Monday 18 June 2012

KEMAHIRAN BUANG SAKA DIPERLUKAN

JIKA terlalu ramai memiliki saka, maka kemahiran membuang saka perlu dipelajari. Saka yang ada hari ini adalah saki baki belaan nenek moyang yang tidak dipedulikan oleh warisnya. Pemilik saka pula ada yang mendiamkan diri dan tidak mahu memberitahu kepada warisnya bahawa ada saka yang ditinggalkan.
Mungkin pemilik saka, iaitu datuk atau nenek kita itu segan hendak beritahu kepada cucunya bahawa dia mempunyai saka.
Sebabnya, perkataan saka itu sendiri sukar hendak diterangkan. Ia tidak seperti kerbau, lembu atau kambing. Tidak seperti cindai, pending, pedang, mata tombak atau keris.
Bagaimana hendak menerangkan kepada cucu yang masih kecil atau awal remaja tentang saka atau jin?
Cucu tidak melihat makhluk itu, dan hanya diberitahu oleh datuk atau nenek sahaja.
Begitulah yang terjadi di Kedah, ada seorang bapa yang terlalu taksub dengan kemelayuannya, taksub dengan silat sebagai salah satu seni mempertahankan diri.
Asal-usul silat sendiri tidak begitu jelas kepada orang Melayu. Begitu juga perihal Tuah lima sahabat yang konon pandai bersilat. Itu hanya cerita.
Sampai kepada mahaguru silat, cerita ditokok tambah, apa lagi kalau murid persilatan itu sudah dinasihatkan agar patuh dengan ajaran gurunya, tidak membantah, kena yakin dengan kata-kata gurunya, jika tidak demikian dia tidak layak dipanggil Mahaguru.
Selain taksub dengan persilatan, hingga sanggup belajar di beberapa perguruan, lelaki ini sibuk mencari benda-benda mistik macam keris, dan senjata lama yang konon boleh memantapkan lagi seni persilatannya.
Orang yang aktif dalam persilatan, menjadi tenaga pengajar selalunya dihormati oleh muridnya. Cakap-cakap murid menguatkan lagi akan kehebatan sang guru. Maka guru itu disegani, ditakuti dan tak berani bertentang mata.
Rupa-rupanya, kehebatan guru tadi bukan kerana seni silatnya, tetapi dia menggunakan dampingan berupa jin, yang entah ada berapa ekor di sekitarnya.
Memang ada orang yang kemaruk menakut-nakutkan orang, supaya diri nampak gagah, hebat, digeruni, sebagai mahaguru silat dengan berbagai nama. Hanya sayang sekali, kehebatan itu bukan paparan diri yang sebenar. Sebaliknya dia dibantu oleh saka atau jin yang menyebabkan dia digeruni, disegani, ditakuti, nampak hebat, gagah, padahal dia tidaklah gagah mana pun!
Apabila orang yang digeruni ini meninggal dunia, jin yang mendampingi dirinya sudah kehilangan tuan. Ke mana dia hendak mengadu nasib?
Jin yang ada di rumah pusaka itu mula mengganggu anak, menantu dan cucu. Penghuni rumah akan diganggu dengan penyakit misteri atau pengalaman misteri. Suka meracau pada waktu malam. Mata terbeliak tak boleh tidur. Entah program televisyen apa semuanya hendak ditonton.
Peliknya jin saka kepunyaan datuk yang sudah meninggal tidak muncul di depan anak dan menantu, sebaliknya jin itu muncul di depan cucunya. Jin itu muncul dengan menyerupai datuk yang telah meninggal dunia.
Kalau nenek yang mempunyai saka, maka kelibat neneklah yang muncul di depan cucu. Saka sengaja memilih kanak-kanak, kerana kefahaman budak berbeza dengan orang dewasa. Orang dewasa melihat kelibat datuk atau nenek di rumah sudah tentu akan dibalas dengan bacaan perlindungan dan pengusiran makhluk halus.
Sebaliknya kanak-kanak dia tidak memahami keadaan sebenar. Penampilan datuk yang sudah meninggal dunia dianggap benar. Di sinilah jin berjaya memainkan peranannya menipu kanak-kanak, iaitu cucu kepada pemilik saka.
Dia sengaja berbaik dengan kanak-kanak itu kerana berharap suatu masa nanti, kanak-kanak itu akan menjadi tuannya. Saka perlukan tuan baru. Kanak-kanak ini yang dipilih menjadi warisnya.
