Saturday 2 June 2012

NYANYIAN DAN MUZIK 60% DALAM KEHIDUPAN

DISEDARI  ATAU TIDAK bahawa setiap orang yang dilahirkan di bumi kita, sejak usia kanak-kanak lagi sudah diajari nyanyian. Bermula daripada zaman Tadika, mereka diajar lagu kanak-kanak. Di luar sekolah asas ini mereka diajar pelajaran muzik dan nyanyian. Maka menyanyilah anak-anak kita sejak awal lagi, sementara di rumah, mereka menghadap televisyen, dari lepas maghrib hingga santak larut malam, jika kebetulan program televisyen yang bercorak hiburan itu berlangsung - biasanya hari Sabtu malam Minggu.
Sejak zaman Juara Kugiran, Bakat TV, Bintang RTM, dan hiburan malam minggu, kita dijejali dengan muzik dan nyanyian tanpa rasa peduli dan bertanya, bagaimana hukumnya muzik dan nyanyian hingga sampai merampas usia kita, sejak muda sampai ke tua masih dengan nyanyian dan muzik, apakah nyanyian ini mendatangkan pahala? Adakah rezeki hasil dari nyanyian dan bermain alat muzik ini seperti rezeki jual beli yang lain?
Benar. Kita sama sekali tidak pernah terlintas untuk menyemak al-Quran dan Hadis. Kita tidak peduli langsung dengan dua sumber untuk mendapatkan dalil. Kenapa? Kerana kita sangat bergantung kepada fatwa yang paparkan melalui televisyen. Pengacara televisyen kerap mewar-warkan sesuatu yang bolehlah dianggap "fatwa" sehingga orang pada umumnya menganggap bidang muzik dan nyanyian ini adalah profesion yang dibenarkan di dalam Islam.
Dan bagaimana sekiranya ilmu telah ada di dada setiap peminat muzik dan nyanyian, bahawa selama ini masa telah banyak terbuang kerana terlalu asyik dengan muzik dan nyanyian. Di zaman sebelum era P Ramlee dan Saloma, kita sudah mendengar lagu-lagu zaman 50-an dan awal 60-an.
Kita berdendang dari pagi sampai ke malam. Masa untuk berdendang sayang lebih banyak daripada masa untuk berzikirullah, lebih banyak daripada masa untuk solat sunat, dan jangan dihitunglah apakah berlaku kelompangan solat lima waktu itu atau sekadar memenuhi jadual solat yang tanpa tukmaninah?
Sejak dulu, kita terlalu asyik dengan dunia budaya popular yang dibawa dari Barat. Percayalah, tanpa Barat, kita tidak akan kenal muzik moden seperti hari ini. Kalau ditahan pun, umat akan cenderung juga ke situ apabila zaman siber telah ditempuh. Kini keadaan semakin parah.
Umat kita seperti tidak peduli dengan amanat dan amaran yang telah disuarakan oleh Rasulullah shallallahu alaihi wasallam. Cinta kepada Nabi-Nya langsung tidak ada, kerana pada masa itu kita tidak kenal pun hadis-hadis yang sahih dan yang daif. Kita tidak cenderung pun untuk mentelaah kitab-kitab turats kerana kita tidak belajar dari awal di sekolah agama dan Arab. Maka kejahilan umat Melayu menjadi-jadi apabila muzik dan nyanyian dibiarkan bermaharajalela, maka mabuklah umat Melayu dengan muzik dan nyanyian, maka setiap umat Melayu bercita-cita untuk menjadi penyanyi atau pemuzik yang terkenal. Pada masa itu kita tidak kenal sebutan artis, tidak kenal sebutan selebriti seperti sekarang. Apa lagi menyebut diva kampung.
Cinta kepada lagu dan nyanyian nampaknya tidak dapat dibendung lagi. Dalam upacara perkahwinan Melayu, muzik dan nyanyian sudah dianggap mesti. Percampuran lelaki perempuan tidak pernah dianggap utama, begitu juga ketika kita menyaksikan persembahan pentas, atau konsert, percampuran lelaki perempuan, semua ini yang mendekatkan mereka kepada zina langsung tidak kita pedulikan. Umat Melayu terus berseronok dengan berbagai pesta yang diadakan di setiap negeri.
Bayangkan, dari Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibung hingga santak sebulan, disambung Pesta Laut Lumut juga hampir sebulan. Ada Pesta Kangar, hampir dua minggu. Pesta Kedah, Pesta Port Dickson, Pesta Kuala Terengganu, Pesta Besut, dan entah pesta apa lagi, ini tidak termasuk fun-fair kecilan yang diadakan di setiap rantau dan ceruk.
