Thursday 24 May 2012

PERINGATAN YANG DIPANDANG RINGAN UMAT MELAYU

UMAT MELAYU sejak mengenal budaya pop bawaan dari Barat, hingga kini terus memburu pembaratan secara merata. Semuanya mahu ditata dengan pemodenan. Dalam soal budaya, erti budaya Melayu itu sendiri sudah berbaur dengan pemodenan budaya Melayu.
Sejak dulu, umat Melayu sangat gemarkan apa sahaja bentuk hiburan. Bermula dari nyanyian, kemudian muzik dan seterusnya tari-tarian, teater [kini filem]. Kalau kita semak dari nyanyian hingga ke filem, ia bukanlah warna asli budaya Melayu, kerana dalam dunia Melayu kita yang sebenar, nyanyian sebenar tidak wujud, bahkan tidak dikenal pun, begitu juga dengan muzik Melayu.
Jadi, amat hairanlah kalau ada orang mengatakan umat Melayu gilakan tarian pendet, sebuah tarian dari Bali yang tidak ada kaitan langsung dengan akar budaya Melayu, jadi rebutan, sampai orang saling membenci, padahal ia hanya sebuah tarian kaum pagan, dan dunia Islam tidak kenap pun dengan tarian.
Ketagihan umat Melayu dengan hiburan terbawa-bawa sehingga ia seolah-olah menyanyilah kamu dari sejak buaian hingga ke liang lahad.
Umat Melayu tidak peduli langsung dengan agamanya kerana mereka lebih menggemari nyanyian dan muzik. Jika ada yang menafikan, sampai sekarang kita masih mengenang penyanyi tertentu yang dianggap terkenal dan jadi idola. Sedangkan dalam Islam tidak ada apa yang dianggap sebagai penyanyi dan idola. Istilah penghibur pun tidak dikenal.
Sayang sekali, umat Melayu lebur dalam ketidak-tahuan, meraba-raba, atau mungkin kehilangan arah. Ia seolah-olah satu rantaian yang terputus. Nyanyian dan muzik perlu ada dalam pakaian budaya Melayu tanpa kita pedulikan sedikitpun akan sindiran dan ingatan Rasulullah shalllahu alaihi wasallam:
"Akan muncul di kalangan umatku nanti beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar dan alat-alat muzik." [HR.Bukhari, no.5590, juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah].
Benar sekali dengan apa yang dinyatakan itu, semuanya telah muncul sejak lama dahulu lagi. Dan kaum yang disebut itu, sudah tentu umat Melayu sekali dan umat lainnya yang menganggap zina itu biasa sahaja. Terbukti laporan media kita hari ini tidak sunyi dari paparan kisah orang berzina.Zina dipandang sebagai gurauan, zina dianggap sebagai alat untuk memerangkap, untuk memfitnah seseorang.
Kemudian kita lihat penggunaan bahan sutera sudah makin galak di kalangan kaum lelaki. Kaum wanita tidak ditegah kerana memang sesuai dengan fitrah mereka yang lembut, kini kaum lelaki juga tidak peduli langsung memakai kemeja sutera asli. Ada ulama mengatakan, sutera tiruan tidak dianggap sebagai sutera yang menjadi larangan. Majlis-majlis rasmi kenegaraan juga berbangga mempamerkan pemakaian seragam sutera asli yang mahal-mahal harganya. Tidak diketahui apakah mereka memang memakai sutera atau bahan seakan-akan sutera. Apa pun kecenderungan umat kepada sesuatu yang menjadi larangan amat ketara sekali.
Selain itu, khamar atau minuman keras. Ia juga sudah dianggap biasa oleh umat kita. Khamar menjadi hidangan kaum elitis bangsawan, meraikan rakan-rakan di hotel ternama, paparan begini kerap dimuatkan dalam akhbar berbahasa Inggeris di negara kita. Dan menurut bekas pemandu di sebuah rumah milik bekas menteri kabinet, banglo yang diduduki itu siap dengan tempat menyediakan minuman keras dan ruang dansa serta kolam renang. Budaya Barat memang jadi kemegahan orang Melayu. Kalangan bangsawan Melayu lebih-lebih lagi bagai tidak boleh dinasihat.
