Friday 15 June 2012

PASAR KARAT MAKIN MERIAH

SUDAH LAMA SAYA tak jenguk pasar karat lorong Petaling Street, di Kuala Lumpur. Mungkin bagi orang luar, nama pasar karat ini tidak ada apa-apa makna. Pasar karat ini statusnya seperti pasar harian di Lorong Kulit, George Town, Pulau Pinang, atau pasar karat di Ipoh, Perak.
Dengan kata mudah, ia adalah tempat orang berniaga barang-barang lusuh, barang-barang lama, barang antik, barang boleh dibaiki, atau sekadar mencari spare part untuk benda-benda tertentu. Di sini tidak ada spare part Ferari, Lumborghini, kerana wadah pasar karat untuk orang-orang biasa.
Lorong ini sudah saya jenguk sejak tahun 80-an lagi. Dan sejak itu saya kerap menjenguk pasar karat untuk mengetahui apa perkembangan terbaru.
Dari lorong ke lorong sudah dihafal siapa yang berniaga di situ.
Walaupun kerap masuk ke situ, saya hanya tertarik untuk membongkar buku-buku lama jika ada yang sesuai untuk digapai dan digarap isinya.
Kini, peniaga pasar karat makin bertambah. Ruang niaga di lorong sudah penuh, maka peniaga terpaksa berniaga sementara dalam waktu terhad di Jalan Sultan.
Paling banyak penjual pakaian, baik yang terpakai, bundle atau pakaian baru harga murah. Ada juga yang menjual peralatan sukan, beg, CD lama, laptop, kamera digital, cincin, batu akek, jam tangan, kain selimut, kasut berbagai jenama, termasuk yang baru, dan yang menariknya ada peniaga menjual akhbar terbitan luar negeri zaman perang dunia dulu.
Kalau yang gila gajet telefon tangan, maka lorong ini pun sedia melayani anda. Di lorong ini juga masih ada apek yang menjual ubat perangsang seks yang kotaknya memaparkan gambar berahi.
Ini belum lagi seorang lelaki keturunan India yang kerap merapu, menjual video lucah.
Kelompok peniaga dari Indonesia pula menjual makanan haiwan, ubat gigi, shampoo dan sabun. Bermacam cokelat dan gula-gula yang tidak diketahui tarikh luputnya.
Ada juga yang menjual minyak panas untuk urut. Menjual kuih-muih.
Pasar karat ini tidak menentukan apa barangan yang hendak dijual. Apa sahaja yang boleh dilambakkan, maka terpulang kepada sesiapa untuk mendapatkan benda lambakan.
Biasanya pasar karat meriah pada hari Sabtu dan Ahad. Inilah masa yang paling sesak dan sendat. Pelancong sesat pun ada di situ.
Kalau ingin mencari kawan-kawan lama pun boleh jenguk lorong ini. Namun, pengunjung yang paling ramai adalah orang Malaysia. Meski Nepal, Bangladesh ramai di kawasan sekitarnya, mereka tidak berminat masuk ke pasar karat. []

1 comment: