Sunday 27 May 2012

HIMPUNAN BELIA DI PUTRAJAYA: SYOK SENDIRI

HIMPUNAN BELIA DI PUTRAJAYA memang diharapkan dapat menarik "berjuta-juta"  belia berkampung di situ. Jika kiraan juta itulah yang diharapkan, maka himpunan itu sama seperti ketika musim haji. Padat dan sendat. Tapi Putrajaya, sejak dulu hingga sekarang, himpunan apa pun tidak menggamit umat untuk berkumpul di sana.
Himpunan yang ada adalah untuk belia dari usia 40 tahun hingga belasan tahun. Himpunan belia ini bukanlah pertama kali dibuat di situ, tahun lepas pun ada juga, tetapi ia tidak ada bezanya dengan "Sure Heboh!" atau "Jom Heboh" - memanglah begitu dalam penganjuran perhimpunan belia.
Nampak sangat himpunan belia ini sudah kehilangan arah. Tidak ada matlamat sebenar menghimpunkan belia di suatu tempat.
Bagi penganjur, ia semacam ruang untuk menyukakan seorang PM apabila dapat hadir bersama menteri-menteri lain. Anak muda yang berhimpun di situ pun kehilangan arah. Apa nak buat?
Jadi, setelah berada di sana, mereka hanya berlegar-legar, mendengar amanat dari pemimpin pilihan, dan mereka diminta mengikuti segala macam program yang telah disiapkan.
Sayangnya, pengisian program belia itu tidak menampakkan kesungguhan. Ia masih memainkan program tahun lepas. Apa yang ada tahun lepas, diulang semula bagi menyukakan belia dan pemimpin UBN yang ada.
Perhimpunan belia itu bolehlah dianggap perhimpunan tangkap muat. Mereka lebih fokus kepada dunia hiburan.
Program yang diatur tidak menggambarkan konsep perhimpunan belia yang sebenar.
Perhimpunan belia lebih banyak bergantung kepada konsep pesta biasa. Tanpa ada gerai-gerai jualan, maka pesta belia yang dikatakan hebat itu tidak lebih sebuah pasar malam atau "Jom Heboh" yang biasa dibuat di mana-mana.
Mungkin inilah sahaja modal yang ada di kalangan penganjur perhimpunan. Mereka kering idea. Ada pentas, dan siapkan program hari pertama, hari kedua dan hari ketiga.
Untuk menarik minat Melayu kerana memang Melayu sangat teruja dengan pesta dan hiburan, maka ada sebaris artis diundang untuk berhuha-huha di pentas.
Daripada paparan media mereka, setiap artis yang hadir di perhimpunan itu dianggap SELEBRITI belaka. Maka inilah yang dianggap sebagai Mazhab Selebriti, syok sendiri, budak muda mentah diminta naik pentas, suruh nyanyi atau berhuha-huha, dan wartawan hiburan kata budak muda itu adalah SELEBRITI.
Kalau begitulah yang dipanggil selebriti, jelas betapa naifnya dunia hiburan negara kita.
Perhimpunan belia yang dikatakan ada sejuta itu, tidak menampakkan impak yang sebenar. Ia tidak lebih daripada pesta biasa. Seperti perhimpunan yang biasa di buat di Titiwangsa, himpunan di Kuala Trengganu, pesta candat sotong, pesta memancing dan pesta-pesta pertemuan pemimpin bersama rakyat anjuran kementerian tertentu.
Kalau setakat pentas, ada grup muzik bermain di situ, kemudian ada belia menari, menyanyi atau menjerit-jerit, itu bukanlah himpunan belia namanya.
Jika beginilah yang dibuat setiap tahun, ia tidak lebih dari pembaaziran sahaja. Elok perhimpunan ini dipadam dari senarai penganjuran. Kalau setakat konvoi motosikal besar, kereta mewah, pertunjukan drift dan sebagainya, ia masih tidak mencapai matlamat perhimpunan yang sebenar.
Mengadakan pesta adalah mudah jika ada peruntukan, tetapi yang paling sukar adalah pengisiannnya. Kalau pesta yang dianggap besar tetapi pengisiannya hambar, ia tidak lebih daripada pujian biasa yang ditulis olej tukang ampu yang ada.Akhirnya pemimpin negara syok sendiri dengan penganjuran yang tidak bermanfaat itu. []

No comments:

Post a Comment