Thursday 14 June 2012

KISAH ILMU KARUT, MAYAT PANTANG SENTUH TANAH

BAGAIMANA agaknya kalau ketika seseorang sedang memandikan jenazah, tiba-tiba ada orang berbisik, "Jenazah ini tidak boleh terkena tanah!" Tentulah huru-hara jadinya.
Bagaimana hendak mengatasi agar mayat tidak terkena tanah? Pada dasarnya setelah dikafankan, ia masih dilapisi kain putih dan tidak tersentuh tanah.
Akan tetapi jenazah yang tidak boleh kena tanah ini adalah angkara amalan ilmu karut yang orang panggil ilmu aji pancasona. Ilmu ini hanya cerita dongeng sahaja, kebenarannya jauh sekali. Sebagai bahan penyendal kisah dongeng mistik, maka ia adalah wajar, hendak diyakini memang banyak yang lari dari fakta.
Pertama sekali, ilmu karut ini konon pernah diamalkan oleh seorang Adipati Blitar bernama Joyodigo. Dia berdarah bangsawan Mataram.
Dia memang wujud kerana ketika hayatnya, tokoh ini pernah berdampingan dengan Diponegoro. Jadi, dia memang tokoh yang hidup, bukan watak rekaan. Cuma yang menjadi persoalan benarkah dia mengamalkan ilmu aji pancasona?
Bukan senang hendak mempelajari ilmu yang satu ini. Pertama sekali kena berguru. Hendak berguru kepada siapa kerana menurut sumber yang asal, ia ada kaitan dengan kisah Ramayana, kisah dari zaman Hindu.
Di sinilah cerita terasa bermain-main. Mana mungkin sebuah ilmu yang dikatakan hebat, asal-usulnya tidak dinyatakan dengan jelas.
Bahkan menurut cerita, Joyodigo bukan sahaja belajar ilmu ini daripada manusia sebagai guru, malah dia juga belajar ilmu karut itu dari makhluk halus, entah syaitan, entah jin atau lelembut yang berkeliaran itu.
Inilah yang menjadi pertikaian. Benarkah dia berguru kepada syaitan? Berguru kepada lelembut? Ini membawa maksud ilmu yang dipelajari adalah ilmu kesyaitanan, itulah ilmu aji pancasona.
Mungkin kerana ilmu itu terlalu mempesona, maka digelar pancasona agar puitis dan sinkronis.
Hal yang memelikkan lagi ialah, sesiapa yang ingin belajar ilmu ini dia perlulah menjalani puasa ngalong, maksudnya, kena berpuasa selama 40 hari 40 malam dengan cara meniru perangai kelawar atau kalong. Kaki disangkutkan pada dahan pokok dan kepala tergantung ke bawah. Kaki atas kepala bawah. Siapa sanggup melakukan amalan pelik ini?
Tempohnya sebulan lebih, tak makan dan tak minum? Lagi tidak logik. Dia perlu makan dan perlu rehat, jika tidak peredaran darah akan tertumpu ke anggota bahagian kepala. Ini memudaratkan diri pengamalnya, sekalipun ia ilmu hebat bergelar aji pancasona.
Ngalong adalah salah satu bentuk puasa Kejawen. Dalam Islam tidak ada ngalong. Ngalong adalah amalan menyeksa badan, meniru perangai kelawar adalah amalan yang mengada-ngada, bukan bid'ah lagi.
Hairannya, mereka berniat kerana Allah taala, sedangkan ia tidak ada dalam tuntutan agama. Lihatlah, cara mereka berniat: "Niat ingsun ngalong,anutupi badan kang bolong, siro mara siro mati, kang gangga maang jiwa ingsun, lebur kaya dene banyu kerno Olloh Taala."
Di zaman serba mencabar ini, ilmu aji pancasona semakin terbiar, ia hanya jadi bahan catatan atau dongeng ilmu masa silam.
Walaupun begitu, seandainya Joyodigo yang dikatakan sezaman dengan Diponegoro, dia jadi Adipati lagi, maka kehebatan ilmu ini hanya merupakan bahan cerita yang dituturkan.
Bayangkan, Digo khabarnya pernah melakukan perang gerila terhadap Belanda iaitu di zaman Perang Diponegoro dulu. Digo pernah dihukum mati, mayatnya dicampakkan begitu sahaja kerana Belanda tidak tahu rahsia mistik aji pancasona.