Budak yang diganggu jin saka tidak boleh tidur malam. Dia suka bermain-main kerana saka datuk yang telah meninggal itu berada di rumah. Dia boleh bermain-main dengan cucu. Itu hanya penyamaran. Dia bukanlah datuk yang sebenar, hanya dia menyerupai wajah dan bentuk badan datuk. Bagi kanak-kanak, dia tetap percaya, bahawa datuklah yang datang setiap malam untuk bermain-main dengan cucunya.
Sebagai pesilat tersohor di kampung pada masa dulu, dia ada menyimpan beberapa bilah keris. Peliknya keris itu salah satunya boleh bertukar tempat. Ia inginkan perhatian. Bermakna saka itu tinggal di bahagian keris yang istimewa itu.
Begitu juga kehadiran saka ditandai dengan bau-bauan yang biasa dipakai oleh tuannya dulu. Jika dulu dia suka bakar kemenyan maka bau-bauan itu muncul lagi. Kalau datuk suka bersilat maka, di tengah malam akan kedengaran suara orang berpencak di halaman rumah. Semua ini adalah gara-gara saka tunjuk perasaan dan ingin perhatian.
Selagi tidak dipedulikan, saka akan mengganggu isteri dan anak pemilik saka. Kerana saka, seseorang boleh jadi macam orang tidak siuman. Termenung sana, termenung sini. Malam-malam boleh meracau. Semua ini adalah gangguan saka. Saka ingin perhatian daripada pewaris yang ada.
Jika orang tidak ambil peduli tentang saka, maka ramailah yang menganggap ia penyakit buatan orang. Memanglah buatan, tetapi buatan saka atau jin peliharaan datuk atau nenek kita dulu.
Dengan sebab itu, sekarang sudah ramai ustaz yang berpendidikan tinggi menceburkan diri menjadi mualij, menawarkan solusi kepada mereka yang menghadapi masalah saka, gangguan jin, saka dan sebagainya.
Jika tidak memahami fenomena ini, orang yang diganggu hanya mendapat rawatan psikiatri dan menelan ubat penenang dan sebagainya. Pihak perubatan moden tidak dapat mengesan saka.
Saka sebenarnya adalah jin yang diwarisi dari generasi terdahulu setelah mereka membuat perjanjian lisan bahawa seseorang itu sedia mengambil jin sebagai dampingan bagi tujuan tertentu.
Dan dalam perjanjian itu yang biasanya dibimbing oleh perantara, yang mungkin seorang paranormal, dukun atau pawang. Tuan yang ingin memelihara jin perlu melayani jin seperti anaknya sendiri.
Disebabkan jin berada di dimensi yang berlainan, tidak dapat dilihat, maka kehadirannya dapat diketahui oleh tuannya. Itulah kelebihan yang ada setelah perjanjian dibuat di antara jin dengan manusia dan disaksikan oleh dukun yang berperanan sebagai perantara.
Kenapa orang perlukan jin sebagai belaan?
Pada masa silam, jin itu ibarat pengawal keselamatan. Dia menjaga keselamatan tuannya. Jin boleh menjaga keselamatan rumah dengan cara menampilkan diri di halaman rumah dengan kelibat menyerupai tuannya. Padahal ketika itu tuannya sedang tidur.
Jin juga boleh menyamar sebagai haiwan yang menakutkan, harimau putih atau belang, mengikut perjanjian yang dibuat.
Apabila penampilan tuan rumah selalu dilihat orang sekeliling, atau ada penampilan haiwan yang memelikkan, maka tuan rumah akan digeruni jiran-jiran.
Dia pun boleh menjadi guru silat yang digeruni, dia boleh mengubat orang dengan menggunakan bantuan jin, dia juga dianggap hebat oleh jiran sekeliling.
Namanya akan masyhur kerana kepandaian yang ada. Dia juga boleh berpura-pura pintar meramalkan empat nombor, menilik tiket jackpot, tiket sijil simpanan premium dan sebagainya. Akhirnya orang datang ke rumah tidak henti-hentinya.
Semua yang datang tidak tahu, bahawa orang yang dikunjungi itu mempunyai dampingan jin. Jin itu setia kepada tuannya. Apabila tuannya meninggal dunia, jin itu kehilangan tuan. Kepada siapa hendak mengadu?
Hanya anak, menantu atau cucu sahajalah harapan terakhir saka tadi [berdasarkan laporan HARIAN METRO, Sabtu, 16 Jun 2012].

No comments:

Post a Comment