Sunday 27 May 2012

BUKAN PUKAU SEBENARNYA

Selalunya, jika sesuatu telah terjadi, bagi menggambarkan diri tidak dianggap sebagai mangsa kebodohan, maka perkataan "pukau" sering kita sebut.
Bagaimana kejadian itu boleh berlaku? Orang akan gunakan alasan biasa, tidak sedar dengan apa yang terjadi atau paling mudah cakap, kena pukau.
Pukau ini adalah perbuatan mengenakan ilmu sihir kepada seseorang bagi tujuan tertentu pula. Biasanya ia ada kaitan dengan penipuan.
Seseorang yang memberitahu kepada seorang pintar bahawa rumahnya ada gangguan sesuatu, ia bukanlah pukau. Itu namanya mengundang seseorang untuk melakukan pemulihan. Hanya apabila tugasan itu tidak memuaskan hati, baharulah timbul tuduhan bahawa orang itu gunakan pukau.
Ilmu pukau biasanya dikaitkan dengan warga asing yang melakukan jenayah di negara kita. Maka tersebarlah bahawa rakyat asing ini sangat bijak dalam ilmu pukau.
Ketika ada seseorang menunjukkan sebiji batu delima merah misalnya, orang itu akan mendakwa kena pukau setelah melihat bagaimana batu delima itu diuji keasliannya. Batu delima yang kecil itu dapat menukarkan air dalam gelas menjadi merah. Orang kata ini adalah kerja pukau. Sebenarnya tidak sama sekali. Ia menggambarkan ketidaktahuan seseorang tentang batu delima asli atau batu tiruan.
Begitu juga apabila seseorang begitu mudah menyerahkan wang sebagai bayaran bagi sesuatu perkhidmatan yang diminta. Misalnya, tugasan menghalau hantu dari rumah, orang yang melakukan tugasan itu akan meminta bayaran tertentu. Jika berlebihan, orang itu akan mendakwa dia kena pukau.
Ia bukanlah pukau. Sebaliknya lebih kepada kesan psikologi yang bermain dalam minda seseorang. Ada orang terperangkap oleh kata-katanya sendiri.
Disebabkan telah terlepas cakap, orang itu terpaksa mengalah membayar berapa sahaja yang diminta. Ia bukan pukau.
Terpengaruh dengan kata-kata seseorang yang baru dikenali bukanlah pukau namanya. Itu sebabnya, kita kena bersedia apabila mendengar sesuatu penerangan dalam bentuk baru.
Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata seseorang.
Bertemu orang baru dan orang itu membuka temberang mengatakan itu dan ini, maka anda lekas percaya. Inilah masanya anda boleh ditipu. Tidak ada pukau sama sekali.
Sikap bodoh seseorang terhadap sesuatu perkara akan memudahkan diri terkena tipuan. Jangan salahkan orang lain dengan mengatakan anda kena pukau. Tidak ada ilmu pukau yang sebarangan.
Ilmu pukau tidak akan dikenakan kepada seseorang begitu sahaja. Tanpa pukau pun, kalau anda tidak bersedia menerima keterangan perkara baru, anda mudah merasakan diri dipukau.
Seorang wanita berumur serahkan rantai emas setelah mendengar cerita daripada seseorang yang mempesona. Ia bukan pukau. Ia ada rasa takjub yang berlebihan di samping memikirkan keuntungan daripada tindakan yang sedikit.
Bertemu orang baru, kita mudah terpesona dengan cerita mereka. Begitu dalam seminar MLM, jadi agen produk baru, jangan mudah percaya dengan kemampuan orang lain. Jika anda lemah, anda dengan mudah akan mengeluarkan wang untuk membayar apa sahaja yang dikehendaki.
Ia bukan pukau. Selalunya orang akan mengaku kepada pihak tertentu dirinya telah dipukau. Ini adalah alasan yang sukar diterima.
Sebenarnya bukan anda yang dipukau, tetapi anda sendiri yang terpukau oleh mainan bahasa dan kaedah orang itu berinteraksi.
Jika anda sanggup memberikan wang beberapa kali melalui transaksi bank, ia bukanlah pukau. Sebaliknya ia menggambarkan kelemahan diri sendiri. Ada rasa tamak, rasa ingin memiliki sebelum peluang itu terlepas.
Anda ditawarkan akan mendapat laba yang banyak jika melabur sekian ribu. Tanpa fikir banyak anda pun mengeluarkan wang untuk melabur. Ia tidak ada kaitan dengan pukau. Sebaliknya anda telah terpukau oleh mainan bahasa dan keterangan teori yang tidak dapat anda jangkakan.
Atau memang sikap anda yang mudah membuat keputusan sekalipun berdepan dengan hal-hal baru. Maka jika terjadi, jangan jadikan pukau sebagai alasan. []

No comments:

Post a Comment