Pesta-pesta ini semua adalah wadah umat Melayu berleka, wadah umat Melayu menjadi kemaruk dengan artis pujaan dan band idola mereka. Mereka sanggup naik motosikal secara konvoi untuk menyaksikan Pesta Laut Lumut, persembahan artis dari Kuala Lumpur siap bertiket, dianjurkan oleh macam-macam nama Event Masters, semuanya berpaksikan nyanyian dan muzik. Nyanyian dan muzik sudah menjadi gula untuk menarik semut mendatangi pesta-pesta itu.
Secara nyata, pesta itu tidak memberikan apa-apa kepada umat Melayu. Ia hanya hiburan kosong yang telah merampas masa umat Melayu daripada mentelaah ilmu agama, merampas mereka daripada membaca al-Quran dan mentelaah hadis. Mereka lebih leka mentelaah majalah hiburan, mereka mahu tahu kegemaran artis tertentu. Semua ini jelas maksiat belaka. Majalah yang dibeli setiap bulan juga memaparkan aksi artis wanita yang mendedah aurat, memakai skirt pendek mengikut gaya artis K-Pop hari ini.
Bayangkan, ke mana hala yang hendak dituju oleh umat Melayu dengan muzik dan nyanyian. Cukupkah dengan lagu dan nyanyian P Ramlee/Saloma yang menyesatkan umat. Banyak orang menyanjung kedua penyanyi ini, tetapi kalau difikirkan muzik dan nyanyian tidak ada di sisi agama kita.
"Dan di antara manusia ada yang mempergunakan LAHWUL HADIS untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu bahan olok-olokan." [Luqman: 6]
Luhwal hadis yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut adalah nyanyian. Itulah bahan yang melekakan kita sejak dulu hingga sekarang. Televisyen yang ada di rumah kita setiap hari menayangkan muzik dan nyanyian. Bahkan kerana menghadap televisyen setiap hari, lirik lagu dan melodinya boleh dihafal. Terngiang-ngiang ketika solat, atau televisyen terpasang hingga mengganggu waktu solat. Solat diganggui oleh senandung syaitan, senandung iblis yang ada di rumah setiap umat Melayu.
Justeru semua ini terjadi kerana kita tidak ada pengetahuan tentangnya. Akhirnya ia jadi bahan senda gurau, jadi bahan olok-olokan sebab kebodohan kita. Mengakulah, kita masih berada di zaman jahiliyah tidak habis-habis.Puncanya, kerana tidak ada fatwa yang tegas. Kita masih takut hendak menyatakan kebenaran. Kita takut umat Melayu memberontak jika muzik dan nyanyian dijadikan punca segala kemaksiatan, punca segala kebejatan moral, punca umat Islam dilemahkan, dan kita lupa bahawa semua perkara ini adalah agenda yang dimainkan oleh musuh islam. Musuh islam tahu, di mana kelemahan umat Melayu kita. Jika kita memang asyik dengan muzik dan nyanyian, maka bahan inilah yang diperhebatkan. Sayang sekali, wartawan hiburan Melayu, artis Melayu, penyanyi melayu hanyut dan leka dengan dunia yang tidak berfaedah ini. Mereka tentunya akan menyesal setelah berada di zaman veteran, menyesal amat sangat kerana telah menghabiskan masa untuk muzik dan nyanyian bahkan, perkara ini telah menjadi keutamaan sehingga 60% daripada corak kehidupan dan pemikiran kita habis kerana muzik dan nyanyian.
Kita sama sekali tidak peduli dengan ingatan Nabi shallallahu alaihi wasallam, sedangkan kita sudah diingatkan:
"Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan kami masukkan ia ke dalam Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali." [an-Nisa: 115]
Hari ini, umat Melayu ramai yang menentang Rasul-Nya. Ilmu tidak sampai ke situ, sengaja tidak mahu mendapatkan ilmu itu kerana jika ia melibatkan kepentingan duniawi, maka ia perlu ditolak. Mereka memilih apa yang sesuai dengan jiwa mereka.
Bukankah ada hadis sahih yang menyebut: "Kelak akan ada dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, minuman keras dan muzik." [HR.Bukhari dan Abu Dawud]
Dengan kata lain, pada masa akan datang - zaman yang kita berada sekarang - ketika beberapa golongan dari umat islam - termasuk umat Melayu kita - mempercayai bahawa zina, memakai sutera asli, minum minuman keras dan muzik dianggap halal, padahal semua perkara yang disebutkan itu adalah HARAM.
Berdasarkan hadis itu, muzik adalah HARAM. Muzik digunakan untuk apa? Sudah tentu untuk melengkapkan nyanyian, muzik membawa melodi, dan nyanyian perlu dialunkan oleh seorang penyanyi baik lelaki atau wanita, di mana mereka menyanyi? Sudah tentu di pentas terbuka, mendedah aurat, menimbulkan banyak fitnah, ia menyanyikan lagu-lagu yang membangkitkan rasa cinta, kesyahwatan, memuji kecantikan wanita yang dedah aurat, memuji ketampanan lelaki yang bukan muhrim, jadi semua ini kemaksiatan yang langsung tidak dipedulikan oleh umat Melayu.