Dan akhirnya, setelah berpakaian mewah sutera mahal, mereka juga cenderung untuk bersosial berlebihan yang mendekati zina atau memang zina itu sudah bersebati dengan minuman keras serta pelengkapnya ialah alunan muzik, entah muzik keras atau muzik lembut ketika pasangan berdansa dengan pasangan bukan muhrim, semuanya saling melengkapi. Tepat sekali sindiran dan teguran Nabi shallallhu alaihi wasallam, bahawa di akhir zaman nanti, iaitu zaman sekarang ini yang sudah kita tempuh sejak mengenal peradaban Barat, zina, sutera, khamar dan alat muzik sudah jadi halal belaka.
Maknanya, empat perkara ini adalah benda yang diharamkan baik lelaki atau perempuan [kecuali dalam bab pemakaian sutera].
Nah, di mana silapnya umat kita melayani empat perkara ini? Zina sudah tentu tidak dapat dibendung lagi. Masalah gadis muda mengandung di luar nikah adalah cerita biasa. Kisah khalwat, rogol, perkosa dan semua yang berasal dari mendekati zina telah merosakkan masyarakat kita.
Salah satu perkara besar yang umat Melayu tidak ambil peduli adalah muzik dan nyanyian. Mereka masih memandang lunak kepada nyanyian dan muzik. Tidak ada yang memandang jijik atau cuba menjauhinya, padahal nasihat dari Nabi shallallahu alaihi wasallam itu membuktikan, muzik dan nyanyian ditegah. Islam tidak mengenal muzik Islami. Umat melayu memandai-mandai menjadikan nyanyian dan muzik sebagai "ad-dien" bermula dari buaian anak-anak sudah diperdengarkan nyanyian, hingga sampai ke liang lahad orang masih masih menyanyi lagi. Bahkan, kecenderungan umat kita adalah mengenang artis-artis yang lagunya terkenal dan diminati, padahal muzik itu dipandang haram. Muzik tidak berdiri sendiri, setiap nyanyian pasti ada muzik.
Ibnul Qayyim al-Jauziyah menganggap nyanyian itu adalah senandung syaitan.
Oleh sebab umat Melayu sudah jauh sesatnya di dalam rimba senandung syaitan, maka senandung yang tidak berguna dan tidak memberi manfaat kepada kehidupan akhirat ini diperdengarkan setiap hari. Ketika memandu, ketika menunggang motosikal, ketika di rumah, nyanyian dan muzik jadi penyeri. Alangkah sedihnya kalau ketika menikmati lagu-lagu maksiat itu berlaku kemalangan yang membawa maut, bukankah satu kerugian abadi kepada diri yang bersangkutan?
Kini, pagi-pagi ada orang sudah ketagih mendengar celoteh DJ radio yang asyik memutarkan lagu-lagu yang tidak ada faedah langsung dalam kehidupan seorang islam. Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsasimin ketika ditanya apa hukum mendengarkan muzik dan lagu? Dia kata, mendengarkan muzik dan nyanyian adalah haram dan tidak disangsikan lagi keharamannya.
Maknanya sebagai umat yang kurang ilmu kita kena dengar dan taat, bukan membantah dengan meminta dalil. Kerana golongan yang tidak berilmu, sekalipun diberikan dalil mereka akan berhujah lagi. Paling tidak mereka kata, di dalam al-Quran tidak disebut larangannya!
Sebelum pergi kepada dalil, elok kita semak, bahawa para sahabat dan salaf salih ada meriwayatkan bahawa lagu itu boleh menumbuhkan sifat munafik di dalam hati. Lagu termasuk perkataan yang tidak berguna. Bagaimana mahu dikata berguna, berkali-kali anda menyanyikan sebuah lagu yang menggambarkan kecantikan seorang gadis atau wanita, hafal lirik maksiatnya, menggambarkan kecantikan wanita atau gadis yang tidak menutup aurat seperti gambaran lirik lagu itu, apakah mendapat pahala? Cuba bandingkan kalau seseorang itu membaca al-Quran. Di antara nyanyian dan al-Quran, mana yang bermanfaat?
Dalil di dalam al-Quran ialah:
"Dan di antara manusia (ada) yang mempergunakan [lahwal hadits] perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan  manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan." (Luqman: 6).
Inilah keterangan dalam al-Quran yang menyentuh tentang nyanyian, sekiranya ada yang membantah akan dalil larangannya.
