburan.
4. Dalam politik negara, kita perlu bersikap tegas dalam perkara fitnah seks. Jangan jadikan fitnah seks sebagai budaya Melayu. Ia akan memberi gambaran seolah-olah Islam tidak ada ketua dan tidak ada siapa yang bertanggungjawab melainkan kecelaruan sahaja yang ada. Ada mufti tidak berani bersuara, cerdik pandai agama tidak berani berkata benar kerana mereka selesa bergandingan dengan penguasa.
Inilah di antara beberapa poin penting yang perlu diutamakan selain berderetan masalah yang berlaku di kalangan umat.
Selain itu, umat kita digelisahkan oleh berbagai perkara yang mengaibkan. Disebabkan berbezaaan politik, ada kelompok umat yang sanggup mengkafirkan kelompok lain. Orang yang memahami agama dengan sepenuhnya amat memahami golongan manakah yang dianggap kafir atau beriman. Ada garis batasannya. Akan tetapi jika ada yang mengatakan PAS itu parti sesat, maka itu tohmah yang keterlaluan. Tunjukkan di mana sesatnya parti itu sebelum ikut menuduh.
Begitu juga ada kumpulan "ulama" yang berani memfatwakan kafir bagi sekelompok umat menyertai perhimpunan aman. Orang yang sama juga kemudian akan memfatwakan "harus" atau "boleh" kalau kena dengan parti sanjungan mereka. Mereka pun bercakap tentang siapa yang hendak diikut? Muslim atau kafir.
Bagaimana dengan kelompok mereka yang juga menggunakan ketua dari kalangan bukan Islam? Kenapa tidak menghukum sesuai dengan prinsip yang ditegakkan? Jika tidak berani, lebih baik diam.
Kemudian kita meskipun sudah senyap dalam soal ajaran sesat, mereka tetap menganggap ajaran yang diperjuangkan oleh parti selain Umno adalah ajaran yang menyesatkan. Apa sahaja program pemerintah walaupun hanya propaganda dianggap terbaik dan menurut lunas Islam. Lihatlah bagaimana orang membuat komentar tentang dasar wasatiyah yang hendak diterapkan oleh pemerintah. Kini tidak kedengaran lagi kalimat wasatiyah itu. Ia adalah program seminggua dua. Cukup masa tukar tajuk lain pula.
Selain itu kita dikelirukan dengan berbagai label, baik pluralisme dalam agama atau Islam liberal. Tidak ada penjelasan terperinci mengenai apa yang diperkatakan itu. Puncanya, kita ketandusan bahan bacaan, dan kita tidak ada tokoh yang boleh dianggap terkenal sebagai pelopornya. Tidak ada contoh di Malaysia, tetapi contoh lain ada di luar negeri sana.
Kemudian kita masih bising soal Wahabiyah, masih bercakap lagi soal menggerakkan jari telunjuk dalam solat cara Nabi s.a.w., kemudian kita masih kecoh lagi dengan doa qunut, kecoh lagi dengan tahlilal dan sebagainya. Akan tetapi kebisingan puak ini hanya apabila menyentuh orang kecil, apabila terkena batang hidung para bangsawan, tidak siapa berani bersuara. Inilah keganjilan masyarakat kita.
Selain isu mazhab ada pula kebisingan tentang Syiah. Orang yang tak tahu apa itu Syiah, mereka tidak ambil peduli. Ada orang yang tak suka membaca bahan ilmiah tentang Syiah. Sekadar ingin tahu, bacalah apa sahaja bahan yang menyentuh tentang Syiah. Kita tidak boleh jumud dan membina pantang larang.
Sejak akhir-akhir ini banyak propaganda buruk mengaitkan peranan Syiah dengan pergolakan politik di Timur Tengah sana. Ia dikaitkan dengan dasar Syiah yang hendak menguasai semua negara-negara Teluk agar tunduk kepada ajaran Syiah.
Ada pula kelompok yang mengatakan jangan percaya kepada Wahabi kerana ia juga sama bahaya dengan Yahudi dan Syiah. Mereka lupa apakah kepemilikan Islami dalam wadah Melayu ini sempurna? Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment