Thursday 28 June 2012

ALAM BARZAH, HANYA ALLAH SAHAJA YANG TAHU

APA PUN AQIDAH YANG dipegang dan sebesar manapun maksiat yang dilakukan, Allah s.w.t. tetap memberikan pintu sangat besar untuk kita bertaubat, selama manusia belum sampai ke pintu sakratulmaut. Bayangkan penjelasan ini. "Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [al-Furqan: 70].
Dijelaskan, betapa beruntungnya orang yang bertaubat. Justeru itu bertaubat tidak perlu ditangguhkan, bersegeralah melakukan taubat, bahkan setiap waktu pun tidak mengapa, kerana kita sedar bahawa sebagai hamba yang lemah kita selalu tersandung kepada dosa, entah dosa kecil, dosa besar atau dosa yang kita tidak sedari telah melekat pada diri kita. Bukan setakat bertaubat sahaja, kenalah disusuli dengan menjadi orang yang beriman dan mengerjakan amalan saleh. Apabila telah beriman dan mengerjakan amalan saleh, amalan kebaikan dan melaksanakan segala yang diperintah-Nya, maka kejahatan masa lampau, kejahatan ketika kita alpa, kejahatan ketika kita mabuk remaja, kejahatan ketika masuk dengan muzik dan hiburan, maka semua itu akan digantikan dengan kebajikan, dengan kebaikan! Betapa murahnya Allah s.w.t. Kenyataan ini telah diberikan kepada kita melalui al-Quran, melalui penjelasan Nabi-Nya lewat hadis-hadis yang banyak bertebaran, hanya kita sahaja yang tidak peduli dengan kewujudannya. Kita serahkan kepada para ustaz untuk menjabarkan keperihalan itu kepada kita. Maka, selama kita menunggu, selagi kita tidak mencari, atau menghadiri majlis ilmu, rajin membaca dan mendengar tazkirah-tazkirah, maka selama itulah kita tidak tahu apa.
Tulisan ini adalah kesan daripada imbasan mata penulis yang menatap laporan Harian Metro [28 Jun 2012] yang membicarakan tentang sebuah konsert bagi mengenang seorang penyanyi  sempena FESTIVAL MUZIK KUALA LUMPUR 2012. Konsert mengenang seseorang seperti ini juga pernah diadakan pada masa lalu melibatkan tokoh yang lain pula.
Mungkin kita lupa, bahawa orang yang dikenang itu telah berada di alam lain. Dan tidak sesiapa pun yang tahu bagaimana keadaannya di sana; selagi kita tidak berada di alam sana, maka kita tidak tahu apakah bahagia atau derita. Ini tidak penulis bicarakan, kerana biarlah kita bermuhasabah diri. Cukuplah sudah kita berseronok, bercerita dan bertepuk-tangan gembira [walaupun ia perbuatan syaitan] dan cukuplah kita meraikan seseorang dengan kegembiraan.
Untuk mengingat sesuatu yang ghaib ini, maka elok kita renung kembali, bahawa seseorang mukmin itu mendapat seksaan kubur kerana beberapa sebab:
1. Meninggalkan solat - perbuatan ini memang lumrah di kalangan kita, dan tidak dapat dinafikan ia juga menjadi ketidakpedulian kita apabila terlalu sibuk dan asyik dengan dunia leka yang kita ceburi; dan kebanyakan warga penghibur, warga pemuzik, warga peminat muzik dan hiburan, semuanya termasuk dalam kelompok itu. Solat dianggap mudah, dan suka bertangguh, atau lebih mengutamakan bidang seni yang kita ceburi. Padahal orang-orang yang pentingkan amalan saleh, solat adalah perkara utama yang perlu dijaga, kalau solat pun terabai, bagaimana pula dengan yang lain?
