Wednesday 6 June 2012

KELUARGA TIADA DOKUMEN NAK SEKOLAH

KISAH KELUARGA YANG TIDAK MAMPU MENYEKOLAHKAN ANAK adalah cerita biasa di negara kita. Bukan cerita baru, di negara kita. Bahkan kalau benarlah sistem pentadbiran yang ada di negara kita hebat, maka golongan yang tercicir ini tidak jadi begitu.
Sudah jadi perangai masyarakat Malaysia, mereka suka heboh, mereka suka pukul canang, contohnya ada program titian kasih metro, sebuah akhbar, bukan sebuah jabatan, tetapi anehnya kata-kata dari pihak penggerak akhbar berkenaan dianggap keramat.
Maka turunlah pegawai-pegawai berkaitan pendaftaran dengan bersusah payah bagi memenuhi permintaan akhbar tabloid berkenaan. Pengarah JPN negeri pun turun ke situ, pengarang kumpulan akhbar berkenaan pun ikut sama tumpang mencari populariti.
Seperti digambarkan, kalau tidak ada bantuan dari pihak akhbat tabloid ini, maka masa depan keluaga yang dulunya berkahwin di Siam sana pasti tidak menentu. Jadi kena berterima kasihlah kepada pihak yang membantu.

PERTANYAAN:
Selama ini, sebelum program bantuan itu digerakkan, apa yang ketua kampung atau AJK yang berhampiran telah lakukan? Jika kita melihat carta kerja, melihat gelembung dalam minit mesyuarat kampung semuanya nampak gah belaka.
Dalam pada rajin bekerja, mesyuarat sana dan sini, ada satu keluarga yang terabai. Mungkin mereka diabaikan kerana semua orang kampung kata, dia orang Siam, asal dari sempadan. Perihal tidak ada dokumen, setelah berpuluh tahun tidak ada siapa mendekati mereka.
Inilah cara kerja kita. Rasanya kalau lima tahun dulu Perdana Menteri datang ke kampung berkenaan, Kg. Kuala Sanglang, Perlis, masalah keluarga ini sudah lama selesai.
Biasanya, kalau datang pemimpin pusat, pemimpin bawahan kelam kabut dibuatnya. AJK atau JKKK pun paling sibuk kalau kebetulan ada sebuah balai raya kecil akan dijadikan lokasi lawatan.
Jika satu keluarga tanpa dokumen kerana gara-gara tidak ada surat nikah Malaysia, perkara ini menggambarkan pemimpin peringkat kampung [sudah tentu di bawah Barisan Nasional] tidak proaktif atau kemungkinan menganggap keluarga itu sebagai "pendatang" dan mereka cuba membiarkan sahaja masalah itu.
Semua ini berlaku menjelang nak pilihan raya, jika diberi segala dokumen, keluarga ini tidak mendaftar pun untuk menjadi pemilih, maka pihak atasan mahu agar keluarga ini diberikan dokumen dengan segera, sesiapa yang layak mengundi diminta daftar cepat, dengan harapan mereka akan mengundi UBN. Inilah matlamat kalangan tertentu sibuk melakukan itu dan ini.
Pihak akhbar pula kerana mereka sealiran dengan program TV3 bersamamu, maka idea itu dimuntahkan pada wadah yang lain, akhbar tabloid main peranan.
Percayalah, kalau tidak ada usaha mengesan masalah di sesebuah kampung atau penempatan penduduk miskin, atau terbiar, maka masalah akan tetap masalah.
Berapa sangatlah sumbangan dari sebuah akhbar tabloid yang bertindak bagi tujuan mencari nama? Biasanya, paparan akhbar mengelirukan. Hari ini bicara tentang bantuan dan kebahagiaan sebuah keluarga yang dibantu, dua bulan kemudian, keluarga itu hilang atau tidak dapat dikesan.
Atau keadaan menjadi lebih sukar lagi setelah diwar-warkan dalam media.
Paparan tentang masalah kemiskinan, masalah penduduk tidak ada dokumen, atau apa sahaja, ia memberi gambaran betapa lekehnya corak kerja pentadbiran peringkat kampung. Mereka langsung tidak peduli dengan masyarakat sekeliling. Jika masjid dijadikan institusi pertemuan, maka masjid gagal berperanan kerana terlalu banyak politiking songkok tinggi.
Apabila ada sekuluarga tidak ada dokumen, tidak boleh bersekolah, sekalipun mereka berkahwin di seberang sempadan, ia tetap memberi gambaran pemimpin kampung yang hanya membanggakan jawatannya sahaja.
Usahkan di Perlis, di Gombak kawasan hampir Kuala Lumpur pun, sikap pemimpin kampung yang hanya tunjuk muka di masjid, surau sesekali, menyebabkan mereka tidak tahupun, siapa penghuni kampung yang ada sekarang.
Mereka tidak tahu ada orang luar menetap di situ, berapa keluarga dan butir peribadi mereka tidak diketahui langsung. Mungkin sikap di Gombak ini sama juga dengan sikap di Perlis.
Pembawaan inilah yang menyebabkan berlaku kes-kes keciciran maklumat yang memalukan kita semua. Mereka yang beri sumbangan tentu rasa megah, tetapi ia sebenarnya peristiwa yang memalukan semua pihak. []

No comments:

Post a Comment