Friday 11 May 2012

AL-KISAH PAK DUKUN PINTAR

SEBELUM umat Melayu mengenal apa yang dikatakan ruqyah syar'iyyah, mereka hanya tahu Pak Dukun sahaja. Gelaran Pak Dukun ini menggambarkan keahlian seseorang di dalam bidang tertentu. Biasanya Pak Dukun mempunyai banyak kemahiran atau tiga dalam satu. Selain pintar mengubat berbagai penyakit misteri, dia juga boleh mengurut, dan dalam bab mengurut ini ada pecahannya lagi, termasuk urut batin, urut tulang patah, urut terkehel terseliuh dan berbagai lagi.
Apabila disebut Pak Dukun ada juga berbagai gelaran mengikut kemahiran yang sangat dikenali di kalangan masyarakat. Akan tetapi dalam bab dukun ini ada semacam kecenderungan umat Melayu di kampung-kampung untuk bertandang ke rumah Pak Dukun tanpa mengira status kedukunan mereka. Selalunya mereka setakat dengar cakap orang lain. Jika ada orang mengatakan bahawa di kampung sekian ada seorang dukun pintar, maka mereka pun mulalah merancang untuk berkunjung ke rumah dukun itu.
Di zaman silam, dukun tidak mengiklankan kepandaiannya seperti sekarang. Dukun zaman siber sekarang, berani dan terus terang mengiklankan kepandaian dan keahliannya, siap menceritakan pengalaman berguru di perbagai perguruan sekalipun dengan menceritakan latar belakang itu akan menjerumuskan kedukunannya ke lembah kehinaan.
Ketika itu ilmu tentang larangan berjumpa Pak Dukun belum sampai kepada mereka. Atau memang maklumat tentang itu tidak ada siapa paparkan di mana-mana, hatta hendak ditazkirahkan di surau dan masjid. Maka berduyun-duyun umat mengunjungi Pak Dukun untuk mendapatkan khidmatnya sekalipun terpaksa menunggu giliran hingga larut malam.
Secara luaran, umat Melayu di kampung-kampung cenderung mencari dukun yang berkaitan dengan kepandaian tertentu yang berbau mistikisme. Mereka tidak terfikir pun perbuatan duduk bersila di depan dukun itu suatu hal yang mengaibkan. Mereka tidak terlintas pun adanya tegahan seperti yang dilakukan ketika itu.
"Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal dan menanyakan sesuatu kepadanya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh hari." (HR.Muslim).
Mereka juga tak terbaca pun ada hadis lain yang menyentuh tentang perbuatan buruk itu.
"Barangsiapa yang mendatangi dukun (arraaf) dan membenarkan apa yang dikatakan, sungguh ia telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad shallallahu alaihi wa sallam." (HR.Abu Dawud)
"Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal atau dukun dan membenarkan apa yang ia katakan, sungguh ia telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad shallallahu alaihi wa sallam." (Dikeluarkan oleh empat Ahli Sunan dan ditashih oleh Hakim).
Berdasarkan hadis-hadis itu, jelaslah mendatangi Pak Dukun adalah sesuatu yang dilarang. Amat memalukan jika ada umat Melayu sanggup bersusah payah mengunjungi rumah dukun semata-mata untuk berhajatkan sesuatu.
Terus teranglah, di kalangan umat Melayu, mereka mengunjungi dukun hanya apabila ada perkara tertentu yang berkaitan dengan duniawi. Pengetahuan mereka cukup mendalam dalam bab senarai dukun pintar dalam hal ehwal yang mendatangkan keuntungan duniawi.
Umpamanya, ada orang sangat ketagih untuk menemui dukun yang boleh meramalkan angka bertuah bagi judi ramalan empat angka seperti dalam permainan toto, magnum, kuda atau hadiah jackpot. Inilah perburuan yang paling dominan di kalangan masyarakat Melayu, sejak dulu hingga sekarang.
Terus teranglah, bahawa daripada pengakuan responden, mereka kerap mengunjungi sesiapa sahaja orang yang mengiklankan kepandaian dalam hal peramalan empat angka ini. Akibat kecenderungan yang luar biasa di kalangan umat Melayu, maka ada pihak tertentu yang ambil kesempatan mengiklan, menyebar iklan ke dalam peti-peti surat tentang kehebatan dewa kewangan yang akan membantu orang yang sedang kesusahan tidak berduit.
Sudah ramai umat kita merana kerana dipermainkan oleh berbagai dukun rasmi dan tak rasmi. Pengaruh kewangan dari hasil testimoni mereka menyebabkan orang tidak peduli lagi dengan kebenaran.
Disebabkan apa yang mereka cenderungi ini membawa keaiban kepada diri, mereka tidak akan sibuk-sibuk mengaku ditipu atau diperdaya. Kalau boleh biarlah ia menjadi rahsia.
Kenapa pengaruh dukun ramalan empat angka begitu kuat? Ia bermula dari mendengar cerita orang. Pengkisahan orang yang telah berjaya konon telah menarik minat bagi orang lain ikut serta.
Umpamanya, ada seorang tukang ramai yang mahir dalam bidang astrologi mengiklankan tentang kepandaiannya meramalkan angka jitu. Meski dipaparkan dalam akhbar berbahasa Cina, bagi maksud pelanggan bukan Islam, namun ada juga umat yang membeli dan menghubungi tempat-tempat itu. Kenapa? Bagi mereka, berkunjung kepada tukang ramai bukan Melayu lebih selesa dan tidak memalukan.