Anehnya, di mana-mana ada acara penting kenegaraan, di situlah nyanyian dan muzik didendangkan. Maka umat Melayu terus menganggap muzik itu adalah HALAL. Puncanya, kita tidak tegas, kita tidak ambil peduli kepada hadis yang menyebutkan tentang keharaman muzik. Tidak kiralah muzik apa pun, lebih-lebih lagi muzik dari Barat.
Imam Syafie di dalam kitabnya Al-Qadha mengatakan, bahawa nyanyian adalah kesia-siaan yang dibenci, bahkan menyerupai perkara batil. Barangsiapa memperbanyak nyanyian maka dia adalah orang dungu, syahadat -kesaksiannya- tidak dapat diterima."
Imam yang menjadi panutan umat Melayu ini, menyatakan nyanyian itu sia-sia dan dibenci. Ia perkara batil. Anehnya umat Melayu yang selalu mengatakan mereka mengikut Imam Syafie, dalam bab ini mereka lalai. mereka tidak sedari menjadi umat dungu, bangang, nak jadi saksi pun tak boleh kerana banyak menyanyi. maksudnya kalangan artis kita yang terlalu banyak melalak di pentas.
Habis kalau menyanyi lagu-lagu pop, lagu rap, atau apa lagupun tidak dibenarkan dalam agama kita, nyanyian bagaimana yang dibenarkan?
Jawapan ini mesti membuatkan orang mencebik.
Iaitu:
MENYANYI PADA HARI RAYA.
Ia bukan lagu sangat seperti hari ini. Hanya sebutan kata-kata gembira meraikan hari raya. Mereka masih kanak-kanak. Itupun bukan lagu Saloma atau P Ramlee, Ahmad Jais, Fazidah Joned atau Sharifah Aini sebagaimana kebiadaan kita hari ini. Ketika Abu Bakar melihat dua hamba sahaja menyanyi dia cuba mencegahnya, tetapi Nabi shallahu alaihi wasallam menegurnya, "Biarkanlah mereka kerana sesungguhnya masing-masing kaum mem,iliki hari raya, sedangkan hari raya kita adalah pada hari ini." [HR.Bukhari].
DENGAN REBANA.
Mereka menyanyi dengan memukul rebana di hari pernikahan. "Pembeza antara yang halal dengan yang haram adalah memukul rebana dan suara lagu pada waktu pernikahan." [HR.Ahmad]
Jadi tidak ada gitar, tidak ada drum atau keyboard seperti yang ada hari ini.
NASYID ISLAM.
Dibawakan tanpa iringan muzik. Dilantunkan untuk membangkitkan semangat ketika melakukan sesuatu, ia bukan nyanyian sangat, tetapi lebih kepada suka-suka sahaja sambil bekerja. Senikata yang dilantunkan bukan memuja kecantikan gadis, tetapi menyebutkan kecintaan mereka kepada Nabi dan hubungan mereka dengan Allah. Bandingkan lirik nyanyian artis kita hari ini, amat jauh bezanya.
Nasyid yang disebut ini bukanlah nasyid seperti yang kita kenal hari ini, seperti lagu-lagu dari kumpulan nasyid yang terkenal dengan iringan muzik moden dan sebagainya.
NYANYIAN yang mengandung pengesaan Allah subhanahu wa Taala, kecintaan kepada Rasulullah shallahu alaihi wasallam dengan menyebut sifat-sifat beliau yang terpuji, atau mengandung ajaran berjihad, memperbaiki akhlak, sesuai dengan syariat Islam.
Mengakhiri tulisan ini, saya kutip kata-kata Ibnu Taimiyyah. Katanya, muzik dan al-Quran tidak akan bertemu dalam keasyikan yang sama. Orang yang asyik dengan muzik tidak akan mampu menyerap keindahan al-Quran. orang yang mudah menikmati keindahan al-Quran, pasti akan gerah mendengar lantunan muzik. Ketika keasyikan mendengar salah satunya berkurang, bertambahlah kesenangan mendengarkan yang lain.
Terlalu asyik dengan nyanyian muzik menyebabkan masa yang terluang hanya diisi dengan menyanyi atau bersiulan, sedangkan ia tidak mendatangkan apa-apa.
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram." [ar-Ra'du: 28]
Orang yang asyik dengan muzik dan nyanyian jadi tenteram ketika mendengar nyanyian lagu-lagu sentimental menjelang tidurnya. Sedangkan membaca al-Quran mendapat pahala, menghafal lirik lagu sambil berbaring tidak mendapat apa-apa, kesia-siaan sahajalah. Wallahu a'lam.[]

No comments:

Post a Comment