Tuesday 12 June 2012

CATATAN AWAL TAHUN 70-AN DI KAMPUNG

Tahun 70-an adalah fasa setelah 13Mei 1969.
Di kampung ada sebuah balai raya. Balai ini biasanya digunakan sebagai tempat pertemuan, baik mengadakan mesyuarat atau perjumpaan biasa.
Mungkin pada masa itu pengetahuan tentang persatuan dan pertubuhan tidak ada dalam kepala saya, maka saya selalu perhatikan bahawa balai raya di kampung itu selalu dibiarkan kosong. Tingkap ditutup, pintu ditutup walaupun tidak dikunci. Sesiapa pun boleh masuk. Dan saya pun di zaman awal remaja kerap masuk ke situ.
Kini setelah balai raya lama itu dijadikan pasar basah untuk jual ikan, sebuah balai kecil dibina di sebelah rumah pusaka kami di kampung warisan. Entah idea siapa, khabarnya semua ini kerana peranan Umno kampung dan pengaruh Khir Toyo pada masa itu.
Menyentuh tentang balai raya tahun awal 70-an ini, saya lihat, ia sudah dijadikan tempat persendirian. Balai raya kampung sudah dijadikan kedai kopi. Ada sebuah televisyen hitam putih diletakkan di situ untuk tontonan orang kampung sambil minum dan makan-makan apa yang ada.
Selain kedai kopi, balai raya yang ditadbir oleh pemimpin kecil Umno kampung menjadikan ia sebagai wadah untuk buat "indoor game" betapa tidak, setiap hari, pemimpin kecil kampung yang tak perlu saya sebutkan namanya, sentiasa duduk menghadap meja dan bermain MACOK.
Ada yang menyebutnya mahjong. Permainan ini sudah menjadi suatu permainan berstatus di kampung. Saya sendiri tidak faham, buah dadu itu disusun dan kemudian dirombak dengan kedua tangan, sambil meletak cawan kopi atau teh, kotak rokok, semua mereka terlalu asyik dengan permainan mahjong gaya Melayu kampung.
Setiap kali saya hendak ke kedai membeli sesuatu, saya pasti singgah menjenguk orang kenamaan kampung sedang bermain mahjong. Permainan ini mengingatkan saya kepada permainan yang digemari oleh P Ramlee dan kawan-kawannya pada masa itu di Chow Kit. Kebetulan di zaman remaja saya sempat bertandang melihat bagaimana mahjong dimainkan di kedai apek yang sekarang tempat itu menjadi balai bomba Chow Kit. Di situ dulu Yusuf Surya menjalankan perniagaan restoran makanan Melayu.
Pada masa dulu, tidak ada orang memperkatakan tentang boleh atau tak bolehnya bermain mahjong begitu. Permainan ini sebenarnya ada kaitan dengan amalan berjudi.
Apakah pemimpin kecil kampung pada zaman Juara Kugiran itu tidak berjudi secara kecil-kecilan? Memang saya lihat ada duit ringgit tersusun di sudut meja. Dan duit itu kemudian masuk poket masing-masing setelah dikira.
Zaman itu, orang hanya pentingkan solat Jumaat seminggu sekali. Solat fardu hanya sesiapa yang rajin. Siapa nak buat boleh buat, jangan nak sibuk soal orang lain. Itulah pandangan sekilas tentang sebuah balai raya yang kehilangan fungsi. Ia menjadi tempat orang main mahjong setiap hari. Permainan ini dianggap "boleh" oleh para pemimpin kampung yang pada masa itu semuanya Umnoisme belaka alirannya.
Kini dalam tahun 2012, balai raya tempat orang main mahjong dalam tahun 70-an itu masih wujud. Ia adalah harta kerajaan. Dengan kecerdikan pemimpin kampung, ia dijadikan pasar ikan. Itupun tidaklah hebat jika dibandingkan dengan pasar ikan di Sekincan sana atau di Sungai Besar.
Kadang-kadang apabila teringatkan balai raya ini, saya teringat semula kisah lama, bagaimana Tuk penghulu muda di kampung saya yang kemudian bertanding dalam pilihan raya sebagai calon BN, dia menang dan menjadi Adun Sg Panjang sepenggal. Adun inilah yang menjadi kecoh setelah membaca sebuah cerpen tulisan saya bertajuk MABUK dalam MM, tahun 73. Kalau tidak salah.
Gara-gara cerpen itu, puak-puak Umno mencari saya di serata kampung, ada yang beritahu saya, mereka hendak memukul saya kerana marah membaca cerpen yang menyindir.
Sejak itu saya sudah berseteru secara politik. Dan apabila dikenangkan sikap saya terhadap Umno pada masa ini, ia sebenarnya putik yang lama dulu.
Dulu puak Umno di kampung marah kepada saya, sedangkan waktu itu saya aktif dalam Umno di Maran, Pahang. Itu zaman Dato Hishamuddin Yahya masih aktif dan Puan Sariah Kamiso. Maknanya, orang Umno marah kepada budak Umno.
Kini 2012, Umno bukan lagi pakaian rasmi lagi. Anak-anak muda hari ini memandang Umno sebagai parti orang lama. Tidak ada pembaharuan, berfikiran lama, kolot dan tak mahu perubahan.
Apabila teringatkan sebuah balai raya kampung dijadikan tempat main mahjong oleh para pemimpin kecil kampung, jelaslah, mentaliti kampung begini juga ada di mana-mana di seluruh negara. Ketika tidak ada dewan mohon diberikan dewan, ketika tidak ada padang bola mohon diberikan padang bola, ketika tidak ada padang golf minta dibinakan padang golf untuk meinan budak-budak kampung yang termoden, begitu juga gelanggang takraw, gelanggang silat, badminton, lawan pedang, lawan kapal selam, dan macam-macam permainan dahsyat, maha rasanya main mahjong elok dijadikan sukan nombor satu.
Dalam siri pengkisahan P Ramlee seniman, tak ada siapa berani sebut bahawa mahjong adalah permainan yang paling digemari seniman veteran kita, terakhir dalam tahun 80-an masih ada gelanggang mahjong di mana artis veteran turut menghabiskan masa di sebuah kedai kopi. Kini tempat itu sudah jadi Wisma GM tempat pemborong di Chow Kit. Saya bersama penyanyi Azim Chan, kerap bertemu di situ. [] 

No comments:

Post a Comment