Maka tidak hairan, di kalangan umat kita ramai yang mengunjungi tukang ramal atau Pak Dukun spesialis ini di mana-mana.
Sekarang sebut sahajalah di daerah mana atau negeri mana, pasti ada orang yang tahu pakar-pakar terkenal yang tersenarai. Nama mereka hanya ada dalam senarai panggilan telefon bimbit mereka. Tukang ramai nombor jitu ini sangat popular, bahkan menurut cerita umat yang ketagihan, mereka berdatangan ke situ tidak pedulikan apa lagi.
Semuanya berhajatkan ramalan yang tepat. Jika tepat angka yang diramalkan, maka dia akan mendapat wang. Hasil daripada permainan inilah yang mereka anggap sebagai persugihan. Jangan berkata bahawa ini harta haram atau subhat, kerana minda mereka sudah menyiapkan alasan, "Kalau kami tak berduit kamu nak bagi ke?"
Ada yang beralasan ini zaman darurat. Mereka telah berusaha dengan apa cara pun untuk mendapatkan wang.
Ada sekelompok umat mengatakan, mereka tidak bertemu dengan dukun yang mahir dalam bidang ramalan untuk perjudian. Maka mereka rasa terselamat dari terperosok ke lubang perjudian yang ditegah. Akan tetapi mereka cenderung kepada kepercayaan mistik yang melampau.
Umpamanya menggunakan berbagai sarana benda mistik bagi tujuan menarik duit, bagi tujuan mendapatkan dana dari sumber mistik, bahkan ada yang mengistilahkan sebagai menarik harta karun.
Ada sekelompok umat yang ahli dalam bidang ini sehingga ada sahaja ruang untuk mereka meneroka celah-celah baru untuk mendapatkan wang yang bersifat karun.
Perburuan harta karun tidak pernah surut bahkan masih diceritakan oleh Pak Dukun yang pintar di mana-mana. Sekiranya ditubuhkan sebuah kelab pemburu karta karun, rasanya memang cukup ramai yang akan menyertainya.
Berbalik kepada kisah perjudian empat angka yang menjadi buruan utama umat kita, maka di sana-sini ada sahaja dukun yang dianggap ahli atau pintar di dalam bidangnya. Mereka menggunakan berbagai teknik, termasuk menggunakan lilin dan telur ayam bagi mengelabui orang bodoh.
Tidak kurang juga dukun yang berlakon dengan begitu tersusun sehingga tindakannya dianggap benar. Dia berpura-pura melakukan aksi kesurupan ketika memanggil Mbah atau khadam yang disahabatinya. Dia berpura-pura kesurupan dan kemudian mengoceh, lalu setelah itu pembantunya akan bertanya kepada dukun itu agar mencatatkan angka jitu yang diberitahu. Dengan berbagai helah yang biasanya amat diyakini oleh pengagumnya, maka angka jitu yang diramal paling tidak hanya selisih satu digit sahaja. Selisih begini dianggap menepati sasaran. Umpamanya dukun tadi memberikan angka 1234, tetapi setelah cabutan angka yang naik di tempat pertama adalah 0234. Selisih begini masih membuatkan dukun tersenyum dan peminatnya tidak rasa dukun itu menipu.
Kenapa?
Dukun itu akan memberitahu, "Mungkin ada di antara kamu was-was dengan apa yang aku beri!" Atau ada alasan lain, "Mungkin kamu ada rasa tamak, mahu merahsiakan kemenangan jika kamu menang!"
Selalunya alasan dukun diterima dengan senang hati. Jarang mereka mengkritik dukun yang menipu.
Disebabkan dukun peramal empat angka perjudian begitu popular, umat kita tidak peduli lagi kepada siapa mereka boleh temui. Mereka akan temui siapa sahaja tukang ramal, astrologer yang mengiklankan di mana-mana akhbar berbahasa Cina, atau iklan sebaran di dalam peti surat, mereka sanggup bertemu dukun Orang Asli, dukun Buddha, dukun Siam atau Tuk Sami, Tuk Ca, mereka sanggup jumpa Mbah atau Wak yang ada di mana-mana.
Peliknya, umat yang berkecenderungan kepada permainan empat angka ini, mereka sanggup merentasi sempadan negeri semata-mata hendak mendapatkan kejituan.
Kenapa orang menemui dukun pintar yang mahir di bidang perangkaan begini? Ia dianggap jalan paling mudah untuk mendapatkan duit. Sudah banyak cerita orang kena tipu dukun pintar. Bagi umat kita, jika tertipu pun mereka tidak berani mewar-warkan kerana ia akan membuka aib diri sendiri.
Rasanya kesedaran umat Melayu terhadap kedukunan dan tukang ramal masih nipis, mereka tidak ambil peduli pun, kerana bukan tidak ada yang menganggap sihir itu adalah amalan Fir'aun sahaja, sihir tidak ada dalam kamus orang Melayu. Dengan sebab itu mereka hairan jika ada yang mengkategorikan sihir itu termasulah sebahagian besar kerja perdukunan yang selama ini dikenali di kalangan kita. Mungkin kita masih memerlukan masa untuk membanteras habis kecenderungan umat kepada Pak Dukun yang mengelirukan.[]

No comments:

Post a Comment