Sunday, 10 June 2012

PHI PHU - AHLI SIHIR ATAU BOMOH SIAM

Pengetahuan umat terhadap ahli sihir atau bomoh memang terhad. Umat Melayu sejak dahulu sudah lama kenal bomoh atau dukun. Mereka tidak mengira siapa yang menjadi dukun atau bomoh itu, kalau kebetulan tinggal sekampung, dekat rumah, maka orang itu yang akan dijadikan rujukan utama.
Bertanyalah mereka akan hal-hal yang tak masuk akal.
Mereka anggap jika seseorang itu sudah dikenali sebagai bomoh atau dukun, apalagi dikenali sebagai bomoh Siam, maka kedudukannya di sisi penggemar dunia perdukunan berada di tahap yang tertinggi.
Tidak hairan ramai orang Melayu pergi berubat kepada bomoh bukan Islam, seperti dukun yang menyembah berhala untuk mendapatkan nasihat, pandangan atau berubat.
Perkara ini berlaku kerana maklumat tentang perdukunan masih terhad.
Orang Melayu tidak membezakan latar belakang dukun yang hendak ditemui.

BOMOH ASLI
Contoh, sudah lama saya dengar orang Melayu mendatangi dukun Orang Asli di Melaka dekat Alor Gajah, mereka temui dukun yang dikatakan hebat itu semata-mata untuk mendapatkan minyak pengasih, minyak pelembut, agar suami tidak mencari orang lain dan sebagainya.
Pendeknya, minyak pengasih dari bomoh ini dianggap ampuh. Semuanya kerana istilah ruqyah syar'iyyah tidak ada dalam kamus kepala mereka. Kalau disebut pun mereka rasa pelik.
Begitu juga dengan kepandaian bomoh Siam.
Memang jadi sebutan dari dulu pun. Konon Phi Phu ini sangat mahir dalam kemistikan. Dia menguasai bidang perdukunan mengikut cara dia. Ada orang berhajat jumpa Phi Phu kerana nak dapatkan ilmu bagi mengenakan orang lain yang tidak disukai.

BOMOH SIAM
Kehebatan ilmu dari bomoh Siam ini kata mereka boleh dikenakan secara calitan, terutama minyak pengasih. Sesiapa yang teringin kelihatan tampan atau cantik menawan, juga boleh dapatkan hidmat bomoh Siam.
Selain itu dikhabarkan, mereka juga ada kepandaian siluman, boleh menyamar dan wujud di dua tempat pada satu masa. Dia menggunakan dampingan.
Kemudian ada pula yang ahli dalam mengubah diri menjadi siluman harimau atau haiwan apa sahaja yang dikehendaki.
Ada pula ilmu yang konon mencarik adat, boleh mempercepatkan perjalanan. Boleh memiliki tenaga yang luar biasa.
Ilmu yang dimiliki oleh bomoh Siam jenis ini kata yang empunya cerita tidak boleh dibuang begitu sahaja. Ia kekal menjadi saka dan warisan.
Bagaimana kalau bomoh ini menjadi sami? Menurut cerita, sesiapa yang jadi sami, ilmu perdukunan yang ada itu akan tawar dan menjauhkan diri yang empunya ilmu. Akan tetapi jika dia keluar dari dunia sami, maka ilmu itu akan datang semula.

KAWAN SAMI
Orang Melayu sudah lama mengetahui kepandaian bomoh Siam. Ada seorang kenalan penulis yang berkisah, bahawa dia baik dengan sami Siam, dan kemudian dibawa berjumpa bomoh Siam.
Dia amalkan ilmu mengenakan orang. Dia kenakan orang itu hingga sengsara dan membawa maut. Maka sebagai manusia, orang yang dikenakan itu adalah isterinya sendiri, dia hidup dalam kegelisahan. Dia menceritakan apa yang telah dilakukan terhadap isterinya dengan ilmu Siam itu.
Itulah ilmu yang ganas. Dia kenakan isterinya sendiri kerana menurut ceritanya, si isteri berlaku curang dengan lelaki lain. Itulah ubat yang dikenakan kepada orang yang curang. Kemudian dia berkahwin dengan wanita dari seberang dari famili orang Padang. Kini, tidak tahu bagaimana kesudahan ceritanya.
Itulah bahana ilmu bomoh Siam.
Orang Melayu suka jumpa bomoh Siam hanya kerana ingin mendapatkan ilmu pengasih yang dahsyat. Itu kata orang. Pembuktian tidak ada. Semua orang bercakap akhirnya ia jadi popular. Begitu juga dengan Phi Phu ini. Keampuhannya digeruni.
Makanya, ilmu tentang pembeza yang haq dan batil perlu disampaikan kepada golongan yang masih bersila di depan bomoh Siam atau bomoh penyembah berhala atau bomoh animisme, ertinya umat Melayu masih banyak yang jahil, istilahnya jahiliyah.Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment