Sunday 3 June 2012

TENTERA IBLIS BERKELIARAN

Setiap hari tentera iblis berkeliaran mencari mangsanya. Mereka terlalu ramai bilangannya sesuai dengan sumpah yang telah dilafazkan, bahawa dia akan mendatangi umat ini dari setiap penjuru, maka tidak ada arahlah umat ini hendak mencari ruang berlindung.
Sesiapa yang lalai, mengabaikan solat, mengabaikan zikrullah, mengabaikan membaca al-Quran, maka orang itu akan dijadikan sasaran tentera iblis.
Di ceritakan oleh Zaid bin Mujahid, ada beberapa ekor anak iblis dengan tugas masing-masing untuk menyesatkan manusia.
Setiap anak iblis ini melahirkan keturunan dan berkembang biak hasil dari zina antara mereka dengan syaitan betina yang lain, dan sudah tentu tanpa kita sedari, melibatkan kerja jahat manusia.
Bahkan ada sumber kepercayaan di suatu tempat di Nusantara ini, bahawa makhluk jahat ini dapat berkembang biak sekiranya ada muda-mudi yang melakukan zina di kawasan tersorok  seperti misalnya di kawasan pantai peranginan, hutan lipur atau kawasan air terjun.
Muda-mudi yang cuai, asyik melampiaskan nafsu berahi mereka tidak menyedari, di keliling mereka adalah makhluk-makhluk halus yang sedang menunggu kerja zina berlangsung.
Mereka juga berperanan membujuk agar zina tetap berlaku di situ, kerana makhluk seperti peri sangat mendambakan ceceran air mani dari pasangan ini.
Ada yang mengatakan penggunaan kondom memudahkan tentera iblis menjalankan operasinya. Dan idea membuat produk anti hamil ini adalah idea keiblisan yang kita tidak menyedari langsung.
Dan tidak hairan, kondom dijual di merata tempat, termasuk kedai 24 jam, ia umpama membeli gula-gula getah. Inilah yang dikatakan kemenangan tentera iblis.
Memang perkara ini seperti kisah kebatilan dan khurafat, tetapi ada yang mempercayai bahawa proses perkembangan makhluk halus sejenis peri atau pari-pari, adalah bergantung kepada kerja jahat manusia. Tidak kiralah, sama ada mereka melakukan zina di tempat yang disebutkan tadi, atau di bilik hotel, di dalam kereta yang tersorok, maka tentera iblis sedia menunggu untuk mendapatkan habuannya.
Zaid bin Mujahid mengatakan, gelaran anak iblis itu ialah Tsabr, A'war, Muswath, Dasim, Zaknabur, Khanzab dan Walhan.
Daripada nama-nama pelik ini mereka ada tugasan masing-masing.
Tsabr umpamanya, menggoda manusia agar melakukan kemaksiatan ketika seseorang itu sedang ditimpa kesusahan dalam hidup atau ketika murung. Mereka memujuk umat agar berzina, bunuh diri, menghisap dadah, minum minuman keras atau berjudi bagi melupakan kesedihan.
A'war pula tugasnya mengobarkan nafsu manusia, terutama mereka yang sedang berpacaran atau asyik bercinta atau gemar bertukar pasangan. Makhluk ini fokus kepada zina. Maka mereka cukup gemar kepada video fitnah seks, gemar kepada gambar-gambar lucah, you tube lucah, gambar remaja bogel, cerita lucah, berkata lucah, sms lucah, dan pendeknya apa sahaja kelucahan memang kerja iblis ini. Sudah ramai yang masuk perangkap mereka.
Miswath pula fokus kepada pembicaraan, menggerakkan manusia agar berkata dusta bagi menimbulkan kemarahan, menabur fitnah supaya orang bermusuhan.
Dasim pula fokus mengaduk emosi manusia agar jadi marah yang keterlaluan, perkara kecil jadi besar, pertengkaran biasa hingga bertetak dengan parang atau melepaskan tembakan, gaduh hal kecil boleh merebak hingga bercerai-berai. Maka Dasim dan tenteranya bergembira kalau manusia sentiasa bergaduh meskipun dalam satu keluarga.
Zaknabur, iblis jenis ini menumpukan pada bidang muamalat. Dia menghasut para peniaga untuk mencari untung berlebihan, berniaga curang, menipu timbangan dan sukat, riba, dan sebagainya. Mereka fokus kepada bisnis besar, tidak kiralah jenis konglomerat atau apa pun. Projek mega lagi digemari oleh tentera iblis ini. Meleburkan wang rakyat dengan sesia tanpa peduli orang lain kesusahan mencari kerja dengan gaji yang kecil. Iblis dan manusia bersekongkol sekali dalam bidang ini.
Khanzab pula tugasnya menyibukkan manusia. Celik sahaja terus sibuk bagai lipas kudung mencari duit. Hanya duit sahaja yang difikirkan, buat-buat sibuk dengan bermacam agenda dan mesyuarat sana dan sini. Kemudian matlamat asalnya adalah melalaikan umat daripada mengerjakan solat. Sibuk yang keterlaluan hingga solat zohor, asar dan maghrib hilang percuma. Kesibukan ditambah pula dengan kesesakan lalu-lintas. Tentera iblis bersorak gembira melihat umat sentiasa sibuk 24 jam.
Kemudian iblis yang bergelar Walhan, kerjanya mengganggu orang yang nak solat. Ketika wuduk diberikan rasa was-was yang berlebihan, ketika melakukan sesuatu perkara semuanya dalam was-was, ada sahaja yang tidak kena. Inilah tentera iblis punya penangan.