2. Ghibah dan fitnah. Dunia hiburan kata orang tidak akan rancak kalau tanpa adanya ghibah dan fitnah. Seseorang artis boleh hidup dan popularitinya bercambah kerana adalah ghibah dan fitnah. Fitnah juga menghancurkan rumah tangga mereka, banyak pasangan artis yang bercerai-berai kerana fitnah. Fitnah dalam dunia hiburan dicambah oleh media hiburan yang sentiasa memburu bahan ghibah, bahan untuk mengumpat, bahan untuk melondehkan aib orang lain. Sayang sekali, kebanyakan bahan hebahan ini dipelopori oleh pengamal media Muslim, tidak pedulilah sama ada mereka tutup aurat atau tidak. Mereka melaporkan bahan berunsur fitnah dan merosakkan imej orang lain tanpa rasa bersalah, tanpa rasa bahawa kerjaya ini bermanfaat untuk dunia ukhrawi nanti. Memanglah di dunia ini kita mendapat kemasyhuran, turut tumpang sekaki dengan populariti artis.
3. Tidak bersuci dari air kencing. Kalau dalam bab kencing pun kita buat sambil lewa kerana sibuk kelek kamera yang berat lensanya, atau kesibukan berlatih menyanyi atau main muzik untuk show esok, atau untuk konsert akan datang, maka pengabaian ini selalunya kita buat tidak kisah pun.
4. Tidak bersuci ketika solat dan tidak menolong orang yang dizalimi. Di sini kita dinasihatkan agar bersuci setiap kali hendak mengerjakan solat. Jadi bermula dari air kencing tadi. Kemudian tidak menolong orang yang dizalimi; kita rasa bahagia melihat orang lain diperlakukan dengan zalim. Kita bahagia melihat orang lain difitnah, dicerca, diaibkan dengan pengedaran video seksnya, diaibkan dengan skandal demi skandal walaupun semua itu rekaan belaka. Kalau kita setuju dengan perlakuan zalim itu, maka kita akan mendapat bala di akhir nanti. Itu belum bab kezaliman yang lain. Cukup banyak hal-hal zalim yang kita tidak faham. Jika kita tidak menyokong gerakan islam, tidak suka perundangan islam, memandang jijik kepada islam, ia sama sahaja dengan orang yang melakukan kezaliman. Zalimnya kita kerana kita suka melihat maksiat di mana-mana, kita suka melihat dunia hiburan kita makin rancak dan berkembang, suka melihat muda-mudi kita bercampur-gaul lelaki perempuan di dewan tarian, suka melihat mereka mabuk-mabuk, suka melihat mereka bersekedudukan, dan pengertian zalim ini cukup luas. Bukan menyeksa orang dalam tahanan, memukul orang berhimpun secara aman dan sebagainya. Kena faham, pengertian zalim cukup luas.
5. Mencuri harta ghanimah. Dalam bab ini kita tidak terlibat, kerana kita tidak berperang dan memperoleh harta rampasan. Tetapi, dalam bidang lain, bidang profesion kita sebagai penguatkuasa, bagaimana pula kalau seseorang pegawai itu mengambil sedikit atau lebih bahagian yang dirampas dari orang lain. Ini bukan bab perang, tetapi ada kaitan. Pegawai kastam, pegawai penguatkuasa majlis tempatan, Dewan-dewan Bandaraya di setiap negeri, kuat-kuasa undang-undang dan rampasan atau sita memang pernah dan kerap berlaku.
Apabila seseorang telah meninggal dunia, apa sahaja pahala yang boleh mengalir berterusan kepada si mati? Dalam persoalan ini kita lupa, bahawa ada beberapa perkara sahaja yang boleh kekal dan memberi manfaat kepada orang yang telah meninggal dunia.
i. ILMU
ii. SEDEKAH
iii.ANAK SALEH
iv.PERBUATAN BAIK YANG DIIKUTI.
Ilmu ini bagaimana? Apakah orang yang berilmu pendekar, ilmu kebal, ilmu tetak tak lut dan macam-macam ilmu karut itu yang dimaksudkan? Ilmu seperti ini tidak memberi manfaat, malah silap-silap membawa petaka kepada pengamalnya. Jadi pengertian ilmu kena faham, bukan semua ilmu diperkirakan. Ilmu hitam, ilmu sihir, ilmu yang menjurus kepada duniwi dan mencari kemegahan dunia, bermaksiat dan sebagainya tidak terhitung dalam kategori ilmu.