Para ahli tafsir [kita tidak perlu pertikaikan kerana ilmu mereka jauh lebih hebat daripada kita sekarang] menyebut, "perkataan yang tidak berguna" [lahwal hadits]seperti dalam ayat di atas maksudnya adalah nyanyian.
Betapa indah dan baik, atau betapa tersohornya seseorang penyanyi dan lagu mereka digemari, ia tetap dianggap sebagai perkataan yang tidak berguna.
Sepatutnya umat Melayu sudah mula meninggalkan nyanyian dan muzik secara beransur-ansur setelah mengetahui bahawa betapa tak bergunanya dunia nyanyian dan muzik ini di sisi Islam. Mahu dimegahkan apa lagi kalau seseorang itu menjadi juara karaoke veteran misalnya? Mahu dibanggakan apa lagi kepada seorang anak gadis yan dedah aurat menyanyi sambil menari-nari di pentas? Orang tua yang jahil akan bertepuk tangan dan berseronok menyaksikan anak gadisnya di pentas. Sebaliknya orang yang berilmu menangis kerana gagal menjadikan anak gadisnya menutup aurat dan tidak menggunakan lirik lagu yang tidak berguna itu sebagai alat untuk cari makan.
Terlalu banyak perkara tentang nyanyian dan muzik yang tidak diketahui oleh umat Melayu. Kita sebenarnya sudah ketinggalan jauh. Sepatutnya kita mengetahui hal ini 30 tahun dulu, dan bukan baru sekarang. Selama kita tidak kenal, selama itulah kita bermaksiat kepada-Nya, dan kita ingkar kepada Nabi-Nya.
Nanti akan ada umat Melayu yang bangga dengan Imam Syafie tetapi tidak menmgetahui bagaimana sikap dan pandangan Imam Syafie tentang nyanyian dan muzik? Imam Syafie [dalam kitab Adabul Qadha] mengatakan, sesungguhnya nyanyian adalah suatu kesia-siaan yang dibenci, ia menyerupai kebatilan dan kemustahilan, siapa yang memperbanyak nyanyian maka ia adalah orang bodoh dan tidak diterima kesaksiannya."
Sahabat Imam Syafie juga berpandangan demikian. Syaikh Abu Ishak [dalam Al-Tanbih] salah seorang daripadanya mengatakan, "Dan tidak sah menyewa atas manfaat yang diharamkan, seperti nyanyian, meniup seruling, atau mengangkat khamar, dan dalam hal ini tak seorang pun yang menidakkannya."
Elok diringkaskan perkataan Abu Ishak tersebut:
1. Manfaat nyanyian adalah manfaat yang diharamkan.
2. Menyewa atau membayar kepada penyanyi mengadakan show adalah batil.
3. Makan dari hasil nyanyian bererti makan harta secara batil, iaitu sama dengan makan dari harga bangkai atau darah.
4. Seseorang tidak boleh keluarkan hartanya untuk penyanyi, hal itu haram baginya kerana bererti ia mengeluarkan harta untuk sesuatu yang diharamkan, sehingga mengeluarkannya untuk kepentingan tersebut sama dengan mengeluarkan harta untuk membeli darah dan bangkai.
5. Seruling [dan alat-alat muzik lainnya] adalah haram.
Umat Melayu pasti menentang jika ada sesiapa hendak mengharamkan nyanyian dan muzik kerana ketidaktahuannya tentang perkara ini. Kita sebenarnya sudah terlanjur lama, sejak zaman P.Ramlee sampai ke zaman Akademi Fantasia sekarang - nyanyian dan muzik dipandang mulia.
Keterlanjuran ini tidak ada sesiapa hendak membetulkannya. Malah media cetak dan elektronik di negara kita bagai tidak tahu, mereka tetap berkeras, menjadikan muzik dan nyanyian sebagai agenda utama dalam kehidupan. Bayangkanlah, dari usia muda hingga ke tua masih sanggup bermain-main dengan perkataan yang tidak berfaedah ini [nyanyian/muzik].
Ingatlah amaran ini:
"Dan barangsiapa menentang rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali." (an-Nisa: 115).
Ingatlah, adapun mendengarkan nyanyian dari wanita asing -bukan mahram- atau anak kecil yang tampan maka ia termasuk hal-hal yang diharamkan yang paling besar dan ia lebih merosak terhadap agama! []

No comments:

Post a Comment