IBLIS DIBANTU MANUSIA
Sungguh beruntung iblis di dunia ini. Walaupun bunyinya mereka ini seperti bertungkus-lumus hendak menjahanamkan manusia, mereka sebenarnya melakukan tugas dengan cukup mudah.
Manusia yang cenderung kepada mereka cukup ramai. Kelalaian dan kecuaian umat menjadikan iblis berpesta pora.
Mereka bersedih kalau ada umat yang sujud, apalagi sujud sajadah. Mereka pun merasuk umat ketika subuh, kencing agar umat tidak mendengar suara muadzin subuh, "Solat lebih baik daripada tidur!" tetapi kencing tentera iblis menyebabkan subuh berlalu dengan mimpi indah.
Tentera mereka boleh tumpang ketawa ketika melihat umat menguap dengan mulut terbuka luas ketika solat atau ketika di luar waktu solat. Mereka gembira kalau orang lupa kepada solat, lupa menyebut nama Allah, lupa membacakan ayat-ayat yang boleh melebur kehadiran tentera mereka.
Justeru itu, sesiapa yang solat berjemaah memang sangat dibenci dan dikutuk habis-habisan oleh tentera iblis.
Kerja iblis menjadi mudah kerana buat masa ini manusia lupa bahawa tentera iblis memainkan peranan yang intensif dalam bidang kesenian dan hiburan.
Di sinilah umat lebih ramai yang lalai dan cuai dalam solat. Ketika orang sibuk solat maghrib, mereka sibuk pula masuk panggung, sibuk masuk kelab, sibuk masuk ruang konsert atau sibuk hendak menyaksikan perlawanan bola sepak.
Sorakan, tepukan serta jeritan mereka menyebabkan tentera iblis turut merasakan kegembiraan bersama umat.
Tentera iblis paling beruntung. Muslihat mereka menjadi. Ramai yang sudah kecundang kerana serangan hendap tentera iblis tidak mengira masa. Mereka cukup dahsyat melakukan siasat dan menyesatkan umat. Mereka tidak tidur, mereka sentiasa mencari dan terus mencari.
Dan ketika ini, tentera ini juga sedang mengintai para blogger. Wallahu a'lam.[]

1 comment:

  1. bomoh memang lah power sangat,jarak jauh die bole buat kwn2 nak try bole sye letak nmbor whatshap die 0174334165(tok keramat gunung)..

    ReplyDelete