Thursday 14 June 2012

PUASA-PUASA PELIK KEJAWENAN

ANAK-ANAK muda di negara kita pandai menyebut pati geni. Wah, ini kena buat pati geni dulu, tetapi apa sebenarnya pati geni masih samar-samar. Sama juga orang berkata mandi minyak. Ia bukan mandi minyak dengan minyak panas mendidih. Ada kaedahnya untuk mandi.
Baiklah, di dalam ajaran kejawen ada sejumlah puasa yang selalu disebut orang tetapi cara puasa itu bagaimana tidak dapat dijelaskan kerana ia masih samar-samar.

PATI GENI
Ia sama dengan ngebleng. Pengamal perlu berada dalam bilik, tak boleh keluar, tak boleh tidur, kena berjaga dalam bilik. Jangka masanya boleh 24 jam, 3 hari, 7 hari. Urusan buang air semua perlu dilakukan dalam bilik. Ada niatnya, dalam bahasa Jawa dan diakhiri menyebut, "kerana Allah Taala!" Mungkin perkara ini perlu teguran dan pembetulan, pati geni bukanlah syariat, jadi amalan ini berkaitan kebiasaan dan kejawenan sahaja.

MUTIH
Ini pun biasa orang sebut. Maksudnya makan nasi pautih dan air putih sahaja. Boleh mandi basah rambut dan ketika mutih kena baca mantera tertentu. Juga masih menyebut seperti ini: "...putih koyo bocah mentas lahir dipun ijabahi gusti Allah."

NGERUH
Puasa hanya makan sayur dan buah-buahan sahaja, tidak boleh makan daging, telur dan ikan.

NGEBLENG
Tidak boleh makan, minum, keluar rumah, melakukan seks. Kurangkan tidur, tak boleh keluar rumah atau bilik dalam masa 24 jam, kena bergelap. Boleh keluar hanya untuk ke tandas sahaja.

NGELOWANG
Dilarang makan dan minum pada masa tertentu. Boleh tidur 3 jam sahaja. Boleh keluar rumah.

NGANYEP
Boleh makan, tetapi semuanya tawar belaka, sama seperti mutih. Puasa jenis ini diberi kebebasan makan asalkan semuanya tawar, tak ada rasa manis, pahit, masam dan sebagainya. Bolehkah?

NGEROWOT
Dari subuh hingga maghrib, puasa lengkap macam puasa biasa. Ketika sahur hanya makan buah-buahan sahaja, syaratnya sejenis buah sahaja. Kalau pisang misalnya boleh makan tiga biji. Puasa jenis ini boleh tidur kalau letih.

NGALONG
Kena bergayut macam kelawar, kaki atas, kepala bawah. Tak boleh bergerak-gerak kalau lenguh. Biasanya selepas ngalong, mereka melakukan ngerowot pula.

NGELUWANG
Kena berani, kerana boleh lihat alam ghaib dan menghilangkan sesuatu. Pengamal perlu dikuburkan di kawasan perkuburan atau di tempat yang sunyi. Konon apabila bersendirian, dia akan dapat melihat makhluk halus berkeliaran mengacau. Ketika itu bacalah mantera yang telah diajarkan. Mantera yang diajar juga menyebut "...kerana Allah Taala."

NGIDANG
Boleh makan, tetapi hanya daun-daun sahaja, minum air putih. Makanan lain tidak dibenarkan.

NGEPEL
Satu hari  makan satu kepal nasi sahaja. Ada juga yang dibenarkan 2-3 kepal nasi kosong.

NGESREP
Boleh makan dan minum makanan tawar. Syaratnya 3 kali sehari, tidak boleh lebih.

WUNGON
Tidak boleh makan dan minum dan tidur selama 24 jam.

LELONO
Kena jalan kaki dari pukul 12.00 tengah malam hingga jam 3.00 pagi paling minimum. Gunanya untuk introspeksi diri.

TAPA JEJEG
Tidak boleh duduk dalam masa 24 jam, jadi kena berjalan tak tentu hala.

KUNGKUM
Telanjang, bersila dalam air [cetek dan bersih] air paras leher, lakukan di pertemuan dua sungai. Kalau boleh lawan arus. Kawasan yang sunyi tak ada orang lalu-lalang. Lakukan paling sedikit dari pukul 12.00 tengah malam hingga jam 3.00 pagi.  Paling sedikit lakukan 15 minit. Tidak boleh tidur dan tak boleh bergerak-gerak. Kalau ular anaconda datang memebelit, diam sahaja, kalau anaconda telan? Sendiri jawablah. Ada bacaan mantera.

Semua amalan yang disebutkan ini tidak ada dalam ajaran Islam, ia hanya ajaran dalam Kejawen. Kenapa mereka berpuasa begitu pelik? Ia bertujuan mendapatkan ilmu, mensucikan batin, agar ghaibnya ilmu keluar dari badan. Maksudnya, ketika ilmu diperlukan ia akan hadir secara tiba-tiba. Kemudian puasa mutih, ia ada efek dalam tubuh, ia melahirkan energi ghaib dalam tubuh atau yang berada di luar akan masuk ke dalam tubuh. [Disari dari berbagai sumber]. []

No comments:

Post a Comment