Ilmu yang bermanfaat itu adalah ilmu yang diamalkan. Contoh mudah, hari ini setiap kali kita berwacana tentang agama, kita selalu menyebut nama-nama ulama silam, nama tokoh-tokoh terkenal, nama-nama seperti Imam Bukhari, Muslim, as-Syafie, Malik, Abu Hanifah, Ibnu Jarir, at-Thabari dan banyak lagi. Mereka itu adalah orang yang berilmu. Mereka tahu bagaimana hendak memanjangkan ilmu yang ada, iaitu dengan membukukan atau mengumpulkan, istilahnya sekarang kompilasi.
Tanpa usaha gigih daripada ulama silam bersengkang mata menulis kitab yang tebal dan berjilid-jilid [bayangkan ketika itu belum ada kemudahan komputer] jika mereka ada kemudahan ini, entah berapa ribu jilid yang mereka mampu siapkan!
Bandingkan dengan cerdik pandai kita yang ada, mereka yang bergelar sarjana berasa selesa dengan ilmu yang ada, mahu menyampaikan kepada orang lain pun rasa kedekut kalau tidak ada bayaran lumayan. Tempat mereka diisi pula oleh penulis yang bukan sarjana, mereka menulis berbagai topik sehingga seolah-olah mencabar kewibawaan sarjana yang ada. Mereka rasa terpukul kerana ilmunya jauh lebih hebat. Hanya sayang, tidak ada masa. Mereka sibuk di luar lapangan akademik. Mereka sibuk mengendalikan syarikat koperat, sibuk berdampingan dengan orang politik, pembesar negara, para bangsawan hebat dan akhirnya, biarlah ilmu itu terpendam begitu sahaja.
Berbalik kepada perkara pokok tadi, kita mengenang seseorang yang telah pergi, selain mengadakan majlis tahlil dengan harapan doa yang dipohonkan itu sampai kepada si mati. Setelah membaca al-Quran [walaupun hanya surat Yasin], ada tahlil, mengingatkan hadirin kepada Allah dan kebesaran-Nya, ada majlis makan-makan, kemudian semua gembira, media nasional melaporkan aktiviti baca Yasin dan tahlil itu besar-besaran, dan esok atau lusanya ada konsert hebat bagi mengenang orang yang ditahlilkan itu. Di mana yang tak kena?
Sudah tentu, ketika bertahlil, ia mengingatkan kepada kematian. Semua yang hadir termasuk yang tak tutup aurat, termasuk yang berpasangan walaupun belum berkahwin, atau masih berpacaran, begitu khusyuk menghadiri majlis itu. Ia majlis biasa dan ramai yang tidak bersedia pun. Selalunya, majlis diadakan jangan tidak dan asalkan ada sahaja. Habis majlis mengenang "kematian" yang pasti itu, kita sibuk mengatur sebuah konsert besar mengenang artis yang telah pergi.
Di sini, yang majlis itu berikan adalah sedekah bacaan al-Quran dan doa daripada para hadirin. Ilmu apakah yang memberi manfaat yang ditinggalkan oleh si fulan itu? Adakah lirik dan melodi yang ditinggalkan itu dikira sebagai ilmu yang memberi manfaat? Ya, manfaat yang duniawi, manfaat yang melekakan. Lagu dan nyanyian banyak memberi mudarat dari manfaat. Dengan sebab nyanyian dan muziklah, ramai umat mengabaikan solat, mengakhirkan waktu solat, atau pupus langsung. Bahkan yang terjadi adalah qada' solat bertali-arus. Maksudnya, dari subuh sampai ke subuh kena qada' semuanya?
Selalu orang membicarakan kedermawanan seseorang kepada rumah anak-anak yatim, rumah orang tua-tua dan sebagainya, tetapi dimulai dengan majlis hiburan dan majlis yang berunsur maksiat, atau betul-betul maksiat, derma yang dihebahkan besar-besaran. Dan dalam dunia hiburan ini, agak sukar hendak mendapatkan doa dari anak yang saleh. Orang seni bangga dengan anak seninya. Orang bangsawan megah dengan darah seni bangsawan yang mengalir. Derma cerita juga, tetapi anak beranak tidak faham bagaimana syariat Islam - mereka masih tidak menutup aurat. Mereka sayang dengan dunia artis yang tidak memberi manfaat ukhrawi itu. Mereka masih sayang kepada ketenaran duniawi.