Sedangkan menurut ilmu yang dipusakai itu, sesiapa yang mengamalkan ilmu pelik ini - ilmu aji pancasona, orang itu bolehlah dianggap hidup berterusan, tak mati-mati. Digo kerana ada amalan ilmu tak lut "nyawa" sebaik dicampakkan oleh Belanda, dia pun bernafas semula dan melarikan diri.
Atas dasar cerita ini, iaitu kehidupan pertama kali setelah dibunuh Belanda, maka cerita ilmu menjadi bahan jajaan orang ke sana-sini.
Berbalik kepada kisah urusan jezanah tadi. Jika Digo yang sakti mayatnya tidak boleh kena tanah, maka bagaimana hendak menguruskan jenazahnya?
Sesuatu yang pelik telah dilakukan oleh warisnya. Jenazah Digo diletakkan ke dalam keranda besi. Ditutup. Diberikan tiang dari besi. Jadilah sebuah keranda tergantung.
Di kemudian hari kisah keranda tergantung ini jadi bahan cerita orang. Ramai yang ingin menziarahi makam pelik yang dikaitan dengan pengamal ilmunya Pak Joyodigo.
Disebab jurukunci atau penjaga makam pandai berkisah, maka pelawat yang datang semuanya kagum dan terasa seram sebaik melihat keranda besi yang luar biasa itu. Itulah pemakaman Patih Blitar yang terkenal itu. Dia meninggal dalam tahun 1905 ketika berusia sudah ratusan tahun.
Menurut kisah, warisnya kasihan melihat orang tua itu "sentiasa hidup" sebaik tersentuh tanah, maka untuk menyelamatkan agar dia meninggal dengan aman, maka keranda daripada besi dicipta khas untuk Digo.
Peranan penjaga makam atau mereka yang tinggal berdekatan makam sangat penting.
Berkaitan makam Digo, jurukunci berkata, makam itu sampai sekarang ditunggu oleh dua makhluk mistik seekor ular besar [besarnya bagaimana tidak tahu, tetapi jika berkata sebesar batang kelapa, ia keterlaluan] dan seekor harimau belang.
Makhluk mistik itu menurut tukang cerita adalah pengawal peribadi Patih Blitar pada masa silam. Setelah meninggal makam Patih yang pelik itu ditunggu oleh dua makhluk jelmaan itu.
Kisah Digo seorang Patih Blitar adalah kisah benar. Akan tetapi kisah dia mempunyai ilmu aji pancasona yang pelik dan luar biasa, setiap kali menghembuskan nafas akhir, jangan sesekali terkena tanah mayatnya, maksudnya, jangan dikuburkan seperti orang lain. Jika dikuburkan dia akan hidup semula.
Inilah cerita yang mencarik adat. Kisah begini pada masa silam mungkin boleh diterima masyarakat, tetapi di zaman sekarang, ia hanya jadi bahan ketawa.
Meski wataknya benar, tarikh kematiannya benar, namun cerigta yang mengatakan Digo mempunyai ilmu aji pancasona, yang konon dipelajari dari manusia dan makhluk halus, maka ia jadi cerita karut.
Kemudian, jika ada yang berkata mayatnya tak boleh terkena tanah, kerana ia akan hidup semula. Ia mungkin bukan hal dirinya yang sebenar, tetapi makhluk lain yang telah menyerupai dirinya sehingga seolah-olah hidup.
Inilah sukarnya sesiapa yang belajar ilmu aji pancasona. Ia menimbulkan fitnah.
Sehingga sekarang, makamnya jadi tumpuan orang ingin belajar ilmu secara mistik ghaib. Secara spiritualis, mereka datang ke makam pelik itu mengharapkan ada ilham atau mimpi lelaki berjubah memberikan ilmu.
Namun, tidak ada sesiapa pun yang mendapat ilmu secara mimpian begitu.
Mungkin cerita kehebatan Pak Digo ini ada kaitan dengan darah bangsawan Mataram dan kehebatan penentangan tokoh ini terhadap pasukan Belanda. Wallahu a'lam.[ bahan disari dari cerita yang dipetik dari majalah Misteri, Jakarta]. []
 

No comments:

Post a Comment