Friday 29 June 2012

TATU DAN DUNIA GLAMOR

SEORANG ARTIS [saya tak suka menulis terkenal, tersohor] mengakui sudah tiga tahun tidak mengikuti perkembangan dunia nyanyian walaupun dia seorang penyanyi dulunya. Jadi dia tidak kenal nama komposer baru, dia hanya melihat dari jauh sahaja.
Lagipun, dunia hiburan ini warganya sentiasa keluar masuk, ramai yang mengidam mahu popular, dikenali dan meletup-letup namanya. Namun banyak juga yang kepenatan di tengah jalan dan terus duduk mendiamkan diri.
Memandangkan dunia hiburan ini amat rapat dengan dunia yang dibenci, maka ada baiknya anak-anak muda hari ini tidak tergiur sangat dengan dunia hiburan.
Dunia hiburan sebagaimana semua orang tahu adalah bidang yang terkeluar dari urusan ibadah. Jangan kata menyanyi dan menari-nari atas pentas itu satu tugas mulia menghiburkan orang kalau perbuatan itu melibatkan pendedahan aurat, ada percampuran lelaki perempuan, ada orang bertepuk tangan suatu perbuatan yang disenangi syaitan dan sudah tentu dalam dunia hiburan ini pelekaan dan pembuangan masa lebih diutamakan.
Justeru, menjadi artis bukanlah suatu pilihan walaupun orang selalu memandang penampilan luaran, kereta cantik, rumah besar, ada anugerah, ada hadiah, setiap hari sibuk layan wartawan dan peminat, ada show di sana, ada show di sini, semuanya berbayar - itu pada tahap tertentu sahaja,
Apabila masanya apabila telah tiba untuk mengundurkan diri, maka berundurlah, dan jangan perasan kalau orang tak kenal ketika lepak di mana-mana, jangan marah kalau orang tak undang, jangan cemburu orang baru banyak yang menonjol, maka dunia hiburan ini tidak perlu dicemburui.
Perbuatan menyanyi, menghafal lirik lagu banyak-banyak untuk dijadikan stok show mendatang, semua ini tidak mendatangkan faedah, jauh sekali apa yang dinamakan sebagai pahala.
Tanyalah, adakah menghafal lirik lagu itu ada pahalanya? Tanyalah apa ganjaran menyanyi lagu sedap-sedap yang lagunya dikompos oleh orang lain itu?
Memang ini soalan yang tak patut. Walau tak patut, ia sekurang-kurangnya membuka minda golongan muda yang terkinja-kinja hendak jadi terkenal atau ingin jadi artis.
Panggilan atau gelaran artis terlalu umum. Budak muda buat kerja grafik pun artis juga. Yang dalam studio pun artis juga. Yang di pasar seni pun artis juga. Yang buat tarian di depan pura dan puri pun artis juga. Dalang, orang wayang dalam kategori wayang apa pun tetap artis juga.
Di tempat kita, artis yang digemari adalah artis yang glamor. Kalau boleh gambar sentiasa terpampang dalam majalah dan ruang hiburan majalah. Yang kemaruk, akan gunting dan tampal gambar buat hiasan dinding dalam bilik.
Tengoklah bilik anak muda yang ada, gambar artis yang bukan-bukan ditampal. Ibu bapa yang tak ada ilmu tidak terfikir bahawa menampal gambar macam itu tidak kena sebagai umat Islam. Apa lagi gambar artis, tak kira artis Melayu atau bukan Melayu - sebab semuanya dedah aurat, dan tak boleh disimpan pun dalam rumah, dan sebaik-baiknya jangan membeli majalah hiburan yang paparkan gambar artis keterlaluan.
Itu semua kerja siapa? Para petugas medialah. Utamanya jurufoto yang sentiasa menyentuh dan menegur artis yang hendak dirakamkan gambarnya dalam studi atau di luar studio. Kerjanya asyik bermaksiat, wanita dedah aurat diutamakan, bertahun-tahun itulah kerjanya. Sudahnya bagaimana nanti, hanya apabila sudah tinggalkan bidang ini baharulah mereka sedar, semua yang dilakukan adalah perbuatan yang ditegah. Bukan soal cari makan.
Kemudian di kalangan yang menjadi artis termasuklah yang tidak tahu apa hukum-hakam, atau memikirkan untuk suka-suka sahaja di masa awal remaja. Sanggup pula buat tatu pada badan, tak kira di lengan, di dada atau di mana-mana. Apabila rasa diri terkenal, tatu itu akan jadi bahan yang amat fokus kepada orang lain [saya tak suka sebut peminat, tak sesuai untuk disebut peminat].
Mereka yang sudah buat tatu kekal, maka benda itu tidak dapat disorok lagi. Tidak kiralah artis atau bukan, sesiapa yang telah buat tatu biasanya akan menyesal di kemudian hari. Bagaimana hendak membuangnya kalau ia tatu jenis kekal?
Biasanya orang sudah dapat mengenal orang yang bagaimana berani bertatu pada lengan atau dada. Dan lakaran tatu yang "berseni" itu setengahnya adalah lakaran yang menyerupai gambaran iblis atau perwatakan Lucifer di dalam kefahaman tentang iblis di luar dunia kita [baca: islam].
Yang paling melampau kalau mereka melukis tatu perempuan bogel atau simbol seks. Mungkin ketika jiwa muda mereka hanya fikirkan untuk suka-suka sahaja. Ramai umat Melayu yang begini, lagipun tatu bukan ada sesiapa nampak. Pakai baju semua terlindung, siapa pun tidak tahu.
Selain kalangan artis yang bermasalah, ada juga orang berkedudukan, anak menteri pun ikut bertatu. Seorang anak bekas menteri yang tinggal di Ampang Hilir juga bertatu seluruh lengan kanan dan kiri. Dia sanggup berkelana ke Kampuchea, mungkin di sana dia rasa bebas kerana tidak ada mata yang memandang tatunya.
Dunia artis adalah dunia glamor. Ia tidak jadi glamor kalau tidak ada media yang menggembar-gemburkan artis. Media yang hebohkan tentang karpet merah semua. Hanya wartawan hiburan yang sibuk membesar-besarkan cerita ini, kalau tidak artis tidak ke mana. Begitu juga isu tatu, kalau tidak dibisingkan dalam media, maka orang pun tak tahu si fulan dan si fulan ada tatu di lengannya. []

1 comment:

  1. bomoh memang lah power sangat,jarak jauh die bole buat kwn2 nak try bole sye letak nmbor whatshap die 0174334165(tok keramat gunung)..

    ReplyDelete