Itulah paparan yang selalu dijaja oleh para wartawan muslim, mereka menjabarkan perbuatan baik yang hanya pada persangkaan sahaja. "Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" [az-Zumar:9]
Begitu berbahagia orang yang berilmu [istimewanya ilmu bermanfaat] kerana kedudukan mereka adalah tinggi dan terpuji. Bukan terpuji kerana lagunya bagus, menjadi sanjungan semua orang, pernah jadi Juara Asia atau Mentor, Akademi Fantasia, seperti pengertian yang difahami oleh wartawan muslim kita.
"Allah pasti akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..."[al-Mujadilah: 11]
Berbalik kepada orang yang telah meninggal dunia tadi, kita selalunya hanya sekadar tahlilan, Yasin, makan-makan dan kemudian adakan konsert hebat yang bertiket. Adakah konsert itu akan membantu orang yang telah pergi?
Termasuk rahmat Allah kepada seseorang mukmin Dia menganugerahkan ganjaran kepada orang di alam barzah, orang yang kita kenang itu, kerana amal kebaikan yang dilakukan oleh orang lain [peminat atau persatuan] untuknya. Amal kebaikan tersebut yang kita tidak berapa kisah ialah:
Doa dan istighfar - itulah doa yang kita pohonkan untuk disampaikan kepada orang yang kita minati. Dia telah pergi mendahului kita.
Kemudian haji dan umrah - apakah ada di kalangan peminat setia yang fanatik itu menghajikan orang yang disayangi itu? Tidak terfikirpun.
Sedekah - yang ditujukan kepada orang berkenaan oleh peminatnya.
Kemudian membaca al-Quran. Setakat yang terbiasa di kalangan kita adalah membaca al-Fatehah, surat al-Ikhlas, majlis baca Yasin. Sedangkan bacaan al-Quran untuk diri sendiri pun terabai, bagaimana pula hendak diberikan kepada idola mereka yang telah pergi?
Di sinilah letaknya caca-marba yang kita megahkan. Ketika kita mengenang seseorang yang telah pergi, kita mengenang mengikut acuan Barat. Kita lebih fokus kepada majlis keramaian, majlis kemaksiatan, ada percampuran lelaki perempuan, dedah aurat, menghadirkan kalangan pondan atau orang lelaki yang meniru-niru gaya perempuan; maknanya kita terlalu fokus kepada kemeriahan hiburan. Sedangkan orang yang menjadi sanjungan peminat itu mengharapkan doa dan istighfar daripada peminatnya, mengharapkan sedekah atau bacaan al-Quran. Bolehkah kita peminat menghadiahkan nyanyian demi nyanyian hingga berjam-jam di pentas dan menari-nari?
Memanglah para wartawan hiburan Melayu memuji kehebatan persembahan itu, semuanya sudah hilang fokus. Orang yang dikenang, di alam sana bukan perlukan pujian konsert hebat, bukan harga tiket yang mahal, atau sambutan hebat dari penonton, atau ulasan wartawan hiburan yang menggebu-gebu. Kehebatan melodi sesiapa pun orang yang dikenang, orang yang telah pergi itu tidak membahagiakan sang tokoh di alam sana. Salah satu bentuk penghapusan dosa seseorang, meski telah meninggal adalah mendapatkan doa dari saudara-saudaranya [peminat fanatik] yang beriman [yang beriman sahaja, kena faham] mereka memberikan syafaat ketika masih hidup dan sesudah meninggal. Wallahu a'lam. []

1 comment:

  1. bomoh memang lah power sangat,jarak jauh die bole buat kwn2 nak try bole sye letak nmbor whatshap die 0174334165(tok keramat gunung)..

    ReplyDelete