Sunday 3 June 2012

ALAT MUZIK SYAITAN: KITA TAK PEDULI SUNNAH

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah shalllahu alaihi wasallam bersabda, "Loceng adalah alat muzik syaitan."
Maknanya, syaitan juga gemar kepada muzik. Loceng yang digantung baik dalam ukuran apa pun adalah muziknya syaitan.
Di rumah ibadat golongan penyembah berhala, loceng merupakan alat yang utama. Ia selalu dibunyikan. Apabila syaitan menyertai loceng maka malaikat menjauh dari pergaulan yang disertai loceng.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. lagi, Rasulullah shalllahu alaihi wasallam bersabda:
"Malaikat tidak menyertai persahabatan yang padanya ada anjing atau loceng."

JAGA TANGAN DARI MUZIK
Satu perkara yang kita alpa adalah teguran dari Rasulullah shallallahu alaihi wasallam, dari Buraidah, katanya, "Barangsiapa yang memainkan alat muzik, seakan-akan dia mencelupkan tangannya pada darah babi." [HR.Muslim, 15/15-Syarh Shahih Muslim lin Nawawi].
Maksudnya, seseorang yang memegang alat muzik untuk dimainkan, tidak kiralah untuk suka-suka, latihan, untuk show cari makan, maka ia umpama memegang benda bernajis berat.
Dari Musa al-Asy'ari r.a. bahawa Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda:
"Barangsiapa yang memainkan alat muzik, sesungguhnya dia telah mendurhakai Allah dan rasul-Nya." [HR.Malik (2/958), Abu Dawud (4/285) dan Ibn Majah (2/1238)]
Dari dua hadis yang kita abaikan ini, seorang muslim wajib memelihara dan menjaga semua anggota tubuhnya dari segala kemaksiatan dan dosa.
Jadi, baik yang kecil atau yang besar, jika syaitan berjaya menjerumuskan umat dan kemudian melakukan dosa atau kemaksiatan, perlu segera bertaubat.
Sayangnya, di negara kita, tidak ada sekelumit wacana tentang hadis ini yang dapat dikaitkan dengan dunia muzik dan hiburan tanahair yang dipaparkan dalam media hiburan. Baik program Melodi, Gosip Artis, Sembang Artis dan sebagainya, ingatan dari sumber hadis langsung tidak pernah dipaparkan.

FATWA
Teringat penulis kepada Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-2 [12/5/1981] tentang Hukum Nasyid dan Pancaragam.
Disebutkan bahawa, nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
Kemudian dinyatakan lagi, jika nyanyian liriknya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah HARAM.
Mengenai pancaragam [band, kugiran] yang melalaikan hukumnya HARAM.
Selanjutnya, mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat liriknya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
Menyanyi untuk tambahkan semangat jihad adalah harus. [semak www.e-fatwa.gov.my]
Berdasarkan keterangan di atas, lirik lagu memang tak ada masalah dalam bab kelucahan, tetapi lebih banyak memuji kecantikan wanita yang dedah aurat. Lirik lagu sejak zaman 50-an hingga 70-an memang banyak yang lebih fokus kepada soal percintaan, syahwat dan kelucahan secara simbolik. Kemudian di dalam sesebuah persembahan nyanyian muzik, pasti ada percampuran lelaki dan perempuan. Penyanyi wanita yang dedah aurat berada di tengah lingkungan pemain muzik lelaki.
Para penonton yang menyaksikan persembahan sudah tentu bercampur lelaki perempuan secara bebas. Kemudian band yang buat persembahan di pentas, ia adalah persembahan yang melalaikan para penonton, mereka lalai sehingga bercampur bebas lelaki dan perempuan dalam suatu ruang atau dewan, mereka juga lalai dalam bab solat bahkan mengabaikan terus. Buat masa ini tidak ada lagu yang menimbulkan semangat jihad, sebaliknya lagu-lagu yang cenderung kepada maksiat dan menimbulkan fitnah.
Jadi, berdasarkan fatwa yang sudah lama diputuskan [tahun 1981] itu kita tidak nampak ada perubahan dasar, pihak RTM atau jabatan tertentu masih membiarkan kumpulan muzik mengadakan show secara bebas dan tanpa garis panduan tentang larangan dan tegahan.
Setiap kumpulan muzik yang ada di negara kita adalah kumpulan yang membuat persembahan bagi tujuan melalaikan umat. Persembahan itu sendiri menggalakkan percampuran lelaki perempuan dan banyak menimbulkan fitnah.
Kini di negara kita begitu galak konsert penyanyi tertentu diadakan. Ia terang-terangan ada percampuran lelaki perempuan, ia terang-terangan persembahan yang melekakan.
"Dan di antara manusia ada yang mempergunakan lahwul hadits untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu bahan olok-olokan." [Luqman:6]

Ada lagi ingatan yang disebut oleh Rasulullah shallallahu alaihi wasallam, "Kelak akan ada dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar dan muzik." [HR.Bukhari]
Jelaslah, ingatan dan peringatan yang diberikan kepada kita, tidak ada siapa hendak menyambutnya. Media hiburan kita melambak melaporkan kehebatan artis tertentu, band tertentu, mereka hanya memuji persembahan yang hebat, penonton yang sporting, tetapi wartawan muslim lupa mengulas mengenai persembahan yang melalaikan, percampuran lelaki perempuan, menggalakkan maksiat, bahkan menghampiri zina. Dalam bab ini mereka tidak berani menulis. Mereka gerun akan dikritik pembaca, tetapi mereka tidak gerun dengan perkhabaran dari hadis yang shahih. Wallahu a'lam.[]

No comments:

Post a Comment