Tuesday 12 June 2012

PELESIT: MISTIK BELAAN MISTERI

SEKALIPUN pemeran misteri tentang pelesit diadakan, orang masih tidak mempercayai kewujudannya. Ia dianggap sebuah cerita dongeng sebelum tidur. Pelesit bagi mereka adalah makhluk halus yang dinamakan demikian oleh sekelompok orang Melayu terutama dari kalangan kaum wanita. Sebab pelesit ini hanya makhluk belaan kaum wanita pada zaman silam.
Di zaman silam, ramai umat Melayu memelihara makhluk halus. Mungkin ia sesuai dengan zaman yang serba susah, makhluk itu dianggap memberi perlindungan dan boleh dijadikan alat untuk mengenakan musuhnya.
Hairannya, hantu pelesit menurut catatan silam, ia adalah sejenis makhluk halus yang menjadi belaan perempuan berumur bergelar nenek-nenek.
Tentang pelesit ini, penjelasan pernah diberi oleh sarjana Inggeris ketika membuat kajian tentang kepercayaan di kalangan umat Melayu pada masa silam. Mengikut cerita orang ketika itu, pelesit diambil daripada belalang yang mengeluarkan bunyi shit! Shit! Shit!
Bunyi itu begitu nyaring pada waktu malam dan biasanya belalang ini terbang masuk ke rumah, hingga di dinding rumah atau tiang rumah. Kehadiran belalang warna hijau dan berbunyi berdesit-desit ini sangat menyeramkan pada masa umat Melayu ramai yang memiliki belaan.
Ketika itu, belaan dianggap status symbol bagi seseorang. Jadi tidak hairanlah, memiliki makhluk sedemikian tidak dianggap hina, atau pengamal ilmu karut. Bahkan ramai yang hormat kepada nenek-nenek pemilik pelesit.
Sekiranya belalang itu berbunyi nyaring, berdesit-desit, itu tandanya ada makhluk halus berada tidak jauh daripada belalang yang hinggap itu. Hantu bawaan belalang ini hanya ketagih kepada bayi yang baru lahir kerana pelesit sentiasa memerlukan darah. Darah orang bersalin menjadi sasarannya.
Menurut kisah,pelesit dinamakan pelesit kerana yang memeliharanya nenek-nenek. Kalau yang memelihara hantu jenis ini orang lelaki ia dipanggil hantu raya. Itu menurut keterangan kalangan tertentu.
Di tanah Sumatera, ada cerita pelesit yang menarik. Mungkin cerita pelesit di Semenanjung adalah bawaan dari seberang. Mereka memanggilnya palasik kuduang atau pelesit kudung.
Hantu pelesit ini sejak dulu lagi digeruni kerana ia menjadikan ibu-ibu yang baru melahirkan bayi sebagai sasaran utama. Selain itu kalau tak ada bayi, pelesit turut mengganggu budak berumur bawah 5 tahun. Ia juga mengganggu bayi dalam kandungan dan  bayi yang dikuburkan.
Pemelihara pelesit adalah seorang yang berilmu. Dia perlu mempunyai ilmu pelesit. Ilmu ini juga diperturunkan dari seorang kepada seorang lain dalam sebuah keluarga pemilik. Maknanya ia boleh dijadikan barang saka.
Ketika bekerja pelesit dikatakan akan meninggalkan kepalanya di rumah, sementara badan yang kudung itu bergerak mencari sasarannya. Itu sebabnya ia dipanggil pelesit kudung. Kudung tidak berkepala. Pelesit kudung ini dianggap paling ganas di ranah Minang. jika lambat dirawat, korban akan menempah maut.

ASAL-USUL
Semua perkara ada cerita dongengnya. Begitu juga pelesit kudung ini. Ia konon bermula daripada orang yang mengamalkan ilmu menahan lapar. Biasanya di Jawa orang berpuasa pati geni dan macam-macam puasa karut lagi, tetapi puasa ini tidak ada kaitan dengan ilmu pelesit.
Di zaman dahulu untuk menahan rasa lapar, yang mungkin keadaan yang serba kekurangan. Kemudian pengamal ilmu lapar ini melakukan improvisasi dan rekaan ilmu, akhirnya ia berubah fungsi. Sudah tentu kerana salah amal. Membuat tokok-tambah, menyeru atau memanggil sesuatu yang bersifat mistik. Dalam konteks ini, sudah tentu melibatkan makhluk jin dan syaitan.
Kerana memandai-mandi memasukkan elemen baru dalam mantera dan pemanggilan, daripada perbuatan puasa tadi berubah menjadi bundo kandung yang mempunyai bayi.
Khabarnya, ketika itu pelesit ada dua jenis yang digeruni orang, iaitu pelesit angin dan pelesit kudung. Pelesit jenis anginlah yang paling banyak buat angkara. Pemelihara pelesit angin boleh menghantarkan kirimannya dari jauh walau ia tidak bahaya, akan tetapi jika tidak diubati, akan membawa maut.
Di antara dua makhluk mistik ini, pelesit kudung dianggap paling bahaya. Dikatakan, masih ada lagi orang Minang yang menyimpan ilmu saka ini.
Di mana sahaja keturunan mereka berhijrah, maka ajaran ilmu ini akan dibawa sama. Kini ilmu pelesit tidak perlu diamalkan lagi. Ia tidak ada kegunaannya. Malah, jika ada yang masih mengekalkan ilmu lama ini, ia menggambarkan jahiliyah yang sebenar.
Sebenarnya paparan tadi masih tidak memuaskan hati peminat pelesit. Asal mulanya kejadian pelesit masih misteri. Kemudian orang akan tanya apa faedahnya memelihara pelesit? Apakah ia mendatangkan wang kepada pemunyanya?
Itulah sikap orang dulu. Mereka sanggup mengabdi kepada sesuatu yang tidak ada faedahnya. Pada zaman silam, orang melakukan sesuatu perkara tidak dinilai dari segi kebendaan. Jika mereka mampu menyediakan khidmat pelesit, atas tujuan apa pelesit perlu disewakan? Inilah yang orang sekarang musykil. []

No comments:

Post a Comment